Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Phra Prang Wat Arun di Thailand dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia

Jul 15, 2025 | 5:25 PM
Phra Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok, kini telah dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Phra Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok, kini telah dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco. - Foto REUTERS

BANGKOK: Phra Prang Wat Arun Ratchawararam, antara mercu tanda Buddha paling ikonik di Bangkok, kini telah dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, umum Menteri Kebudayaan Thailand, cik Paetongtarn Shinawatra.

Dalam satu kenyataan, Cik Paetongtarn berkata pada Sesi ke-47 Jawatankuasa Warisan Dunia yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai di Ibu Pejabat Unesco di Paris, secara rasmi telah mengiktiraf penyenaraian pagoda utama Wat Arun sebagai pencalonan awal.

“Penyenaraian ini memulakan proses rasmi ke arah pengiktirafan penuh Wat Arun sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam pada 14 Julai.

Terletak di tebing barat Sungai Chao Phraya, Wat Arun Ratchawararam - lebih dikenali sebagai Wat Arun atau Kuil Fajar - kuil purba yang telah digunakan sejak zaman Ayutthaya (kurun ke-18).

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya, Unesco menyatakan bahawa Phra Prang Wat Arun Ratchawararam merupakan bentuk chedi bergaya prang yang paling sempurna.

Ia dianggap sebagai antara karya seni bina paling unik di Thailand, mencerminkan kepentingan sejarah dan budaya yang mendalam dari zaman Rattanakosin.

Cik Paetongtarn berkata Kementerian Kebudayaan telah mengamanahkan Jabatan Seni Halus untuk menyediakan Dosier Pencalonan serta menyelia usaha pemuliharaan dan pengurusan tapak mengikut piawaian warisan antarabangsa.

“Persediaan ini penting bagi membolehkan proses pencalonan bergerak ke peringkat seterusnya. Ia merangkumi dokumentasi menyeluruh, perancangan pemuliharaan dan strategi pemeliharaan jangka panjang untuk memastikan tapak ini bersedia dinilai Unesco,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pencalonan pagoda utama Wat Arun bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan budaya Thailand, malah membuktikan komitmen berterusan negara itu dalam memelihara khazanah sejarahnya untuk generasi akan datang.

Senarai pencalonan Unesco merangkumi tapak-tapak yang ingin dinilai oleh negara anggota bagi pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada masa hadapan. - Agensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg