Trump, Iran ancam sasaran kuasa, tenaga ketika perang memuncak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Iran ancam sasaran kuasa, tenaga ketika perang memuncak

AS beri tempoh 48 jam untuk Teheran buka semula Selat Hormuz
Mar 22, 2026 | 4:33 PM

Trump, Iran ancam sasaran kuasa, tenaga ketika perang memuncak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
United States, Amerika Syarikat, Iran, Teheran, Donald Trump, Selat Hormuz, power, energy
Pada 21 Mac, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengugut untuk ‘melenyapkan’ loji jana kuasa Iran, sekiranya Teheran enggan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam. - Foto AFP

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Iran mengancam untuk memuncak peperangan antara mereka yang masuk minggu keempat dengan menyasarkan kemudahan tenaga dan bahan api di Teluk, yang sekali lagi boleh menggegarkan pasaran tenaga dan kewangan sejagat serta memperdalam krisis serantau.

Encik Trump pada 21 Mac mengugut untuk ‘melenyapkan’ loji jana kuasa Iran, bermula dengan yang terbesar, sekiranya Teheran enggan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.

“Jika Iran tidak membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz, tanpa ancaman, dalam tempoh 48 jam, Amerika akan menyerang serta melenyapkan pelbagai loji jana kuasa mereka, bermula dengan yang terbesar dahulu,” tulisnya dalam platform Truth Social.

Encik Trump menyiarkan ugutan itu pada 7.44 malam Waktu Timur Amerika, yang bermaksud tempoh akhir diberikannya ialah hingga malam 23 Mac.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan sebarang loji khusus yang dirujuknya sebagai ‘yang terbesar’ itu.

Iran pula memberi amaran pada 22 Mac bahawa ia akan menyasarkan prasarana Amerika, termasuk kemudahan tenaga di Teluk, sekiranya Encik Trump melaksanakan ancamannya, yang dibuat ketika tentera marin Amerika dan kapal pendarat berat terus menuju ke rantau tersebut.

Lebih 2,000 orang telah terkorban semasa perang yang dilancarkan oleh Amerika-Israel pada 28 Februari, yang telah menggoncang pasaran, melonjakkan kos bahan api, mencetuskan kebimbangan inflasi sejagat dan menggugat pakatan Barat pascaperang.

Ancaman serangan Iran telah menghalang kebanyakan kapal daripada melalui selat tersebut, sebuah laluan air sempit yang berfungsi sebagai saluran bagi kira-kira seperlima bekalan minyak dan gas asli cecair sejagat.

Penutupannya yang hampir sepenuhnya menyebabkan harga gas Eropah melonjak sebanyak 35 peratus pada pertengahan Mac.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan Teheran akan mengambil tindakan ‘sifar kawalan diri’ sekiranya prasarana negara itu diserang.

Ibu pejabat markas tentera Khatam al-Anbiya Iran menyatakan pada 22 Mac bahawa jika Amerika menyerang prasarana bahan api dan tenaga Iran, maka Iran akan menyasarkan semua prasarana tenaga, teknologi maklumat dan penyahgaraman Amerika di rantau tersebut.

“Ancaman Presiden Trump kini telah meletakkan ‘bom jangka’ 48 jam yang meningkatkan ketidaktentuan terhadap pasaran.

“Jika kata dua itu tidak ditarik balik, kita berkemungkinan akan melihat pembukaan semula pasaran ekuiti sejagat pada hari ‘Black Monday’ yang merudum dengan teruk serta lonjakan harga minyak yang jauh lebih tinggi,” kata penganalisis pasaran IG, Encik Tony Sycamore.

Sebelum ini, Encik Trump berkata beliau sengaja mengelak daripada menyasarkan loji jana kuasa di Teheran kerana ia akan menyebabkan kerosakan dan ‘trauma’ bertahun-tahun terhadap penduduk awam.

Ugutan Encik Trump itu menandakan peningkatan ketara dalam retoriknya.

Krisis laluan Selat Hormuz sejak awal Mac telah menyebabkan harga minyak melambung.

Sebelum tercetus kemelut kini, sekitar 20 juta tong minyak dibawa melalui selat tersebut setiap hari, menjadikannya antara titik paling kritikal di dunia untuk pembekalan tenaga.

Peperangan kini meletus selepas Amerika-Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang menyaksikan konflik terus memuncak dan merebak di rantau berkenaan, tanpa sebarang tanda perang akan reda dalam masa terdekat.

Pada 21 Mac, serangan peluru berpandu Iran ke atas dua bandar di selatan Israel mengakibatkan lebih 100 orang cedera, selepas sistem pertahanan udara Israel gagal memintas projektil berkenaan.

Pasukan penyelamat berkata 75 orang cedera di bandar Arad dan beberapa jam selepas itu, 33 lagi cedera di Dimona.

Stesen televisyen kerajaan Iran melaporkan serangan peluru berpandu ke atas Dimona yang menempatkan kemudahan nuklear.

Ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu ke atas tapak nuklearnya di Natanz.

Dalam perkembangan berkaitan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) memberitahu ia berdepan serangan udara dari Iran selepas republik Islam itu memberi amaran kepada negara jirannya supaya tidak membenarkan serangan dilancarkan dari pulau-pulau yang dipertikaikan berhampiran Selat Hormuz yang strategik.

Pulau Abu Musa dan Greater Tunb, yang dikawal Iran tetapi dituntut oleh UAE, sekian lama menjadi punca pertikaian antara kedua-dua negara.

Sementara itu, utusan tertinggi bagi negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) negara ekonomi maju bersama Kesatuan Eropah (EU) menggesa serangan Iran terhadap sekutunya di Asia Barat dihentikan serta-merta tanpa syarat.

“Kami menggesa pemberhentian serta-merta dan tanpa syarat semua serangan oleh rejim Iran.

“Kami menyokong hak negara yang diserang secara tidak wajar oleh Iran atau proksi Iran untuk mempertahankan wilayah mereka dan melindungi rakyat masing-masing,” kata Menteri Luar Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun, Britain dan Amerika serta Ketua Dasar Luar EU dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar konvoi darat pertama membawa 22 tan ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke Beirut, dari hab logistik kecemasan global di Dubai.

Lebanon turut terheret ke dalam konflik Asia Barat itu apabila kumpulan Hezbollah mula melancarkan roket ke Israel sebagai tindak balas susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan Amerika-Israel.

Menurut pihak berkuasa Lebanon, Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan hebat di seluruh negara itu, selain pencerobohan darat di kawasan sempadan yang menyebabkan lebih 1,000 orang maut.

Di Dubai, pihak berkuasa UAE mengarahkan sebuah hospital di ibu kota itu, yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Iran ditutup. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg