Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo hubungi Trump, jadual pertemuan dengan Biden

Nov 12, 2024 | 11:18 AM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, tiba di Washington DC, Amerika Syarikat dalam agenda kunjungan kerja untuk menemui Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, tiba di Washington DC, Amerika Syarikat dalam agenda kunjungan kerja untuk menemui Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

WASHINGTON: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyampaikan ucapan tahniah kepada bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menerusi panggilan telefon pada 11 November.

Encik Prabowo turut memuat naik video perbualan tersebut di akaun Instagram rasminya, @prabowo, dengan harapan untuk memperkukuh hubungan antara Amerika dengan Indonesia.

“Sangat gembira dapat berhubung terus dengan Presiden-Terpilih Donald Trump untuk menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan beliau,” tulis Encik Prabowo.

Dalam perbualan itu, Encik Prabowo berkata: “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda. Jika ada peluang, saya ingin sampaikan ucapan tahniah ini secara peribadi.”

Encik Trump membalas dengan pujian terhadap kepimpinan Encik Prabowo di Indonesia.

“Kerja hebat yang anda telah lakukan di Indonesia,” kata Encik Trump sambil memuji kelancaran bahasa Inggeris Encik Prabowo.

Perbualan mereka turut menyentuh isu keselamatan.

Encik Prabowo menyatakan kekesalan terhadap cubaan bunuh ke atas Encik Trump baru-baru ini dan Encik Trump membalas: “Saya sangat bernasib baik.”

Insiden itu terjadi ketika Encik Trump berkempen di Pennsylvania.

Selain ucapan tahniah kepada Encik Trump, Encik Prabowo dijadual bertemu Presiden Amerika, Encik Joe Biden, di Rumah Putih pada 12 November.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Encik Prabowo ke Amerika sebagai presiden dan dijangka membincangkan isu utama seperti keselamatan makanan.

Menurut kenyataan daripada Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karine Jean-Pierre, Encik Biden dan Encik Prabowo akan membincangkan kerjasama strategik yang lebih menyeluruh termasuk dalam bidang keselamatan makanan, tenaga bersih serta kestabilan rantau.

“Para pemimpin akan menyelaras pendekatan terhadap keselamatan makanan, peralihan tenaga bersih, demokrasi dan pluralisme, keamanan rantau, serta ikatan antara rakyat,” kata Cik Jean-Pierre.

“Kerjasama dalam bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana juga akan menjadi topik perbincangan,” ujarnya.

Menurut jurucakap Presiden, Encik Hasan Nasbi, terdapat juga kemungkinan Encik Prabowo akan bertemu secara langsung dengan Encik Trump semasa di Amerika tetapi pemerintah belum mengesahkan perkara itu.

Lawatan Encik Prabowo ke Amerika mencerminkan komitmen Indonesia memperkukuh kedudukan dalam diplomasi antarabangsa.

Sebelum tiba di Amerika, Encik Prabowo telah mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, di Beijing dan kedua-dua pemimpin membincangkan pembangunan ekonomi dan kerjasama serantau.

Menurut Encik Prabowo, undangan daripada dua kuasa besar dunia itu sukar ditolak.

“Tidak mungkin menolak jemputan dari dua kuasa besar demi kepentingan rakyat Indonesia,” katanya sebelum bertolak.

Lawatan Encik Prabowo itu dijangka memperkukuh hubungan strategik Indonesia dengan Amerika dan China, apatah lagi dalam situasi ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Kunjungan Encik Prabowo ke Amerika diikuti dengan lawatan ke Peru dan Brazil untuk menghadiri sidang Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan Kumpulan 20 (G20), bagi memperkukuh peranan Indonesia di peringkat sejagat.

Ini merupakan langkah awal yang signifikan dalam pentadbiran Encik Prabowo, yang baru memegang tampuk kepimpinanan selama tiga minggu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg