Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertempuran di Yaman ragut lebih 800 nyawa, lebih 145,000 penduduk hilang tempat tinggal
Pertempuran di Yaman ragut lebih 800 nyawa, lebih 145,000 penduduk hilang tempat tinggal
Pertempuran di Yaman ragut lebih 800 nyawa, lebih 145,000 penduduk hilang tempat tinggal
SANAA: SANAA: Sekurang-kurangnya 838 orang terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera sejak pertempuran antara kumpulan Houthi yang disokong Iran dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi tercetus semula pada awal Ogos, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 28 September, WHO memaklumkan bahawa angka korban itu mencerminkan kesan pertempuran yang semakin sengit sejak dua bulan lalu, termasuk serangan udara dan pertempuran darat di beberapa kawasan strategik.
Sebahagian penduduk yang melarikan diri turut menyeberangi Laut Merah untuk mendapatkan perlindungan di Djibouti dan Somalia.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada 28 September melaporkan bahawa seramai 145,308 penduduk daripada 24,218 keluarga kini kehilangan tempat tinggal di lapan wilayah Yaman.
Jumlah itu meningkat sebanyak 15,870 orang, atau lebih 12 peratus, antara 21 dengan 28 September, ketika pertempuran terus merebak di kawasan pantai barat dan selatan negara berkenaan.
Ketua Misi IOM di Yaman, Encik Abdusattor Esoev, memberi amaran bahawa keadaan kemanusiaan semakin membimbangkan apabila ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka setiap minggu.
“Setiap minggu, kami merekodkan ribuan lagi penduduk yang terpaksa meninggalkan segala-galanya,” katanya.
Menurut beliau, di sebalik angka tersebut terdapat ibu bapa yang berusaha menyelamatkan anak-anak, warga emas yang tidak mampu melakukan perjalanan jauh serta keluarga miskin yang kehilangan hampir semua harta benda mereka.
“Mereka memerlukan bantuan sekarang dan tindakan kami mesti sepantas pergerakan mereka,” tambahnya.
Menurut IOM, wilayah Taiz mencatatkan jumlah penduduk kehilangan tempat tinggal paling tinggi, iaitu 81,444 orang, merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan mereka yang terjejas.
Jumlah itu meningkat kira-kira 8,000 orang berbanding minggu sebelumnya.
Wilayah Lahj pula menempatkan 34,860 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, diikuti Aden dengan 12,456 orang, Hodeida (8,244) dan Abyan (5,568).
Aden mencatatkan peningkatan mingguan paling ketara apabila jumlah penduduk yang mendapatkan perlindungan di wilayah itu bertambah sebanyak 3,510 orang, atau kira-kira 40 peratus.
Esoev berkata masyarakat setempat di Taiz, Lahj dan Aden telah membuka pintu kepada penduduk yang melarikan diri daripada pertempuran, namun kemampuan mereka semakin terbatas.
Beliau menegaskan bahawa keluarga yang kehilangan tempat tinggal memerlukan bantuan segera, termasuk tempat perlindungan, makanan dan keselamatan, manakala masyarakat yang menerima mereka juga memerlukan sokongan tambahan.
Sementara itu, WHO memberi amaran bahawa peningkatan jumlah mangsa yang cedera semakin membebankan sistem kesihatan Yaman, yang sudah lama terjejas akibat peperangan dan kekurangan bekalan perubatan.
Menurut laporan WHO pada 23 September, hanya 60 peratus daripada lebih 5,400 kemudahan perkhidmatan kesihatan yang dinilai masih beroperasi sepenuhnya.
Malah, hanya enam peratus mempunyai kemudahan lengkap untuk merawat kecederaan akibat peperangan.
Hospital di beberapa kawasan terpaksa mengutamakan rawatan mangsa pertempuran sehingga menjejaskan perkhidmatan kesihatan lain, termasuk penjagaan ibu mengandung dan kanak-kanak.
Keluarga yang kehilangan tempat tinggal pula berdepan risiko dijangkiti penyakit seperti taun akibat kekurangan bekalan air bersih dan kemudahan sanitasi.
Pertempuran terbaru itu tercetus ketika ketegangan antara Houthi dengan Arab Saudi meningkat susulan peperangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari lalu.
Konflik Yaman bermula pada 2014 apabila Houthi menguasai sebahagian besar kawasan barat laut negara itu, termasuk ibu negara, Sanaa.
Arab Saudi kemudian mengetuai campur tangan ketenteraan pada 2015 bersama beberapa negara sekutu, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), bagi membantu pemerintah Yaman mendapatkan semula wilayah yang dikuasai Houthi.
Peperangan berpanjangan itu menyebabkan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan, sebelum gencatan senjata pada 2022 berjaya mengurangkan pertempuran secara ketara.
Bagaimanapun, keadaan kembali tegang selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lalu.
Walaupun Houthi pada mulanya tidak menyertai peperangan tersebut secara langsung, ketegangan dengan Arab Saudi semakin meningkat apabila kumpulan itu menuduh Riyadh mengebom lapangan terbang Sanaa pada Julai bagi menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat.
Houthi kemudian mengumumkan sekatan terhadap kapal Arab Saudi di Laut Merah serta melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke wilayah negara itu.
Perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan di Laut Merah, khususnya Selat Bab al-Mandeb yang menjadi laluan penting perdagangan dan penghantaran minyak antarabangsa.
Pada 22 September, menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) turut menggesa Iran menghentikan bantuan ketenteraan kepada Houthi dan meminta kumpulan itu menghentikan serangan serta kembali kepada proses politik.
Dengan pertempuran terus merebak, Yaman kini berdepan ancaman krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, ketika usaha antarabangsa untuk menamatkan peperangan masih belum mencapai penyelesaian. - Agensi berita