KUALA LUMPUR: Seorang jurutera warga Indonesia maut, manakala seorang lagi terselamat selepas sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger terbakar ketika mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang, pada 6 Februari.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mangsa yang terkorban dikenali sebagai Encik Finsen Reskey Sembiring, 27, warga Indonesia, manakala juruterbang helikopter berusia 44 tahun, juga warga Indonesia, dikenali sebagai Encik Kustiyadi, 44 tahun, hanya cedera ringan.
Sebelum kejadian, helikopter yang didaftarkan di Indonesia itu digunakan untuk kerja mengangkut bahan binaan bagi tujuan pemasangan kabel sejak 21 Januari lalu, dengan kebakaran itu menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.
Menjelas lanjut, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata helikopter pengangkut itu hilang kawalan pada ketinggian kurang satu meter ketika hendak mendarat bagi mengisi minyak di tapak pendaratan, kira-kira 10.20 pagi.
“Helikopter itu terhempas ketika hendak mendarat bagi mengisi minyak selepas terbang daripada sebuah tapak projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejauh 16 kilometer dari tempat kejadian.
“Ketika hendak mendarat, skid (kaki) helikopter bergesel dengan tempat pendaratan semasa ia berada pada ketinggian satu meter, yang menyebabkan pesawat itu terbalik sebelum berlaku kebakaran.
“Siasatan mendapati jurutera warga Indonesia yang berada di tapak pendaratan terkena libasan bilah kipas helikopter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, hanya juruterbang warga Indonesia itu berada dalam helikopter berkenaan dan beliau hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Sementara itu, TNB dalam kenyataan mengesahkan nahas berlaku ketika helikopter itu mahu mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek miliknya di kawasan Bentong.
TNB berkata pihaknya mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang turut terbabit dalam kerja penyelenggaraan di tapak projek berkenaan serta merta.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula mengesahkan kejadian membabitkan helikopter yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad, untuk menjalankan penerbangan kerja keudaraan.
“Maklumat terakhir yang diterima daripada pihak operator pada 10.18 pagi 6 Februari kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trak Udara Kuala Lumpur (KLATCC) melaporkan bahawa helikopter akan mendarat di tapak pendaratan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg