Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertemuan Trump-Netanyahu: Masa depan Timur Tengah jadi tumpuan

Feb 4, 2025 | 2:53 PM
Foto fail Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas menandatangani Perjanjian Abraham yang memulihkan hubungan antara Israel dan beberapa negara jirannya di Timur Tengah. Perjanjian ini merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula strategik negara-negara Timur Tengah dalam menghadapi Iran. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di South Lawn, Rumah Putih, Washington, AS, pada 15 September 2020.
Foto fail Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas menandatangani Perjanjian Abraham yang memulihkan hubungan antara Israel dan beberapa negara jirannya di Timur Tengah. Perjanjian ini merupakan sebahagian daripada usaha penyusunan semula strategik negara-negara Timur Tengah dalam menghadapi Iran. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di South Lawn, Rumah Putih, Washington, AS, pada 15 September 2020. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa, 4 Februari 2025, dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Trump kembali ke Rumah Putih.

Perbincangan dijangka tertumpu kepada masa depan gencatan senjata di Gaza dan strategi menangani ancaman Iran.

Namun, meskipun Encik Trump merupakan penyokong kuat Israel, Encik Netanyahu mungkin berdepan tekanan dalam pertemuan ini, kerana kepentingan dasar Washington di Timur Tengah tidak semestinya seiring dengan agendanya.

Pertemuan ini berlangsung ketika rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata serta pembebasan tebusan dijangka bersambung dalam minggu ini. Setakat ini, 18 tebusan Israel telah dibebaskan, sementara ratusan rakyat Palestin yang dipenjarakan telah dilepaskan dalam fasa pertama perjanjian.

Encik Trump, yang memainkan peranan penting dalam memeterai perjanjian ini sebelum kembali ke jawatan presiden pada 20 Januari, mengakui bahawa tiada jaminan bahawa gencatan senjata akan bertahan lama.

“Tiada kepastian bahawa keamanan akan berkekalan, tetapi kami tetap berharap,” kata utusan khas Timur Tengah Amerika, Encik Steve Witkoff, yang turut terlibat dalam perbincangan ini.

Sementara itu, Encik Netanyahu berada dalam kedudukan yang rumit. Sekutu politiknya dari sayap kanan menuntut agar Israel meneruskan serangan ke atas Hamas, walaupun langkah ini boleh menghalang usaha Trump untuk meraih sokongan Arab Saudi dalam perjanjian pemulihan yang baharu.

Salah satu topik utama dalam perbincangan ini ialah Iran, yang tahun 2024 lalu melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, sebelum Israel membalas dengan serangan udara yang melemahkan sistem pertahanan udara Tehran.

Encik Trump dan Encik Netanyahu berikrar untuk tidak membiarkan Iran memperoleh senjata nuklear, dan terdapat kebimbangan di Iran bahawa pentadbiran Trump yang baharu mungkin memberikan Israel lampu hijau untuk menyerang tapak nuklear Tehran.

Selain itu, Trump turut berusaha untuk mempercepatkan usaha memulihkan hubungan Israel-Arab Saudi, satu inisiatif yang boleh mengukuhkan kedudukan Israel di rantau tersebut.

Namun, pendirian Encik Netanyahu yang menolak sebarang laluan ke arah pembentukan negara Palestin mungkin menjadi penghalang dalam rundingan ini, memandangkan Riyadh sebelum ini menegaskan bahawa mereka hanya akan memulihkan hubungan dengan Israel jika terdapat komitmen terhadap penyelesaian dua negara.

Sejak kembali ke Rumah Putih, Encik Trump telah menunjukkan sokongan teguh kepada Israel, termasuk meluluskan penghantaran bom seberat 2,000 paun kepada Israel, yang sebelum ini disekat oleh pentadbiran Joe Biden.

Sokongan Encik Trump terhadap Encik Netanyahu sebelum ini termasuk memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmakdis pada 2018 dan menandatangani Perjanjian Abraham, yang memulihkan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab.

Namun, dalam tempoh perang Gaza yang berlarutan, kedudukan Israel di peringkat antarabangsa semakin terpinggir, dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kini sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang terhadap pemimpin Israel. Lawatan Netanyahu ke Washington diharapkan dapat mengukuhkan kedudukannya secara diplomatik, terutama selepas beberapa pemimpin dunia mengkritik serangan Israel di Gaza.

Di luar Rumah Putih, kumpulan pro-Palestin serta keluarga tebusan Israel yang masih ditahan Hamas merancang protes besar-besaran bersempena lawatan Netanyahu.

Ketika berlepas dari Israel, Encik Netanyahu berkata bahawa beliau berharap pertemuannya dengan Trump dapat “mengubah peta politik di Timur Tengah”.

“Kami berada pada titik perubahan penting, dan saya yakin bahawa perbincangan ini akan membantu Israel mencapai kepentingan strategiknya,” kata Encik Netanyahu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg