Perubahan strategi Trump timbulkan kekeliruan kesiapsiagaan perang AS
Perubahan strategi Trump timbulkan kekeliruan kesiapsiagaan perang AS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilihat mengubah pendekatan secara berulang dalam menangani krisis Selat Hormuz ketika konflik dengan Iran semakin memuncak, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai kesiapsiagaan dan hala tuju perang Washington.
Dalam tempoh singkat, Encik Trump beralih daripada usaha diplomasi, kepada pelonggaran sekatan ekonomi, sebelum akhirnya mengeluarkan ancaman keras untuk menyerang infrastruktur awam Iran, termasuk loji jana kuasa.
Pada 21 Mac, beliau mengeluarkan amaran keras kepada Teheran supaya membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.
“Jika Iran tidak membuka sepenuhnya Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam, Amerika Syarikat akan memusnahkan loji janakuasa mereka, bermula dengan yang terbesar,” katanya dalam hantaran di platform Truth Social.
Ancaman itu dibuat hanya sehari selepas Encik Trump menyatakan bahawa Amerika sedang “mengurangkan” operasi ketenteraan di Iran, menimbulkan kekeliruan terhadap strategi sebenar pentadbirannya.
Penganalisis melihat perubahan mendadak ini sebagai tanda bahawa Washington memasuki konflik tanpa pelan jelas. “Trump melancarkan perang tanpa matlamat yang jelas dan salah menilai reaksi Teheran,” kata seorang penganalisis Asia Barat.
Sejak konflik bermula pada 28 Februari, mesej Encik Trump mengenai perang tersebut sering bercanggah.
Pada satu ketika, beliau mendakwa Amerika hampir mencapai semua objektif ketenteraan, termasuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu, tentera laut dan udara Iran.
“Kami hampir mencapai objektif kami dan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan operasi ketenteraan,” katanya.
Namun dalam kenyataan lain, beliau menegaskan bahawa perang itu masih perlu diteruskan.
“Kita tidak mahu keluar terlalu awal. Kita mesti selesaikan tugas ini,” ujarnya.
Encik Trump juga beberapa kali mendakwa bahawa Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya” dan sedang berusaha mencapai perjanjian, walaupun Teheran terus melancarkan serangan balas ke atas Israel dan negara lain di rantau itu.
Pegawai tentera Amerika Syarikat mengesahkan bahawa serangan udara besar-besaran telah dilancarkan ke atas pesisir Iran, termasuk penggunaan bom penembus bawah tanah, namun masih gagal menghentikan keupayaan Teheran mengganggu laluan Selat Hormuz.
Dalam masa sama, pentadbiran Encik Trump mengumumkan penghantaran tiga lagi kapal perang ke Asia Barat, bersama kira-kira 2,500 anggota marin tambahan.
Secara keseluruhan, sekitar 50,000 anggota tentera Amerika kini dikerahkan dalam konflik tersebut.
Sejak awal perang, tempoh konflik yang dijangka juga berubah-ubah.
Pada 1 Mac, Encik Trump berkata perang itu mungkin berlarutan selama empat minggu.
Namun sehari kemudian, beliau menyatakan Amerika mempunyai keupayaan untuk meneruskannya lebih lama.
Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, pula menyifatkan konflik itu sebagai “baru bermula”, sementara Encik Trump pada masa sama mendakwa perang itu “hampir selesai”.
Percanggahan ini turut dilihat dalam alasan pelancaran perang.
Pada 2 Mac, Encik Hegseth berkata serangan dilakukan untuk menamatkan ancaman daripada Iran yang enggan berunding.
Namun, Setiausaha Negara Encik Marco Rubio kemudian menyatakan Amerika bertindak secara pencegahan kerana menjangkakan Iran akan melancarkan serangan terlebih dahulu.
Encik Trump sendiri kemudiannya menafikan kenyataan itu dan mendakwa beliau mungkin telah “memaksa Israel bertindak”.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, pula menyatakan keputusan menyerang Iran dibuat berdasarkan “perasaan” bahawa Teheran akan menyerang.
Kenyataan bercanggah ini mencetuskan kritikan di Washington, termasuk dakwaan bahawa Amerika Syarikat dipengaruhi Israel untuk terlibat dalam konflik tersebut.
Lebih membimbangkan, dakwaan bahawa Iran hampir membangunkan senjata nuklear tidak disokong oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah agensi perisikan Amerika sendiri mengesahkan Teheran belum berada pada tahap itu.
Penganalisis berkata perubahan sasaran dan pendekatan ini menunjukkan keterbatasan dasar pentadbiran Encik Trump.
“Pada awalnya, objektif lebih jelas dan terhad. Kini tindak balas kelihatan semakin tidak tersusun,” kata Encik Zeidon Alkinani dari Institut Perspektif Arab.
Beliau memberi amaran bahawa serangan terhadap infrastruktur tenaga boleh mencetuskan peningkatan konflik secara mendadak.
Iran sebelum ini telah menyerang kemudahan tenaga di Qatar, menyebabkan kerosakan besar dan menjejaskan sekitar 17 peratus kapasiti eksport gas asli cecair negara itu.
Presiden Institut Dasar Global, Encik Paolo von Schirach, pula berkata sukar untuk meramalkan langkah seterusnya Encik Trump.
“Tidak jelas apa yang beliau mahu capai dan apakah alat yang ada untuk menamatkan perang ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa memaksa Iran tunduk bukanlah tugas mudah, memandangkan saiz negara dan jumlah penduduknya yang besar.
Sebagai perbandingan, beliau merujuk kepada perang di Iraq yang melibatkan 150,000 tentera Amerika, dan menganggarkan bahawa sehingga setengah juta anggota mungkin diperlukan jika Washington ingin menguasai Iran sepenuhnya.
Dengan tekanan global semakin meningkat, termasuk lonjakan harga minyak dan kebimbangan terhadap kestabilan serantau, strategi yang tidak konsisten ini dilihat sebagai risiko besar.
Dalam keadaan konflik yang terus berkembang, persoalan sama ada Amerika mempunyai pelan keluar yang jelas atau sekadar bertindak balas secara reaktif kini menjadi semakin mendesak.
Presiden Trump, kini dilihat semakin terdesak dalam menangani krisis di Selat Hormuz, apabila pendekatannya berubah-ubah daripada diplomasi kepada ancaman serangan terhadap infrastruktur awam Iran. – Agensi berita.

