Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Israel undur dari Jenin di Tebing Barat

Netanyahu ujar ia ‘bukan operasi sekali sahaja’
Jul 5, 2023 | 5:52 PM
KEMBALI REDA: Penduduk keluar ke jalan raya ketika tentera Israel mula berundur dari Jenin, di Tebing Barat, pada Selasa.
KEMBALI REDA: Penduduk keluar ke jalan raya ketika tentera Israel mula berundur dari Jenin, di Tebing Barat, pada Selasa. - Foto REUTERS

JENIN (Tebing Barat): Tentera Israel berundur dari bandar Jenin di Palestin pada Selasa, kata saksi dalam laporan agensi berita, Reuters, selepas menjalankan salah satu operasi ketenteraan terbesar mereka di Tebing Barat yang mereka duduki selama bertahun-tahun.

Dua saksi Reuters berkata mereka melihat konvoi kenderaan tentera Israel meninggalkan Jenin pada waktu malam dalam apa yang nampaknya petanda tamatnya operasi Israel yang bermula awal Isnin.

Seramai 12 rakyat Palestin, sekurang-kurangnya lima daripada mereka, pejuang, dan seorang askar Israel terbunuh.

Operasi itu, yang dikatakan tentera bertujuan memusnahkan prasarana militan dan senjata di kem pelarian Jenin, dilancarkan dengan serangan dron dan melibatkan 1,000 askar pada Isnin.

Selepas tentera meninggalkan tempat itu, penduduk yang mengosongkan kem semasa pertempuran, mula kembali ke jalan raya yang dalam kegelapan.

Ada yang meninjau kerosakan dengan menggunakan cahaya telefon bimbit mereka.

Kem pelarian padat itu, tempat sekitar 14,000 orang tinggal dalam sebuah kawasan kurang setengah kilometer persegi.

Ia antara titik tumpuan gelombang keganasan yang melanda Tebing Barat lebih setahun, mengundang kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat.

Terdapat lebih banyak keganasan pada Selasa dengan serangan rempuhan kereta dan tikaman, yang kumpulan Hamas Palestin dakwa dilakukannya, di hab perniagaan Tel Aviv Israel.

Lapan orang cedera dalam kejadian tersebut.

Ketika tentera Israel meninggalkan Jenin, letupan masih kedengaran di utara Tebing Barat di tengah-tengah laporan mengenai pertempuran senjata berhampiran hospital Jenin.

Reuters tidak segera dapat mengesahkan laporan itu.

Pasukan Doctors Without Borders berkata tentera Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah hospital tempat mereka bekerja.

Tentera Israel berkata ia tidak mengetahui pasukannya menembak di sekitar hospital tetapi ia melakukan serangan udara ke atas lelaki bersenjata yang mengambil kedudukan di tanah perkuburan dan menimbulkan ancaman kepada tentera yang berundur.

“Pada masa ini kami sedang menyelesaikan misi ini, dan saya boleh katakan bahawa kegiatan meluas kami di Jenin bukanlah operasi sekali sahaja,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di pusat pemeriksaan berhampiran bandar tersebut.

Pejuang Palestin daripada kumpulan militan, termasuk Hamas, Jihad Islam dan Fatah, telah mengukuhkan kem itu dengan adangan dan pos pemerhati untuk menentang serbuan tentera.

Bekalan elektrik dan air kekal terputus di kem itu dan di beberapa kawasan bandar.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia telah memindahkan 500 keluarga melibatkan 3,000 orang dari kem tersebut.

Kira-kira 100 orang cedera, kata Kementerian Kesihatan Palestin, 20 daripada mereka parah.

Pertempuran itu sekali lagi menggariskan ketiadaan sebarang tanda penyelesaian politik bagi konflik selama beberapa dekad itu, dan reaksi antarabangsa terhadap operasi tersebut bercampur baur.

Amerika Syarikat berkata ia menghormati hak Israel untuk mempertahankan dirinya, tetapi menambah bahawa adalah penting untuk mengelakkan korban dalam kalangan orang awam.

Kesatuan Eropah (EU) berkata ia amat bimbang dan badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kebimbangan mengenai skala tindakan ketenteraan Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg