Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerubahan iklim tingkat kekerapan risiko kebakaran di Sepanyol, Perancis
Perubahan iklim tingkat kekerapan risiko kebakaran di Sepanyol, Perancis
Perubahan iklim tingkat kekerapan risiko kebakaran di Sepanyol, Perancis
BRUSSELS: Perubahan iklim disebabkan perbuatan manusia menggandakan risiko kejadian cuaca ekstrem yang menyebabkan kebakaran hutan di barat daya Perancis.
Keadaan sama yang mencetuskan kebakaran di tengah Sepanyol berisiko berlaku 20 kali ganda lebih tinggi, kata saintis pada 31 Julai.
Kebakaran hutan yang sedang melanda kededua negara itu memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan serta memusnahkan kawasan tanah yang luas.
Kumpulan saintis daripada World Weather Attribution (WWA) menggunakan pemerhatian sejarah cuaca bagi menilai sejauh manakah keadaan panas, kering dan berangin yang ‘berisiko mencetuskan kebakaran’ – iaitu petunjuk kesukaran memadamkan api sebaik sahaja ia bermula – berubah mengikut peredaran masa.
Pelepasan gas rumah hijau, terutamanya daripada pembakaran arang, minyak dan gas, telah meningkatkan suhu purata bumi kepada sekitar 1.4 darjah Celsius melebihi tahap sebelum zaman perindustrian, ujar Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).
Menurut analisis berkenaan, dalam iklim hari ini, kejadian kebakaran ekstrem sebegitu berkemungkinan berlaku sekali setiap 20 tahun di barat daya Perancis, dan sekali setiap enam tahun di tengah Sepanyol.
“Kami telah berkali-kali lihat bagaimana perubahan iklim meningkatkan keadaan panas, kering dan mudah terbakar yang merupakan penyumbang utama kepada kejadian kebakaran hutan,” kata pakar penyelidik bersekutu di Kolej Imperial London, Dr Clair Barnes, yang juga pengarang bersama laporan WWA itu.
“Perkara pelik dalam kes ini adalah ia masih berada pada peringkat awal musim (kebakaran) – dan dengan satu lagi gelombang haba bakal melanda, dapatan ini amat membimbangkan,” tambah Dr Barnes.
Satu faktor yang semakin mendorong risiko kebakaran hutan di Eropah ialah corak musim sejuk yang lembap, diikuti musim bunga dan musim panas yang kering.
Musim sejuk menggalak pertumbuhan tumbuhan, manakala musim berikutnya menyebabkan tumbuhan berkenaan kering, sekali gus meninggalkan kawasan hutan sarat dengan bahan mudah terbakar dalam jumlah yang besar.
Oleh itu, usaha mengurangkan risiko kebakaran hutan bukan sahaja memerlukan tindak balas kecemasan untuk memadamkan api, malah memerlukan lebih banyak langkah pencegahan “menerusi perancangan dan pengurusan landskap yang peka terhadap risiko”, tambah laporan WWA.
Langkah berkenaan termasuk pembersihan kawasan hutan daripada tumbuhan kering sebelum musim kebakaran bermula.
Sepanyol mencatatkan Januari paling lembap dalam tempoh 25 tahun pada 2026, disusuli musim panas yang disifatkan oleh agensi meteorologi negara itu sebagai yang paling panas dalam sejarah.
Perancis juga kini berdepan gelombang haba keempat bagi 2026.
Beberapa kajian saintifik terkini mengesahkan perubahan iklim akibat perbuatan manusia sebagai punca peningkatan risiko kekerapan keadaan panas dan kering di Eropah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – Reuters.