Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian dagang S’pura, Amerika Latin dibentang ‘tidak lama lagi’ di Parlimen Brazil

Oct 28, 2025 | 3:13 PM
Lawrence Wong, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, Sidang Kemuncak Asean ke-47, perjanjian dagangan, Mercosur
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kanan), bertemu Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, di Sidang Kemuncak Asean ke-47, di Kuala Lumpur, pada 26 Oktober. - Foto MDDI

Perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai pada 2023 antara Singapura dengan empat negara Amerika Selatan akan dibentangkan di Parlimen Brazil “tidak lama lagi” supaya ia dapat berkuat kuasa, kata Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva.

Perjanjian itu melibatkan Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay – iaitu kumpulan yang dikenali dengan akronim Sepanyol ‘Mercosur’.

Apabila berkuat kuasa, perjanjian itu akan memberikan akses segera tanpa tarif bagi sekitar 25 peratus produk, selain menghapuskan tarif import bagi sekitar 96 peratus produk secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun.

“Hubungan perdagangan dan peluang kerjasama antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai sektor, termasuk perniagaan tani, penerbangan dan biobahan api,” kata Encik Lula.

Beliau berkata demikian mengenai hubungan Brazil-Singapura dalam wawancara e-mel eksklusif bersama akhbar The Straits Times (ST) sempena lawatan rasminya ke Asia Tenggara.

“Brazil sentiasa terbuka untuk membuat rundingan perjanjian baru dengan Singapura,” katanya, sambil menekankan bahawa perdagangan antara kedua-dua negara telah meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun, mencapai AS$8.7 bilion ($11.3 bilion).

Menurutnya, pengeluar pesawat ketiga terbesar dunia, Embraer, telah membekalkan pesawat komersial dan boleh menyediakan pesawat kargo tentera kepada Singapura. 

“Brazil juga memainkan peranan penting dalam mengeksport produk daging ke Singapura,” tambahnya.

Perjanjian perdagangan Singapura bersama Mercosur – perjanjian pertama blok perdagangan itu dengan negara Asia Tenggara – telah ditandatangani pada Disember 2023.

Menurut teks undang-undang, perjanjian itu boleh disahkan secara dua hala.

Ini bermakna Parlimen Brazil dan Singapura masing-masing boleh meluluskan perjanjian itu tanpa menunggu kelulusan daripada negara Mercosur lain.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata Singapura dijangka mengesahkan perjanjian itu tidak lama lagi, lapor ST.

Seorang jurucakap berkata MTI juga memahami perjanjian perdagangan tersebut telah diluluskan oleh presiden Paraguay dan Uruguay, dan sedang menunggu pemberitahuan rasmi daripada entiti yang menguruskan pelaksanaan perjanjian itu.

Lawatan Encik Lula ke rantau ini, menjadikannya antara beberapa pemimpin dunia ternama yang berhimpun di Kuala Lumpur bagi Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Beliau bertemu beberapa pemimpin di sana, termasuk Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong.

Encik Lula, yang merupakan presiden Brazil pertama yang menyertai sidang kemuncak serantau itu, memberitahu ST, Brazil dan Asean mempunyai ekonomi saling melengkapi dan dinamik, dengan potensi mengembangkan perdagangan dua hala yang “sangat luas”.

“Kami mempunyai laluan kukuh untuk memperkasa hubungan dan memperluaskan dialog kami,” tambahnya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Asean merupakan rakan dagangan kelima terbesar Brazil, dengan jumlah perdagangan melebihi AS$37 bilion pada 2024.

Encik Lula berkata dunia sedang mengalami beberapa perubahan besar, dan Asean serta Brazil berada di tengah-tengah sekurang-kurangnya dua transformasi itu.

“Yang pertama ialah peralihan digital. Negara Asean kian memainkan peranan penting dalam hal ini, hasil daripada industri semikonduktor dan mikroelektronik mereka yang berkembang pesat.

“Yang kedua ialah peralihan tenaga, di mana Brazil memberikan sumbangan ketara.

“Kami merupakan peneraju dalam pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, terutama dalam bidang biotenaga,” tambah Encik Lula, merujuk kepada tenaga yang dihasilkan daripada bahan organik.

Semasa lawatan Encik Lula, Malaysia dan Brazil mengumumkan satu perjanjian pada 26 Oktober untuk meningkatkan kerjasama dalam industri semikonduktor. 

Media Malaysia melaporkan Brazil juga sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Asean bagi meningkatkan pengeluaran biobahan api.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg