SURIN (THAILAND): Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja terus memuncak untuk hari kedua berturut-turut pada 25 Julai menyaksikan kedua-dua pihak saling melancarkan tembakan artileri berat meskipun pelbagai pihak antarabangsa menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera.
Sekurang-kurangnya 16 orang telah terbunuh setakat ini.
Kementerian Dalam Negeri Thailand memaklumkan bahawa lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan telah dipindahkan ke hampir 300 pusat perlindungan sementara.
Kementerian Kesihatan pula mengesahkan angka korban meningkat kepada 14 orang termasuk 13 orang awam dan seorang anggota tentera.
Tentera Thailand melaporkan pertempuran bermula sebelum subuh di wilayah Ubon Ratchathani dan Surin, dengan pasukan Kemboja menggunakan artileri berat dan sistem pelancar roket BM-21 buatan Russia.
“Pasukan Kemboja telah melancarkan serangan bertubi-tubi menggunakan senjata berat, artileri medan dan sistem BM-21. Pasukan kami membalas dengan tembakan sokongan yang sesuai berdasarkan situasi taktikal semasa,” menurut kenyataan tentera Thailand.
Wartawan Reuters di wilayah Surin melaporkan dentuman letupan masih kedengaran secara berselang-seli pada pagi 25 Julai.
Jalan-jalan dan stesen minyak di kawasan pertanian itu kini dipenuhi kehadiran tentera Thailand bersenjata lengkap.
Konvoi tentera yang terdiri daripada trak, kenderaan perisai dan kereta kebal turut kelihatan bergerak ke arah sempadan, merentasi kawasan sawah padi.
Pertempuran tercetus pada 24 Julai, beberapa jam selepas Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil pulang duta mereka dari Phnom Penh.
Tindakan itu dibuat susulan dakwaan bahawa periuk api yang dipasang oleh pasukan Kemboja telah menyebabkan seorang lagi anggota tentera Thailand kehilangan kaki.
Namun Kemboja menolak tuduhan itu sebagai tidak berasas.
Di bandar sempadan Samraong, Kemboja, yang terletak hanya 20 kilometer dari sempadan, wartawan AFP melaporkan bunyi tembakan artileri kedengaran dari kejauhan pada pagi 25 Julai.
Bunyi tembakan menyebabkan ramai penduduk tergesa-gesa meninggalkan rumah mereka.
“Saya tinggal sangat dekat dengan sempadan. Kami takut kerana mereka mula menembak semula sekitar 6 pagi. Saya tidak tahu bila kami boleh pulang ke rumah,” kata Encik Pro Bak, 41 tahun, yang ditemui ketika membawa keluarganya berlindung di sebuah kuil Buddha.
Wartawan turut menyaksikan tentera Kemboja bergegas mengendalikan pelancar roket dan bergerak pantas ke arah sempadan.
Jurucakap wilayah Oddar Meanchey, Encik Meth Meas Pheakdey, berkata seorang awam terbunuh dan lima lagi cedera, manakala 1,500 keluarga telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Pertempuran ini merupakan yang paling dahsyat sejak konflik sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 2008 hingga 2011 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang dan memaksa puluhan ribu melarikan diri.
Isu kedaulatan di beberapa kawasan sempadan sepanjang 800 kilometer itu telah lama menjadi pertikaian.
Pada 2013, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan keputusan mengenai sempadan yang meredakan keadaan buat seketika, namun ketegangan kembali meletus pada Mei 2025 apabila seorang tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran baru.
Menurut tentera Thailand, pertempuran pada 24 Julai tertumpu di enam lokasi, termasuk kawasan sekitar dua kuil purba.
Tentera darat yang dibantu oleh kereta kebal bertempur merebut kawalan wilayah, manakala Kemboja melancarkan roket dan meriam ke wilayah Thailand.
Thailand pula mengerah jet pejuang F-16 untuk membalas serangan dan mensasarkan kemudahan ketenteraan Kemboja.
Thailand turut menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk sebuah hospital dan stesen minyak yang terkena serangan.
Kemboja pada 25 Julai telah menurunkan hubungan diplomatik ke tahap paling rendah dan mengusir hampir semua diplomat Thailand, meninggalkan hanya seorang wakil di Phnom Penh.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar pada 25 Julai bagi membincangkan krisis ini, atas permintaan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet.
Amerika Syarikat, sekutu utama Thailand, telah menggesa penghentian segera permusuhan dan perlindungan terhadap orang awam.
Bekas penjajah Kemboja, Perancis, turut mengeluarkan gesaan serupa.
Kesatuan Eropah dan China yang rapat dengan Phnom Penh menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik ini dan menggesa dialog segera.
Thailand menunjukkan kelebihan ketenteraan dengan menggunakan jet F-16 dalam misi tempur – sesuatu yang jarang berlaku.
Kemboja tidak memiliki jet pejuang dan kekurangan kelengkapan pertahanan berbanding jiran mereka itu.
Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London, kelebihan ini memberikan Thailand pengaruh strategik dalam sebarang konflik bersenjata. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg