Pertempuran tentera Israel-Hamas memuncak selepas hampir 200 terbunuh
Pertempuran tentera Israel-Hamas memuncak selepas hampir 200 terbunuh
CAIRO/GAZA: Bedilan kereta kebal dan pengeboman udara tentera Israel melanda bandar Khan Younis di Jaluran Gaza pada malam 29 Disember, kata penduduk, selepas hampir 200 orang dilaporkan terkorban dalam tempoh 24 jam menyusuli kempen Israel menentang militan Hamas.
Bunyi tembakan menandakan pertempuran antara tentera Israel dengan pejuang Hamas di Khan Younis, kata beberapa penduduk.
Pesawat juga melakukan beberapa siri serangan udara ke atas kem Nuseirat di tengah Jaluran Gaza, menurut pegawai perubatan dan wartawan Palestin.
Tentera Israel telah mengepung Khan Younis sebagai persediaan untuk meneruskan kemaraan yang dijangkakan ke bandar utama selatan itu, yang sebahagiannya dikuasai mereka pada awal Disember.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant berkata tentera sedang menghampiri pusat arahan dan depot senjata Hamas.
Tentera Israel juga berkata ia telah memusnahkan kompleks terowong di ruang bawah tanah salah sebuah rumah pemimpin Hamas untuk Gaza, Encik Yahya Sinwar, di Bandar Gaza.
Sekitar 12 minggu selepas militan Hamas menyerbu bandar Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan 240 tebusan, tentera Israel telah memusnahkan sebahagian besar Jaluran Gaza ketika ia memburu matlamat perangnya untuk menghapuskan militan Islam.
Hampir semua 2.3 juta penduduk Gaza telah meninggalkan rumah mereka sekurang-kurangnya sekali dan ramai yang berpindah sekali lagi, selalunya terpaksa berteduh di khemah sementara atau berhimpit di bawah kain dan kepingan plastik di tanah lapang.
Penguasa kesihatan Gaza berkata lagi 187 warga Palestin disahkan terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam, membawa jumlah mangsa terkorban kepada 21,507 orang – kira-kira satu peratus daripada penduduk Gaza.
Beribu-ribu lagi mayat dikhuatiri terkubur di bawah runtuhan dalam kawasan kejiranan yang musnah.
Seorang wartawan Palestin yang bekerja untuk TV Al-Quds terbunuh bersama beberapa ahli keluarganya dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di kem Nuseirat di tengah Jaluran Gaza, kata pegawai kesihatan dan rakan wartawan.
Ia menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel kepada 106 orang, menurut pejabat media kerajaan Gaza.
Jawatankuasa bagi Melindungi Wartawan (CPJ) berkata minggu lalu bahawa 10 minggu pertama perang Israel-Gaza adalah yang paling banyak mengorbankan wartawan, dengan paling ramai wartawan terbunuh dalam setahun di satu lokasi.
Kebanyakan wartawan dan pekerja media yang terkorban dalam perang itu adalah warga Palestin.
Laporan oleh CPJ yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata ia “terutamanya mengambil berat tentang corak jelas yang menyasar wartawan dan keluarga mereka oleh tentera Israel.” – Reuters.

