Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan raya Brazil: Lula menang penggal keempat, tewaskan anak bekas Presiden Bolsonaro
Pilihan raya Brazil: Lula menang penggal keempat, tewaskan anak bekas Presiden Bolsonaro
Kemenangan bersejarah Presiden Brazil itu menyekat kebangkitan politik sayap kanan di Amerika Latin, namun beliau berdepan cabaran ekonomi dan tentangan kuat di Parlimen.
Pilihan raya Brazil: Lula menang penggal keempat, tewaskan anak bekas Presiden Bolsonaro
SAO PAULO: Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, memenangi penggal keempat yang bersejarah selepas menewaskan Senator Flavio Bolsonaro dalam pilihan raya pusingan kedua pada 25 Oktober, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tokoh politik paling berpengaruh di negara itu.
Kemenangan Encik Lula, 80 tahun, yang disahkan mahkamah pilihan raya Brazil, mengejutkan pemerhati politik kerana beliau berjaya mengatasi ramalan tinjauan pendapat serta gelombang kemenangan parti sayap kanan di beberapa negara Amerika Latin.
Beliau menewaskan Encik Flavio, anak sulung bekas Presiden Jair Bolsonaro, dengan kelebihan lebih empat juta undi, walaupun pencabarnya itu mendahului pusingan pertama pilihan raya.
Bagaimanapun, Encik Flavio enggan mengakui kekalahan dan mengumumkan rancangan mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah.
Beliau mendakwa keputusan Mahkamah Agung membenarkan tempoh pengundian dilanjutkan selama dua jam telah menjejaskan kesahihan pilihan raya tersebut.
Namun, penganalisis berpendapat usaha membatalkan keputusan itu sukar berjaya, memandangkan jurang undi yang besar dan kempen Encik Flavio sendiri pernah meminta lanjutan masa pengundian berikutan hujan lebat di selatan Brazil.
Penganalisis Amerika Latin di firma perunding risiko RANE, Encik Mario Braga, berkata bantahan penyokong sayap kanan mungkin berlaku dalam beberapa hari mendatang, tetapi peluang keputusan pilihan raya dibatalkan amat tipis.
Keengganan Encik Flavio menerima kekalahan mengingatkan kembali tindakan bapanya selepas tewas kepada Encik Lula dalam pilihan raya 2022.
Encik Jair Bolsonaro tidak pernah mengakui kekalahan tersebut dan kemudian dijatuhi hukuman penjara 27 tahun kerana merancang rampasan kuasa untuk terus memegang jawatan.
Bagi Encik Lula, kemenangan terbaru ini menandakan satu lagi kebangkitan luar biasa dalam kerjaya politiknya.
Bekas pekerja logam dan pemimpin kesatuan sekerja itu pernah dipenjarakan antara 2018 dengan 2019 atas tuduhan rasuah, sebelum sabitan berkenaan dibatalkan.
Beliau kemudian kembali ke arena politik dan menewaskan Encik Jair Bolsonaro pada 2022.
Anggota Parlimen berhaluan kiri, Cik Erika Hilton, menyifatkan Encik Lula sebagai negarawan yang mempunyai pengaruh besar dalam politik Brazil.
Kemenangan kali ini bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah.
Sepanjang kempen, Encik Lula berdepan rasa tidak puas hati pengundi terhadap kenaikan harga barang, skandal rasuah yang pernah membayangi Parti Pekerja pimpinannya serta perubahan ekonomi yang semakin bergantung pada pekerjaan tidak formal dan platform digital.
Namun, kadar keluar mengundi yang lebih tinggi daripada jangkaan membantu beliau meraih kemenangan.
Pengasas bersama firma perunding Think Policy, Encik Leonardo Barreto, berkata pengundi akhirnya memilih kestabilan dan dasar yang sudah dikenali berbanding perubahan yang membawa ketidaktentuan.
Sepanjang kempen, Encik Lula menekankan pencapaian pemerintahannya dalam mengurangkan kemiskinan, jurang pendapatan, pengangguran dan penebangan hutan.
Beliau turut menjanjikan pelbagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah, termasuk kenaikan 15 peratus bantuan kebajikan serta cadangan menyediakan pengangkutan awam percuma pada hujung minggu di seluruh negara.
Kemenangan itu juga menjadikan beliau calon pertama sejak Brazil kembali kepada sistem demokrasi pada 1980-an yang berjaya memenangi jawatan Presiden selepas menduduki tempat kedua dalam pusingan pertama.
Di peringkat antarabangsa, keputusan tersebut dianggap tamparan kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang menjalin hubungan rapat dengan pemimpin sayap kanan di Amerika Latin.
Bekas Menteri Luar Brazil, Encik Celso Amorim, berkata kemenangan Encik Lula penting bagi mengekalkan keseimbangan politik serantau.
Namun, penggal keempat beliau dijangka lebih mencabar kerana parti pembangkang sayap kanan memperoleh pengaruh besar dalam Kongres.
Parti Liberal pimpinan keluarga Bolsonaro bersama sekutunya berpotensi menguasai lebih 280 kerusi Dewan Perwakilan dan sehingga 50 kerusi Senat.
Keadaan itu boleh menyukarkan Encik Lula meluluskan dasar ekonomi, perbelanjaan pemerintah dan pembaharuan utama.
Brazil juga berdepan tekanan ekonomi apabila pertumbuhan tahun depan dijangka hanya 2.3 peratus, manakala hutang awam melebihi 82 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).
Hutang isi rumah yang meningkat serta kadar faedah tinggi turut membimbangkan ahli ekonomi.
Bagi menangani masalah itu, Encik Lula memperkenalkan program pelepasan hutang dan larangan sementara terhadap pertaruhan dalam talian.
Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan Kongres yang lebih konservatif akan mendesak pembaharuan mesra perniagaan dan pengurangan perbelanjaan pemerintah.
Ini bermakna kemenangan pilihan raya belum menjamin kelancaran pentadbiran Encik Lula, yang kini perlu mengimbangi janji membantu golongan miskin dengan tuntutan mengukuhkan kewangan negara.
Menurut keputusan rasmi Mahkamah Pilihan Raya Brazil, Encik Lula memperoleh 51.79 peratus undi berbanding 48.21 peratus yang diraih Encik Flavio, dengan jurang kira-kira 4.43 juta undi.
Beliau dijadual mengangkat sumpah bagi penggal baharu pada 5 Januari 2027. – Agensi berita