GAZA: Setelah hampir tiga bulan operasi ketenteraan intensif oleh Israel di Gaza Utara, pertempuran terus memuncak pada 30 Disember dengan kedua-dua pihak saling mendakwa kejayaan dalam serangan mereka.
Tentera Israel mengeluarkan kenyataan bahawa seorang askar mereka terbunuh manakala tiga lagi cedera parah dalam pertempuran di utara Gaza.
Namun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian tersebut.
Sementara itu, Briged Qassam, sayap ketenteraan Hamas, mendakwa telah memusnahkan sebuah kenderaan Israel di Beit Hanoun, menyebabkan beberapa askar terbunuh dan cedera.
Mereka turut mendakwa berjaya membunuh lima askar Israel di Jabaliya.
Tentera Israel enggan mengulas dakwaan itu dengan alasan tidak akan memberikan respons kepada kenyataan daripada “organisasi pengganas”.
Tentera Israel turut mengumumkan kejayaan membunuh dan menahan sejumlah militan dalam operasi malam di sekitar Jabaliya.
Operasi tersebut didakwa menyasarkan pusat arahan Hamas yang terletak di Hospital Kamal Adwan.
Lebih 240 militan dilaporkan ditahan dalam operasi itu.
“Operasi itu bertujuan menghapuskan ancaman militan yang bersembunyi di dalam kemudahan awam,” kata tentera Israel dalam kenyataan.
Rakaman yang dikeluarkan tentera Israel menunjukkan apa yang didakwa sebagai anggota Hamas sedang memasang bahan letupan berhampiran Hospital Indonesia.
Tentera Israel mendakwa kawasan sekitar hospital itu telah dijadikan lokasi operasi militan dan menambah bahawa “puluhan” anggota Hamas telah ditahan.
Namun, kenyataan itu mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
Ketua pergerakan hak asasi manusia, Amnesty International, Cik Agnes Callamard, menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiyah, yang telah lama berusaha menyokong sistem kesihatan yang runtuh di Gaza.
“Kami amat prihatin terhadap nasib Dr Abu Safiyah dan menyeru pembebasan segera beliau,” kata Cik Callamard.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut mengecam pertempuran di hospital dan menuntut agar serangan dihentikan.
“Hospital di Gaza kini menjadi medan perang dan sistem kesihatan berada dalam ancaman serius,” katanya di media sosial.
Keadaan di Gaza terus memburuk, dengan lebih 45,540 orang dilaporkan terbunuh sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
Agensi bantuan seperti Program Makanan Sedunia (WFP) menghadapi kesukaran untuk menyampaikan bantuan akibat serangan dan ketiadaan undang-undang di laluan konvoi.
Pada 30 Disember, dua orang terbunuh dalam serangan terhadap konvoi bantuan di Gaza Utara.
“Hampir setiap pergerakan bantuan di Gaza menghadapi keganasan, penjarahan bersenjata dan kehilangan nyawa,” kata WFP dalam kenyataannya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg