Sumber: Trump timbang serang Iran untuk cetus perubahan rejim
Sumber: Trump timbang serang Iran untuk cetus perubahan rejim
Ini sekalipun selepas sekutu Arab, Israel tidak yakin serangan udara sahaja dapat jatuhkan Republik Islam itu
DUBAI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang menimbang pilihan tindakan terhadap Iran termasuk serangan ke atas pasukan keselamatan dan pemimpin untuk memberi inspirasi kepada penunjuk perasaan, menurut pelbagai sumber.
Tindakan tersebut dipertimbangkan sekalipun selepas pegawai Israel dan Arab menyatakan bahawa kuasa udara sahaja tidak mampu menggulingkan kepimpinan Iran.
Dua sumber Amerika yang dekat dengan perbincangan itu berkata Encik Trump mahu mewujudkan keadaan yang boleh membawa kepada “perubahan rejim” susulan tindakan keras pemerintah Iran menumpaskan protes di seluruh negara pada awal Januari, mengirbankan ribuan orang.
Untuk mencapai matlamat ini, Encik Trump dikatakan sedang menimbangkan pilihan untuk menyerang komander dan institusi yang dianggap Washington bertanggungjawab ke atas keganasan itu.
Ini bertujuan meyakinkan penunjuk perasaan bahawa mereka boleh menguasai bangunan pemerintah dan keselamatan, kata mereka.
Salah satu sumber Amerika menyebut pilihan yang dibincangkan oleh pembantu Encik Trump turut merangkumi serangan yang jauh lebih besar untuk memberi kesan berpanjangan, mungkin menyasarkan peluru berpandu balistik yang mampu mencapai negara sekutu Amerika di Timur Tengah atau program pengayaan nuklear Iran.
Sumber Amerika yang lain menyatakan Encik Trump masih belum membuat keputusan muktamad mengenai tindakan yang bakal diambil, termasuk secara ketenteraan.
Ketibaan sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika dan kapal perang sokongan di Timur Tengah minggu ini telah memperkasa keupayaan Encik Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan selepas beliau berulang kali mengancam untuk campur tangan terhadap tindakan keras Iran.
Empat pegawai Arab, tiga diplomat Barat dan seorang pegawai kanan Barat yang diberi taklimat mengenai perbincangan tersebut berkata mereka bimbang bahawa serangan sedemikian boleh melemahkan pergerakan yang sudah pun terjejas akibat penindasan paling berdarah oleh pihak berkuasa sejak Revolusi Islam pada 1979.
Pengarah Program Iran di Institut Timur Tengah, Encik Alex Vatanka, berkata bahawa tanpa pembelotan tentera berskala besar, protes Iran kekal “berani tetapi kekurangan senjata”.
Pejabat Luar Iran, Jabatan Pertahanan Amerika dan Rumah Putih tidak memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen. Pejabat Perdana Menteri Israel juga enggan memberi komen.
Encik Trump menggesa Iran pada 28 Januari supaya kembali ke meja rundingan dan mencapai perjanjian mengenai senjata nuklear.
Beliau juga memberi amaran bahawa sebarang serangan Amerika pada masa depan akan lebih dahsyat daripada pengeboman pada Jun terhadap tiga tapak nuklear Iran.
Beliau menyifatkan kapal-kapal perang Amerika yang berada di rantau tersebut sebagai “armada” yang belayar ke Iran.
Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters bahawa Iran sedang “mempersiapkan diri untuk konfrontasi ketenteraan, dan pada masa yang sama menggunakan saluran diplomatik”.
Bagaimanapun, Washington tidak menunjukkan keterbukaan terhadap diplomasi, kata pegawai itu.
Iran, yang menyatakan program nuklearnya untuk kegunaan awam, bersedia untuk dialog “berdasarkan rasa hormat dan kepentingan bersama” tetapi akan mempertahankan dirinya “seperti yang belum pernah terjadi sebelumnya” jika dipaksa, kata misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu catatan di X pada 28 Januari.
Titik rundingan pentadbiran Encik Trump sebelum ini termasuk mengharamkan Iran daripada memperkayakan uranium dan sekatan ke atas peluru berpandu balistik jarak jauh dan rangkaian proksi bersenjata Teheran di Timur Tengah.
Seorang pegawai kanan Israel memberitahu Reuters bahawa Israel tidak percaya serangan udara sahaja boleh menjatuhkan Republik Islam itu.
Hanya gabungan tekanan luaran dan penentangan domestik yang terancang dapat mengubah trajektori politik Iran, kata pegawai itu. – Agensi berita.

