Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan: Enjin pesawat Jeju Air masih berfungsi semasa terhempas

Jul 27, 2025 | 9:20 PM
Nahas pesawat Jeju Air pada Disember 2024 mengorbankan semua kecuali dua daripada 181 penumpang dan kru, menjadikannya bencana udara paling buruk di Korea Selatan.
Nahas pesawat Jeju Air pada Disember 2024 mengorbankan semua kecuali dua daripada 181 penumpang dan kru, menjadikannya bencana udara paling buruk di Korea Selatan. - Foto REUTERS

SEOUL: Sebuah pesawat Jeju Air yang terhempas pada Disember 2024 ketika melakukan pendaratan cemas akibat pelanggaran dengan burung, masih boleh diterbangkan menggunakan enjin yang rosak tetapi masih berfungsi, meskipun juruterbang telah mematikan enjinnya yang lain.

Namun, pesawat Boeing 737-800 itu sebaliknya melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Muan tanpa menurunkan gear pendaratan, ia kemudian terbabas melepasi landasan dan meletup selepas merempuh cerun, menurut kemas kini daripada para penyiasat Korea Selatan.

Nahas tersebut mengorbankan semua kecuali dua daripada 181 penumpang dan kru.

Para penyiasat masih belum mengeluarkan laporan akhir berhubung nahas paling buruk di tanah Korea Selatan itu, namun telah mula mendedahkan maklumat mengenai dua enjin pesawat berkenaan.

Menurut kemas kini siasatan yang dikeluarkan pada 19 Julai, enjin kiri pesawat mengalami kerosakan lebih ringan berbanding enjin kanan selepas insiden pelanggaran dengan burung, namun enjin kiri itu telah dimatikan 19 saat selepas insiden berlaku.

Enjin kanan pula mengalami “lonjakan” dan mengeluarkan api serta asap hitam, tetapi menurut para penyiasat, enjin itu “disahkan masih mampu menjana tenaga yang mencukupi untuk penerbangan”, menurut laporan yang turut menyertakan gambar kedua-dua enjin selepas nahas.

Punca tindakan kru pesawat tidak dijelaskan, dan siasatan dijangka mengambil masa beberapa bulan kerana para penyiasat sedang membina semula keadaan teknikal pesawat serta cuba memahami persepsi juruterbang semasa kejadian.

Laporan yang dilihat Reuters itu disediakan oleh para penyiasat dan belum didedahkan kepada umum susulan aduan daripada anggota keluarga mangsa.

Pakar berkata kebanyakan nahas udara berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait, dan memberi amaran agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan bukti yang belum lengkap.

Setakat ini, perhatian umum tertumpu kepada kemungkinan kru pesawat telah mematikan enjin yang kurang rosak.

Nahas itu membawa kepada beberapa perubahan dalam peraturan penerbangan, termasuk penambahbaikan dalam komunikasi antara kru serta prosedur kecemasan.

Satu sumber memberitahu Reuters pada 21 Julai bahawa siasatan yang diketuai Korea Selatan itu mempunyai “bukti jelas” bahawa juruterbang telah mematikan enjin kiri yang kurang rosak selepas pelanggaran dengan burung, berdasarkan rakaman suara kokpit, data komputer dan suis yang ditemui dalam bangkai pesawat.

Namun, kemas kini terbaru mengenai nahas itu turut membangkitkan kemungkinan bahawa enjin yang lebih teruk kadar kerosakannya, namun tetap berfungsi, mungkin mampu mengekalkan pesawat di udara lebih lama.

Menurut bekas penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat, Encik Greg Feith, kemas kini oleh Lembaga Penyiasatan Nahas Penerbangan dan Kereta Api Korea (Araib) itu tidak menjelaskan bagaimana enjin kiri masih mampu beroperasi, mahupun keadaan sistem yang berkaitan dengan kedua-dua enjin.

Beliau berkata dokumen itu mengandungi beberapa maklumat baru tetapi banyak perkara penting juga tidak diperincikan, menjadikan dokumen tersebut “samar-samar”.

Pakar keselamatan berkata adalah biasa bagi laporan awal untuk hanya memuatkan fakta asas dan analisis terhad kerana siasatan masih dijalankan.

Araib dijangka mengeluarkan laporan akhir pada Jun 2026. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg