Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan raya New York dedah perubahan besar sentimen terhadap Israel
Pilihan raya New York dedah perubahan besar sentimen terhadap Israel
Sokongan tradisional terhadap Israel semakin terhakis, khususnya dalam kalangan generasi muda, pengundi progresif
Pilihan raya New York dedah perubahan besar sentimen terhadap Israel
NEW YORK: Keputusan pilihan raya awal Parti Demokrat di New York City menjadi petunjuk terbaru perubahan besar sentimen rakyat Amerika terhadap Israel, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan hubungan rapat antara Washington dengan Tel Aviv.
Di dua lokasi berasingan selepas kemenangan calon Demokrat pada malam 23 Jun, penyokong melaungkan slogan sama: “Bebaskan Palestin! Bebaskan Palestin!”
Di Harlem, Cik Darializa Avila Chevalier meraikan kemenangan mengejut ke atas Ahli Kongres Encik Adriano Espaillat yang selama ini dikenali sebagai penyokong kuat Israel.
Sementara itu di East Williamsburg, Cik Claire Valdez berucap selepas menewaskan Presiden Borough Brooklyn, Encik Antonio Reynoso, sambil berjanji akan “menentang genosid”.
Dalam satu lagi pertandingan, mantan Pengawal Kewangan New York City, Encik Brad Lander, berjaya menewaskan penyandang Encik Dan Goldman selepas menjadikan kritikan terhadap sokongan Goldman kepada Israel sebagai antara isu utama kempennya.
Keputusan pilihan raya itu dilihat sebagai bukti terbaru bahawa sokongan tradisional rakyat Amerika terhadap Israel semakin terhakis, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi progresif.
Perubahan itu kini bukan sahaja memberi kesan kepada Parti Demokrat, malah mula mempengaruhi Parti Republikan.
Datuk Bandar New York City, Encik Zohran Mamdani, dianggap antara tokoh utama di sebalik kemenangan beberapa calon progresif yang mempunyai hubungan dengan kumpulan Sosialis Demokratik Amerika.
Ketiga-tiga calon yang disokong Encik Mamdani berkempen atas agenda seperti penjagaan kesihatan sejagat dan penamatan sokongan ketenteraan Amerika kepada operasi Israel di Gaza.
Senator bebas dari Vermont, Encik Bernie Sanders, berkata rakyat Amerika semakin muak dengan politik tradisional.
“Rakyat Amerika di New York dan semakin ramai di seluruh negara sudah bosan dengan politik status quo,” katanya.
“Mereka mahu ahli Kongres yang berani melawan pengaruh wang besar dan membina kerajaan yang benar-benar berfungsi untuk rakyat.”
Tinjauan pendapat menunjukkan sentimen anti-Israel semakin meningkat secara dwipartisan, terutama dalam kalangan pengundi muda.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, sebelum ini turut memberi amaran terbuka kepada Israel.
“Presiden Trump ialah satu-satunya ketua negara di dunia yang masih bersimpati dengan Israel ketika ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Israel bahawa sebahagian besar senjata yang melindungi negara itu dihasilkan dan dibiayai oleh pembayar cukai Amerika.
Kenyataan itu mencetuskan spekulasi bahawa Washington pada masa depan mungkin mengenakan syarat terhadap bantuan ketenteraan kepada Israel.
Walaupun Encik Trump belum memberi bayangan akan mengambil langkah sedemikian, retorik lebih keras daripada tokoh konservatif seperti Encik Tucker Carlson menunjukkan sokongan Parti Republikan terhadap Israel juga tidak lagi sepenuhnya kukuh.
Dalam Parti Demokrat pula, perubahan sentimen dilihat lebih ketara sejak perang Gaza tercetus.
Tinjauan New York Times/Siena pada Mei mendapati pengundi Demokrat kini empat kali lebih cenderung bersimpati kepada rakyat Palestin berbanding Israel.
Datuk Bandar Evanston di Chicago, Encik Daniel Biss, berkata dasar bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada Israel semakin dipersoalkan.
“Permintaan sebenar sekarang ialah pertanggungjawaban,” katanya.
“Bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada mana-mana negara adalah dasar yang tidak masuk akal.”
Bagaimanapun, kumpulan pelobi pro-IsraelAm Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) mempertahankan hubungan Washington-Tel Aviv.
Jurucakapnya berkata hubungan Amerika-Israel memberi “kelebihan strategik yang tidak ternilai” kepada Amerika.
Namun, organisasi itu turut mengakui wujud “persekitaran politik yang semakin mencabar”.
Kumpulan dana politik pro-Israel, Projek Demokrasi Bersatu yang dikaitkan dengan AIPAC, dan membelanjakan jutaan dolar dalam pemilihan Demokrat pada 2026, menyifatkan kemenangan calon progresif sebagai “trend membimbangkan kebangkitan golongan kiri anti-Israel”.
Walaupun begitu, beberapa calon Demokrat yang kuat menyokong Israel masih memenangi pilihan raya awal di negeri lain seperti Utah dan Maryland.
Pemerhati politik berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sejak beberapa tahun lalu semakin bergantung kepada Parti Republikan sebagai benteng utama sokongan politik di Amerika.
Namun sokongan dwipartisan terhadap Israel kini semakin rapuh.
Pada April lalu, kira-kira tiga perempat Senator Demokrat menyokong usul untuk membatalkan penjualan senjata kepada Israel, meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya.
Walaupun usul itu gagal akibat tentangan Republikan, ia dianggap petanda penting perubahan politik di Washington.
Beberapa calon Demokrat yang lantang mengkritik Israel juga sebenarnya berketurunan Yahudi dan mempunyai hubungan rapat dengan Israel.
Mereka menegaskan tetap menyokong kewujudan negara Israel tetapi menentang dasar kerajaan Netanyahu serta menyokong hak rakyat Palestin.
Senator California, Encik Scott Wiener, berkata era bantuan tanpa syarat kepada Israel mungkin sudah berakhir.
“Saya fikir era bantuan tanpa syarat sudah tamat,” katanya.
“Kita akan melihat lebih ramai suara Yahudi progresif di Kongres yang tidak lagi mahu menerima tingkah laku Netanyahu.”
Bekas penasihat keselamatan negara kepada Naib Presiden Kamala Harris, Philip H. Gordon, berkata perubahan sentimen rakyat Amerika terhadap Israel berlaku pada kadar yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Mungkin sudah terlambat. Israel terlalu lama menganggap sokongan Amerika sebagai sesuatu yang pasti,” katanya.
Beliau meramalkan pakej bantuan ketenteraan AS$38 bilion yang ditandatangani pentadbiran Encik Obama dan tamat pada 2028 mungkin menjadi pakej terakhir seumpamanya.
Namun, penganalisis turut menegaskan hubungan strategik Amerika-Israel masih kukuh terutama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Kerjasama ketenteraan kedua-dua negara semakin rapat ketika serangan terhadap Iran awal tahun ini, selain pengaruh teknologi pertahanan dan siber Israel yang terus berkembang.
Ahli Kongres Demokrat dari New Jersey, Encik Josh Gottheimer, berkata Israel kekal penting kepada kepentingan Amerika di Asia Barat.
“Israel memainkan peranan penting dalam usaha memerangi keganasan dan melindungi kepentingan Amerika di rantau ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjangkakan “perang besar” dalam Parti Demokrat mengenai dasar terhadap Israel akan terus memuncak menjelang pilihan raya akan datang. – Agensi berita.
