Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya di Syria mungkin ambil masa empat tahun

Dec 30, 2024 | 12:12 PM
Pilihan raya umum Syria boleh mengambil masa sehingga empat tahun, kata pemimpin baharunya, Encik Ahmed al-Sharaa, yang menerajui kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
Pilihan raya umum Syria boleh mengambil masa sehingga empat tahun, kata pemimpin baharunya, Encik Ahmed al-Sharaa, yang menerajui kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS). - Foto EPA-EFE

DAMSYIK: Pemimpin de facto Syria Ahmed al-Sharaa, menganggarkan proses mengadakan pilihan raya di Syria selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember lalu boleh memakan masa sehingga empat tahun.

Dalam wawancara bersama penyiar milik kerajaan Arab Saudi, Al Arabiya, yang disiarkan pada 29 Disember, Encik Sharaa turut menyatakan bahawa draf perlembagaan baru dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan.

“Rakyat Syria mungkin mula melihat perubahan drastik dalam tempoh sekitar setahun,” katanya.

Kenyataan itu merupakan kali pertama Encik Sharaa memberikan garis masa mengenai proses pemulihan politik negara itu sejak tamatnya perang saudara selama 13 tahun.

Encik Sharaa, yang mengetuai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) juga dikenali sebagai Abu Mohammed al-Golani, turut menyatakan bahawa kumpulan tersebut akan dibubarkan pada persidangan dialog nasional.

“Sudah tentu. Sebuah negara tidak boleh ditadbir dengan mentaliti kumpulan dan militan,” jelasnya ketika ditanya mengenai pembubaran HTS.

Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa dan negara jiran bahawa Syria kini telah beralih daripada pendekatan militan.

Encik Sharaa menekankan perlunya penyertaan meluas oleh masyarakat Syria dalam dialog nasional untuk menentukan masa depan negara itu, termasuk perbincangan mengenai pembubaran Parlimen dan penggubalan perlembagaan baru.

Menyentuh isu di timur laut Syria, Encik Sharaa berkata pihaknya sedang berbincang dengan semua pihak, termasuk Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat, untuk menyelesaikan pertikaian yang masih ada.

Beliau turut menegaskan bahawa Syria tidak akan menjadi wadah untuk Parti Pekerja Kurdistan (PKK) melancarkan serangan terhadap Turkey.

“Senjata hanya patut berada di bawah kawalan negara. Kementerian Pertahanan kami mengalu-alukan mereka yang mampu untuk menyertai tentera,” tambahnya.

Mengenai hubungan dengan Russia, sekutu utama Syria semasa perang saudara, Encik Sharaa menyatakan bahawa kerjasama strategik antara Syria dengan Russia akan terus menjadi keutamaan.

“Hubungan kami dengan Russia harus berkhidmat untuk kepentingan bersama,” katanya, memberi isyarat bahawa perbincangan mengenai pangkalan tentera Russia di Syria akan dilakukan dengan kepimpinan baru.

Encik Sharaa juga berharap pentadbiran Presiden Amerika yang baru akan mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan ke atas Syria.

Washington telah menarik semula ganjaran AS$10 juta ($13.7 juta) yang sebelum ini ditawarkan untuk maklumat mengenai Encik Sharaa, mencerminkan pendekatan yang lebih pragmatik terhadap kepimpinannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Syria tidak bercadang untuk “mengeksport revolusi” ke negara jiran.

“Kami mahu menguruskan fasa ini dengan mentaliti sebuah negara, bukan revolusi,” katanya, menekankan komitmen untuk membina hubungan strategik dengan negara serantau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg