Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesalah kes tembakan di Texas dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup

Jul 8, 2023 | 4:00 PM
WAJAH PEMBUNUH: Foto oleh Jabatan Polis El Paso, Texas, pada 5 Ogos 2019 menunjukkan pesalah, Patrick Crusius, 24 tahun, yang kini menghadapi 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut setelah melakukan pembunuhan menerusi tembakan rambang di sebuah pasar raya di El Paso pada 2019. Hukuman itu bermakna, dia tidak akan dilepaskan dari penjara. Kesnya masih berlangsung di mahkamah negeri dan pihak pendakwa raya sedang cuba agar dia dikenakan hukuman mati.
WAJAH PEMBUNUH: Foto oleh Jabatan Polis El Paso, Texas, pada 5 Ogos 2019 menunjukkan pesalah, Patrick Crusius, 24 tahun, yang kini menghadapi 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut setelah melakukan pembunuhan menerusi tembakan rambang di sebuah pasar raya di El Paso pada 2019. Hukuman itu bermakna, dia tidak akan dilepaskan dari penjara. Kesnya masih berlangsung di mahkamah negeri dan pihak pendakwa raya sedang cuba agar dia dikenakan hukuman mati. - - Foto AFP

HOUSTON: Seorang lelaki yang membunuh 23 orang di sebuah pasar raya di bandar El Paso, Texas, di Amerika Syarikat (AS) pada 2009, telah dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup secara berturut-turut.

Patrick Crusius, 24 tahun, mengaku bersalah pada Februari lalu atas tuduhan jenayah kebencian berkaitan dengan penembakan besar-besaran pada 3 Ogos 2019 di El Paso Walmart.

Crusius masih menghadapi perbicaraan pada peringkat negeri di Texas, yang tidak menolak kemungkinan dia akan dijatuhkan hukuman mati.

“Tiada seorang pun di negara ini harus hidup dalam ketakutan terhadap keganasan yang didorong kebencian sehingga menjadi sasaran kerana rupa mereka atau dari mana mereka berasal,” kata Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan.

Tambahnya, 90 hukuman penjara seumur hidup yang diumumkan itu memberi jaminan bahawa Patrick Crusius akan menghabiskan sepanjang hayatnya di penjara kerana tindakannya itu.

Penolong Peguam Negara, Cik Kristen Clarke, menyifatkan penembakan itu sebagai ‘salah satu tindakan paling mengerikan yang didorong oleh nasionalis kulit putih pada zaman moden’.

Crusius memandu kira-kira 1,060 kilometer (km) dari Allen, Texas, berhampiran Dallas ke Walmart Supercenter di El Paso dengan senapang jenis AK-47 bersama 1,000 butir peluru.

Dia melepaskan tembakan ke arah orang ramai di tempat letak kereta pasar raya berkenaan sehingga membunuh 23 manakala 22 orang lagi cedera.

Menurut dakwaan Mahkamah Persekutuan, sebelum Crusius melakukan serangannya, dia memuat naik dokumen ke internet bertajuk ‘The Inconvenient Truth’ atau ‘Kebenanaran Yang Membimbangkan’, di mana dia berkata serangannya ‘adalah tindak balas terhadap pencerobohan golongan Amerika Latin di Texas’.

Dia mendakwa tindakannya itu sebagai ‘mempertahankan negara daripada penggantian budaya dan etnik’, merujuk kepada konsep ketuanan kulit putih yang mendakwa kumpulan etnik lain cuba ‘menggantikan’ mereka dalam kalangan penduduk.

Ketika polis tiba di lokasi kejadian, Crusius keluar dari keretanya dan memperkenalkan dirinya sebagai penembak, malah ketika dalam tahanan dia turut memberitahu pihak polis bahawa dia akan membunuh orang Mexico.

Pembunuhan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai bagaimana kritikan berulang kali bekas presiden AS, Encik Donald Trump, terhadap pendatang akan mempengaruhi tingkah laku penyokongnya.

Serangan Crusius adalah antara kes tembakan besar-besaran yang paling ngeri pernah berlaku dalam sejarah AS.

Ia berlaku dua tahun selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 58 orang di konsert luar di Las Vegas dan tiga tahun selepas seorang lelaki membunuh 49 orang di kelab malam LGBTQ di Orlando, Florida. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg