Pertunjukan Udara S’pura dibanjiri pengunjung pada hari pertama untuk umum
Pertunjukan Udara S’pura dibanjiri pengunjung pada hari pertama untuk umum
Sejak 2012, peminat dunia penerbangan, Encik Rafi Damar, telah menjadi pengunjung Pertunjukan Udara Singapura, terbang dari Jakarta bersama bapanya, yang juga terpesona dengan pesawat.
Namun, bagi edisi 2024 dan 2026, eksekutif logistik Indonesia itu tidak lagi perlu menaiki pesawat untuk ke Singapura kerana beliau telah berpindah ke sini untuk bekerja.
“Dalam semua pertunjukan udara yang pernah saya hadiri, saya dapati pertunjukan tahun ini (2026) menarik sangat ramai pengunjung,” kata pemuda berusia 28 tahun itu pada 7 Februari iaitu hari pertama acara itu dibuka kepada orang ramai.
Di sebalik kehadiran ramai pengunjung di Pusat Pameran Changi, Encik Rafi mendapati pengurusan orang ramai adalah “sangat baik”.
Sebagai peminat setia, beliau memastikan agar dapat menghadiri acara dwitahunan itu kerana ia adalah satu-satunya peluang untuk melihat koleksi besar pesawat yang berbeza di Asia Tenggara.
“Indonesia tidak mempunyai acara seperti ini, dan pertunjukan udara utama yang lain adalah di Paris atau Farnborough di England, yang terlalu jauh.
“Dubai juga ada, tetapi mengapa pergi jauh ke sana sedangkan Singapura dan Indonesia begitu dekat.” kata Encik Rafi.
Orang ramai membanjiri pertunjukan udara dengan meredah terik mentari pagi untuk mendekati pelbagai pesawat yang dipamerkan.
Walaupun acara itu dibuka secara rasmi pada 9.30 pagi, namun pameran statik boleh diakses oleh orang ramai dari 8 pagi.
Ramai yang tiba awal untuk meneroka kawasan yang mempamerkan 32 pesawat berbeza, daripada jenis komersial hingga pesawat tentera.
Salah seorang yang paling awal ialah Encik Roy Ang dan keluarganya yang terdiri daripada tiga orang. Mereka tiba kira-kira 9 pagi.
Menghadiri acara itu buat kali pertama, Encik Ang dan isterinya mahu anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun melihat pesawat berbeza terbang ke langit semasa pameran udara.
Perjalanan mereka ke lokasi berjalan lancar, kata lelaki berusia 48 tahun itu, dengan bas ulang-alik di Singapore Expo membawa pengunjung hampir setiap minit.
Namun, kakitangan jualan dan pemasaran itu berpendapat adalah lebih baik jika lebih banyak kawasan terlindung disediakan untuk pengunjung berehat.
“Cuaca di sini terlalu panas, terutamanya untuk kanak-kanak. Anak lelaki kami sudah hilang minat terhadap pesawat kerana cuaca sangat panas,” tambahnya.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong turut menyaksikan pameran udara sebelum melawat reruai pameran untuk melihat pesawat yang dipamerkan.
Apabila The Straits Times (ST) tiba di Singapore Expo kira-kira 8.30 pagi, terdapat lebih daripada 100 orang yang sedang melalui pemeriksaan keselamatan dan menunggu bas yang dikendalikan oleh syarikat SBS Transit.
Barisan panjang para pengunjung sentiasa bergerak, dengan beberapa bas bersedia untuk mengangkut penumpang.
Hampir tiada masa menunggu, kata Encik Rawshan Haniffa, 55 tahun, yang datang bersama anak lelakinya yang berusia 11 tahun.
Jurutera itu berkata anaknya menikmati asap berwarna-warni yang dipancarkan oleh pasukan aerobatik Bayi, dari Angkatan Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China semasa pertunjukan udara.
Tiket bagi hari pameran terakhir pada 8 Februari masih dijual, tetapi terhad.
Tiket dewasa berharga $39, sementara tiket kanak-kanak berusia antara tiga dengan 12 tahun berharga $19.
Seramai 65,000 pelawat dagang telah menghadiri empat hari pertama pertunjukan udara yang berlangsung 3-8 Februari itu.

