Topik diikuti
Pergi ke BHkuPertemuan PM Jepun dengan pemimpin China, Russia tunjuk tanda positif
Persoalan kini sama ada Sanae Takaichi mampu rungkai kebuntuan diplomatik dengan kededua negara
Pertemuan PM Jepun dengan pemimpin China, Russia tunjuk tanda positif
TOKYO: Lawatan Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, ke China bagi menghadiri sidang kemuncak antarabangsa bersama seterunya, Presiden China, Encik Xi Jinping dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berjalan lebih lancar daripada yang dijangkakan.
Kini, persoalannya adalah sama ada beliau mampu merungkai kebuntuan diplomatik dengan kedua-dua pemimpin tersebut.
Selepas setahun berdepan kawalan eksport dan serangan peribadi daripada China, Cik Takaichi disambut oleh Encik Xi dengan jabat tangan terbuka serta senyuman mesra ketika acara sambutan penuh istiadat berlangsung di Shenzhen minggu ini.
Ini di sebalik ketibaannya di lapangan terbang menerima sambutan dingin dan beliau ditempatkan di barisan belakang dalam sesi “bergambar bersama”.
Cik Takaichi turut berpeluang berbincang selama 30 minit dengan Encik Putin dengan membangkitkan isu rampasan aset serta penahanan seorang wartawan Jepun di Russia.
Bagi Cik Takaichi, pertemuan ringkas itu merupakan kemenangan kecil dan menonjolkan kecekapannya dalam mengendalikan acara diplomatik yang sukar di luar negara.
Menjelang perhimpunan ekonomi Asia-Pasifik minggu ini, para pegawai Jepun bimbang beliau berisiko dipulaukan oleh Encik Xi.
“Saya percaya kemajuan terbesar adalah kami berjaya mewujudkan suasana yang membolehkan saya dan Presiden berkomunikasi secara langsung,” kata Cik Takaichi mengenai pertemuannya dengan Encik Putin pada 18 November.
Mengenai Encik Xi, beliau memberitahu pemberita: “Saya menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah atas penganjuran majlis makan malam semalam serta kerana mengadakan sesi para pemimpin.”
Walaupun Cik Takaichi memberikan gambaran positif terhadap lawatan 24 jamnya ke China, ia masih jauh daripada mencapai sebarang kejayaan besar bagi pemimpin Jepun itu, yang telah mencetuskan kemarahan Encik Xi berikutan kenyataannya mengenai Taiwan serta kemarahan Encik Putin kerana sokongan negaranya terhadap Ukraine.
Terdapat sedikit tanda bahawa China akan menarik balik kawalan eksport mineral kritikal ke Jepun, atau Russia akan membebaskan wartawan yang ditahan.
Ketika Cik Takaichi terus terpinggir, Encik Xi dan Encik Putin mengadakan pertemuan tiga hala pada 19 November bersama Presiden Trump.
Sebelum pertemuan itu, Cik Takaichi telah berkoordinasi dengan Encik Trump di luar sidang kemuncak Asean di Manila.
Selepas pulang ke Tokyo, Cik Takaichi mengadakan panggilan telefon selama 20 minit dengan Encik Trump ketika beliau sedang dalam penerbangan pulang susulan sidang Amerika-Russia-China.
“Kami akan terus meningkatkan hubungan Jepun-Amerika ke tahap yang lebih tinggi,” kata Cik Takaichi. – Agensi berita.