Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat Garuda buat pendaratan cemas selepas enjin terbakar

May 16, 2024 | 11:59 AM
Kebakaran enjin berlaku pada pesawat Garuda Indonesia pada 15 Mei.
Kebakaran enjin berlaku pada pesawat Garuda Indonesia pada 15 Mei. - Foto TWITTER JACDECNEW

JAKARTA: Sebuah pesawat yang membawa 468 orang penumpang, termasuk jemaah haji dari Indonesia menuju ke Arab Saudi, melakukan pendaratan cemas pada 15 Mei akibat kebakaran enjin, kata syarikat penerbangan, Garuda Indonesia.

Menurutnya, penerbangan Garuda 1105 – yang menggunakan pesawat Boeing 747-400 – menuju ke Madinah, berpatah balik ke lapangan terbang asalnya di bandar Makassar pada 5.15 petang, dengan semua penumpang tidak cedera.

“Keputusan itu dibuat oleh juruterbang sejurus selepas berlepas, memandangkan masalah enjin yang memerlukan pemeriksaan lanjut, menyusuli percikan api yang kelihatan dalam salah satu enjinnya,” kata Presiden Pengarah Garuda, Encik Irfan Setiaputra, dalam satu kenyataan.

Terdapat 450 penumpang dan 18 anak kapal dalam penerbangan itu, kata Encik Irfan, termasuk jemaah haji yang dalam perjalanan ke Arab Saudi.

Mereka semua dipindahkan ke tempat penginapan sebelum menaiki penerbangan gantian pada 15 Mei juga, katanya.

Rakaman yang disiarkan di media sosial yang belum disahkan oleh agensi berita, AFP, dikatakan menunjukkan enjin pesawat itu terbakar ketika berlepas.

Pesawat itu kini tidak diterbangkan bagi membolehkan siasatan keselamatan, kata Encik Irfan.

Syarikat penerbangan itu – yang dimiliki 60 peratus oleh Indonesia – mengalami kerugian besar semasa pandemik Covid-19, menyebabkan sebahagian besar armadanya tidak terbang, berikutan sekatan perjalanan dan berkurangnya permintaan serta ratusan pekerja terpaksa diberhentikan.

Kepulauan Asia Tenggara itu sangat bergantung pada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulaunya, tetapi telah mengalami rentetan nahas pesawat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Rekod penerbangannya yang suram termasuk nahas pada 2021, apabila sebuah jet penumpang Boeing Sriwijaya Air secara misteri menjunam ke laut Jawa selepas berlepas dari ibu kota Jakarta, mengorbankan kesemua 62 orang di dalamnya.

Pada Mac, kementerian pengangkutan Indonesia berkata ia telah membuka siasatan terhadap syarikat penerbangan tempatan Batik Air selepas dua juruterbangnya didapati tertidur semasa penerbangan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg