ISLAMABAD: Lebih 30 orang terbunuh dalam gelombang keganasan yang tercetus menjelang fasa kedua pilihan raya tempatan di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, sekali gus memburukkan lagi krisis politik dan keselamatan di wilayah bergolak itu.

Pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan, khususnya di Rawalakot dan Mirpur, ketika ribuan penyokong Jawatankuasa Tindakan Awam Bersama (JAAC) mengadakan bantahan terhadap sistem pilihan raya yang didakwa tidak adil.

Pemimpin JAAC mendakwa lebih 30 orang terbunuh sejak bantahan bermula awal Jun lalu, namun angka itu tidak dapat disahkan secara bebas berikutan gangguan Internet, sekatan jalan raya dan kawalan ketat keselamatan di wilayah berkenaan.

Pihak berkuasa Pakistan pula mengesahkan sekurang-kurangnya seorang anggota pasukan keselamatan terbunuh manakala lima lagi cedera dalam pertempuran pada 27 Julai lalu.

Seorang pegawai yang enggan dikenali turut mengesahkan sekurang-kurangnya tiga penunjuk perasaan maut di Mirpur minggu ini.

Polis mengesahkan berlaku pertempuran dengan penunjuk perasaan, namun tidak mengesahkan jumlah korban.

Dalam satu kenyataan, polis mendakwa dua anggotanya cedera akibat serangan “kumpulan bersenjata”.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) menggesa keganasan dihentikan serta-merta dan menuntut siasatan bebas dijalankan terhadap semua kematian dan kecederaan yang dilaporkan.

Pilihan raya tempatan yang bermula 27 Julai lalu pada asalnya dijadual berlangsung dalam satu hari pada 27 Julai, namun dipecahkan kepada tiga fasa atas alasan keselamatan.

Fasa pertama membabitkan daerah Mirpur, Kotli dan Bhimber menyaksikan parti pemerintah Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N) memenangi sembilan daripada 13 kerusi yang dipertandingkan.

Pengundian fasa kedua dijadual berlangsung pada 2 Ogos, manakala fasa terakhir pada 10 Ogos.

Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Imran Khan, memboikot pilihan raya itu kerana mendakwa proses pengundian terdedah kepada penipuan dan manipulasi.

Ketegangan semakin memuncak selepas pemerintah wilayah mengharamkan JAAC pada Jun lalu mengikut undang-undang antikeganasan.

Sejak itu, perkhidmatan Internet, operasi perbankan dan rangkaian jalan raya di banyak kawasan dilaporkan terganggu, sekali gus menyukarkan aliran maklumat keluar dari wilayah berkenaan.

JAAC yang ditubuhkan pada 2023 pada asalnya memperjuangkan isu kos sara hidup seperti harga makanan dan tarif elektrik sebelum mengalihkan tumpuan kepada pembaharuan politik.

Gabungan yang terdiri daripada ahli perniagaan, pelajar dan aktivis masyarakat sivil itu kini mendesak supaya 12 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Kashmir yang diperuntukkan kepada pelarian dari Kashmir yang ditadbir India disusun semula untuk diberikan kepada penduduk yang benar-benar menetap di wilayah itu.

Menurut JAAC, sistem sedia ada membolehkan parti politik nasional mempengaruhi pembentukan pemerintah wilayah melalui wakil yang tinggal di luar Kashmir.

Bagaimanapun, Islamabad menolak tuntutan itu dengan alasan perubahan berkenaan memerlukan pindaan perlembagaan.

Ketika perhimpunan di Islamabad, seorang pemimpin JAAC, Encik Sardar Mazhar, berkata pihaknya mahu pertikaian itu diselesaikan secara aman.

“Kami mahu isu ini diselesaikan secara aman,” katanya.

Seorang penduduk Muzaffarabad, Encik Fazal Mahmood Baig, pula mendakwa keseluruhan proses pilihan raya tidak telus.

“Keseluruhan pilihan raya ini adalah satu penipuan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin JAAC, Encik Umar Nazir Kashmiri, menerusi rakaman video menegaskan gerakan itu tidak menggunakan keganasan dan telah mengarahkan semua penyokong supaya tidak membawa senjata ketika menyertai bantahan.

Beliau berkata perarakan ke Muzaffarabad tetap akan diteruskan walaupun berdepan tindakan keras pihak berkuasa.

Pemerintah Pakistan mempertahankan tindakan keselamatan dengan mendakwa terdapat individu bersenjata yang disokong India menyusup masuk ke dalam bantahan tersebut. India sebelum ini berulang kali menolak dakwaan seumpama itu.

Selain pertempuran membabitkan JAAC, keganasan politik turut berlaku antara penyokong dua parti utama pemerintah, PML-N dan Parti Rakyat Pakistan (PPP), mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Penganalisis politik, Encik Hasan Askari, berkata PML-N dijangka memerlukan sokongan 12 kerusi kontroversi itu untuk membentuk pemerintah wilayah.

“Jika pemerintah bergantung kepada kerusi yang menjadi pertikaian itu, sukar untuk mereka mencari penyelesaian yang dapat diterima semua pihak,” katanya.

Pergolakan di Kashmir berlaku ketika Pakistan turut berdepan pelbagai cabaran keselamatan lain, termasuk pemberontakan bersenjata di wilayah Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa yang terus mengorbankan anggota pasukan keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam perkembangan berasingan, India membantah penggunaan istilah “Pakistani Kashmir” oleh akhbar The New York Times ketika melaporkan keganasan itu.

Kedutaan India di Amerika Syarikat menegaskan wilayah berkenaan ialah “Kashmir yang diduduki Pakistan” dan mengulangi pendirian New Delhi bahawa Jammu, Kashmir dan Ladakh adalah sebahagian daripada wilayah India. – Agensi berita.