BANGKOK: Sebuah pesawat Air India yang berlepas dari Phuket, Thailand menuju ke New Delhi, India terpaksa melakukan pendaratan cemas pagi 13 Jun selepas menerima ancaman bom ketika berada di udara. Penerbangan AI379, yang membawa 156 penumpang, mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket sekitar jam 10 pagi waktu tempatan, selepas berlegar di ruang udara Laut Andaman selama lebih 20 minit.
Menurut kenyataan rasmi daripada Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Thailand (AOT), semua penumpang telah dibawa keluar dari pesawat mengikut prosedur kecemasan yang telah ditetapkan.
Ancaman bom dikesan menerusi nota yang ditemui di dalam tandas pesawat. Penumpang yang menjumpai nota tersebut kini sedang disoal siasat oleh pihak keselamatan.
“Setakat pencarian awal, tiada bom ditemui di dalam pesawat. Namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata seorang pegawai AOT yang enggan dikenali. Pihak berkuasa Thailand tidak mengulas lanjut mengenai kandungan atau sumber ancaman tersebut.
Insiden ini berlaku hanya sehari selepas tragedi nahas pesawat Air India AI171 di Ahmedabad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 265 nyawa, menjadikan insiden ancaman keselamatan udara lebih membimbangkan.
Sebelum ini, India telah merekodkan peningkatan mendadak ancaman bom palsu terhadap syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Sepanjang 10 bulan pertama 2024, hampir 1,000 panggilan dan mesej ancaman palsu diterima – meningkat hampir sepuluh kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Dalam insiden berasingan pada pagi yang sama, sebuah pesawat Air India ke London, penerbangan AIC129 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj di Mumbai terpaksa berpatah balik selepas tiga jam di udara.
Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa keputusan untuk memulangkan pesawat dan mengubah laluan 16 penerbangan antarabangsa lain dibuat berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan Israel, serta penutupan ruang udara Iran demi keselamatan penumpang.
“Dengan mengambil kira situasi semasa di Iran dan penutupan ruang udara di rantau tersebut, beberapa penerbangan Air India terpaksa dialihkan atau kembali ke lokasi asal,” menurut kenyataan rasmi Air India. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg