Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

PH-BN, PN kekal kuasai 3 negeri dalam PRN

Namun PN menang lebih banyak kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan
Aug 12, 2023 | 11:21 PM



Pakatan Harapan dan rakan sekutunya, Barisan Nasional (PH-BN) kekal menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) terus mendapat mandat rakyat untuk mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Keputusan ‘status quo’ di enam negeri terbabit sekali gus mengekalkan kedudukan lima Menteri Besar dan Ketua Menteri sebelum ini yang berjaya mempertahankan kerusi ditandingi, kecuali Kelantan yang akan digantikan dengan kepimpinan baru.

Kerajaan Perpaduan PH-BN di Selangor akan terus diterajui Datuk Seri Amirudin Shari yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua; Datuk Seri Aminuddin Harun (DUN Sikamat) di Negeri Sembilan; dan Encik Chow Kon Yeow (DUN Padang Kota) sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (DUN Jeneri) pula masing-masing terus diberi kepercayaan oleh PN untuk kekal menerajui Terengganu dan Kedah.

Sebagaimana diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah akan digantikan dengan kepimpinan baru gabungan tokoh agamawan dan teknokrat.

Sehingga 10.30 malam pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengumumkan PN berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu selepas memenangi semua 32 kerusi DUN, manakala Kelantan dan Kedah memperoleh keputusan dua pertiga majoriti.

Gabungan itu setakat 10.30 malam memenangi 25 kerusi daripada 36 kerusi di Kedah dan 33 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi di Kelantan.

Keputusan tidak rasmi sehingga 10.30 malam juga menyaksikan PH-BN membentuk kerajaan negeri Selangor dengan majoriti mudah selepas menguasai 30 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

PN pula berjaya menambah kerusi DUN mereka di Selangor daripada lima kepada 14, sehingga 10.30 malam.

Gabungan PH-BN itu turut memenangi 27 kerusi daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan dan 23 kerusi daripada 40 kerusi di Pulau Pinang sehingga jam 10.30 malam.

PN menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu termasuk menamatkan penguasaan kerusi tradisi yang disandang dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said bagi DUN Kijal dan Datuk Seri Ahmad Razif di DUN Seberang Takir.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam kumpulan PN pula menyumbang satu kerusi untuk PN di Kulim, Kedah menerusi kemenangan sulung calonnya, Wong Chia Zhen sejak PRU pada 2013.

Sementara itu, menurut SPR, lima negeri mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus sehingga 4 petang semalam.

Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 70 peratus diikuti Kedah (68 peratus), Pulau Pinang (67 peratus), Selangor (65 peratus) dan Negeri Sembilan (62 peratus).

Kelantan merekodkan peratusan keluar mengundi paling rendah iaitu sekitar 56 peratus setakat 4 petang.

Untuk PRN kali ini, SPR merekodkan lebih 9.67 juta orang layak mengundi di enam negeri.

Seramai 570 calon bertanding bagi merebut keseluruhan 245 kerusi DUN di negeri terlibat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >