Pertemuan Trump-Netanyahu: Iran, peluru berpandu jadi agenda utama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertemuan Trump-Netanyahu: Iran, peluru berpandu jadi agenda utama

Feb 11, 2026 | 2:47 PM

Pertemuan Trump-Netanyahu: Iran, peluru berpandu jadi agenda utama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang penunjuk perasaan memegang poster yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa protes solidariti di luar Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyokong rakyat Venezuela, Iran dan Palestin di Cape Town, Afrika Selatan, pada 22 Januari 2026.
Seorang penunjuk perasaan memegang poster yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa protes solidariti di luar Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyokong rakyat Venezuela, Iran dan Palestin di Cape Town, Afrika Selatan, pada 22 Januari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON/BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadual bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Rumah Putih pada 11 Februari dalam satu pertemuan penting yang dijangka menumpukan undingan nuklear dengan Iran serta ketegangan serantau yang semakin meningkat.

Encik Netanyahu dijangka mendesak Encik Trump supaya mengambil pendirian lebih tegas dalam rundingan dengan Teheran, termasuk memperluaskan skop perbincangan bagi merangkumi program peluru berpandu balistik Iran dan sokongan negara itu terhadap kumpulan bersenjata serantau, bukan sekadar isu nuklear semata-mata.

Sumber diplomatik berkata Encik Netanyahu mempercepatkan lawatannya ke Washington susulan perkembangan rundingan Amerika Syarikat-Iran yang disambung semula pada 6 Februari lalu di Oman.
Sebelum pertemuan itu, Encik Trump memberi bayangan bahawa beliau mempertimbangkan langkah ketenteraan sekiranya rundingan gagal.

Dalam temu bual dengan Axios, beliau berkata sedang “memikirkan” untuk menghantar satu lagi kumpulan kapal induk ke Timur Tengah sebagai tekanan tambahan terhadap Teheran. “Sama ada kita capai perjanjian atau kita terpaksa melakukan sesuatu yang sangat tegas seperti sebelum ini,” kata Encik Trump. “Kita sudah ada satu armada menuju ke sana dan mungkin satu lagi akan menyusul.”

Encik Trump turut menegaskan kepada Fox Business bahawa sebarang perjanjian mesti melibatkan “tiada senjata nuklear dan tiada peluru berpandu”, sambil menuduh Iran “tidak jujur” dalam rundingan sebelum ini.
Encik Netanyahu, yang tiba di Washington pada malam 10 Februari bertemu terlebih dahulu dengan utusan khas Timur Tengah Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, yang mengetuai pasukan rundingan Amerika dalam pertemuan di Oman.

Menurut kenyataan pejabat Netanyahu di platform X, pertemuan itu membincangkan isu serantau dan perkembangan pusingan pertama rundingan dengan Iran. “Saya akan membentangkan kepada Presiden pandangan kami mengenai prinsip-prinsip rundingan,” kata Encik Netanyahu sebelum berlepas ke Washington. Beliau menegaskan isu Iran menjadi agenda “utama dan terpenting”.

Israel bimbang Amerika Syarikat mungkin mengejar perjanjian nuklear yang terhad tanpa menyentuh program peluru berpandu balistik Iran atau sokongan Teheran terhadap kumpulan seperti Hamas dan Hizbullah.

Kebimbangan itu berpunca daripada konflik 12 hari pada Jun 2025 apabila Iran melancarkan gelombang peluru berpandu balistik ke wilayah Israel, menyasarkan kawasan ketenteraan dan awam.
Sehingga kini, Iran menolak sebarang usaha memperluaskan rundingan melangkaui isu nuklear. Teheran menegaskan program nuklearnya bertujuan aman, namun Washington dan Tel Aviv menuduh Iran sebelum ini berusaha membangunkan senjata nuklear.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, sebelum ini berkata rundingan perlu merangkumi peluru berpandu Iran serta sokongan terhadap kumpulan proksi di rantau tersebut. Namun Iran menegaskan perbincangan di Oman hanya tertumpu kepada isu nuklear.

Selain isu Iran, pertemuan Trump-Netanyahu turut dijangka menyentuh perkembangan di Gaza. Encik Trump mahu meneruskan pelan 20 perkara yang diusahakannya bagi menamatkan perang dan membina semula wilayah Palestin itu.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Anna Kelly, berkata Washington terus bekerjasama rapat dengan Israel untuk melaksanakan perjanjian damai Gaza. “Kami terus bekerjasama dengan sekutu kami Israel untuk melaksanakan perjanjian damai bersejarah Presiden Trump dan memperkukuh keselamatan serantau,” katanya.

Namun pelaksanaan pelan itu masih berdepan cabaran besar, termasuk isu pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat.

Pertemuan itu juga berlaku di tengah kecaman antarabangsa terhadap langkah Israel memperketat kawalan di Tebing Barat. Kabinet keselamatan Israel baru-baru ini meluluskan langkah yang memudahkan peneroka Israel membeli tanah secara langsung daripada pemilik Palestin.

Encik Trump dilaporkan memberitahu Axios bahawa beliau “menentang penaklukan” Tebing Barat, namun enggan mengkritik secara langsung keputusan kerajaan Israel. “Saya menentang penaklukan. Kita sudah ada banyak perkara lain untuk difikirkan sekarang,” katanya.

Hubungan Encik Trump dan Encik Netanyahu secara umumnya rapat, dengan Amerika Syarikat kekal sebagai pembekal utama senjata kepada Israel. Namun perbezaan pendapat berpotensi timbul, khususnya berhubung kemungkinan negara Palestin dalam jangka panjang, yang terkandung dalam pelan Trump tetapi ditolak oleh gabungan politik kanan Netanyahu.

Sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, kedua-dua pemimpin telah bertemu sekurang-kurangnya enam kali di Amerika Syarikat, selain satu pertemuan di Baitulmakdis.

Pertemuan terbaharu ini dilihat sebagai detik penting dalam menentukan sama ada diplomasi Amerika Syarikat dengan Iran akan diperluaskan atau berakhir dengan konfrontasi baharu, dalam keadaan Timur Tengah terus bergolak dan risiko perang serantau semakin meningkat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg