Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan raya Thai mungkin terbatal, mahkamah tentukan 28 Sep
Pilihan raya Thai mungkin terbatal, mahkamah tentukan 28 Sep
BANGKOK: Kerajaan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berdepan ujian besar terhadap kedudukannya apabila Mahkamah Perlembagaan dijadualkan memutuskan pada 28 September sama ada pilihan raya umum Februari lalu perlu dibatalkan kerana didakwa melanggar prinsip kerahsiaan pengundian.
Keputusan itu boleh menentukan sama ada kerajaan pimpinan Parti Bhumjaithai dapat meneruskan pentadbirannya atau Thailand terpaksa mengadakan pilihan raya baharu, hanya tujuh bulan selepas rakyat negara itu keluar mengundi.
Kes berkenaan tertumpu pada penggunaan kod bar dan kod QR pada kertas undi pilihan raya 8 Februari lalu, yang didakwa membolehkan identiti pengundi dikenal pasti dan pilihan mereka dikesan.
Mahkamah Perlembagaan menerima kes tersebut pada Mac selepas Pejabat Ombudsman mengemukakan aduan berhubung kemungkinan sistem berkenaan melanggar jaminan kerahsiaan pengundian di bawah Perlembagaan Thailand.
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempertahankan penggunaan kod tersebut dengan menjelaskan bahawa ia bertujuan mencegah penipuan dan memastikan setiap kertas undi dapat disahkan.
Suruhanjaya itu mengakui bahawa secara teori, kertas undi boleh dipadankan dengan keratan yang mengandungi maklumat pengundi.
Bagaimanapun, pihaknya menegaskan bahawa kemungkinan tersebut amat kecil kerana kedua-dua dokumen disimpan secara berasingan dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Mahkamah boleh membuat beberapa keputusan, termasuk memutuskan bahawa penggunaan kod tersebut melanggar prinsip kerahsiaan pengundian sehingga menyebabkan keseluruhan pilihan raya dibatalkan.
Hakim juga boleh mendapati terdapat kelemahan dalam sistem berkenaan tetapi memutuskan bahawa pelanggaran itu tidak cukup serius untuk membatalkan keputusan pilihan raya.
Mahkamah turut mempunyai pilihan untuk menolak kes tersebut sekiranya mendapati tiada pelanggaran Perlembagaan yang memerlukan pembatalan keputusan pilihan raya.
Menurut pensyarah sains politik Universiti Thammasat, Encik Purawich Watanasukh, kes itu merupakan cabaran besar kepada kerajaan sejak pentadbirannya dibentuk.
“Kes ini membawa implikasi yang besar. Ia sememangnya cabaran paling penting sejak kerajaan dibentuk,” katanya.
“Dalam keadaan paling buruk, keseluruhan pilihan raya boleh diisytiharkan tidak sah.”
Parti Bhumjaithai pimpinan Encik Anutin mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya Februari lalu sebelum membentuk kerajaan campuran yang mendapat sokongan meluas dalam Parlimen.
Keputusan itu membolehkan Encik Anutin mengetuai sebuah kerajaan yang mempunyai sokongan Parlimen lebih kukuh berbanding beberapa pentadbiran terdahulu yang sering berdepan pergolakan politik.
Sekiranya pilihan raya dibatalkan, kerajaan beliau dijangka meneruskan pentadbiran sementara sehingga pilihan raya baharu diadakan dan kerajaan seterusnya dibentuk.
Keadaan itu berpotensi menangguhkan keputusan dasar utama serta kelulusan pelaburan ketika ekonomi Thailand masih menghadapi pertumbuhan perlahan, hutang isi rumah yang tinggi dan kekurangan pelaburan.
Ekonomi Thailand diunjurkan berkembang sekitar 2.5 peratus tahun ini, manakala pasaran sahamnya mencatat peningkatan kira-kira 30 peratus sejak awal tahun.
Ketidaktentuan politik baharu boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan mengganggu usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Pakar ekonomi Standard Chartered, Encik Tim Leelahaphan, memberi amaran bahawa kekosongan politik dan tempoh peralihan pentadbiran boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi pada suku terakhir tahun ini serta awal 2027.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pilihan raya baharu, sekiranya diperlukan, dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
Tekanan terhadap Encik Anutin juga semakin meningkat apabila pemimpin gerakan bantahan, Encik Sondhi Limthongkul, menggerakkan penyokongnya bagi membantah kerajaan berhubung dakwaan rasuah dan peningkatan kos sara hidup.
Thailand mempunyai sejarah pembatalan pilihan raya melalui keputusan mahkamah.
Pada 2006, Mahkamah Perlembagaan membatalkan pilihan raya atas beberapa alasan, termasuk isu kerahsiaan pengundian.
Empat bulan kemudian, tentera menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Encik Thaksin Shinawatra, sekali gus mencetuskan satu lagi tempoh pergolakan politik.
Bagaimanapun, keadaan politik sekarang berbeza kerana Encik Anutin mendapat sokongan daripada pelbagai kumpulan berpengaruh, termasuk golongan konservatif, tentera, birokrasi dan sektor perniagaan.
Pakar sains politik Universiti Burapha, Encik Olarn Thinbangtieo, berkata sokongan tersebut memberikan kerajaan kestabilan politik yang jarang dinikmati pentadbiran Thailand sepanjang dua dekad lalu.
Menurutnya, cabaran utama ialah ketidaktentuan yang mungkin timbul sekiranya negara itu terpaksa kembali mengadakan pilihan raya.
Keputusan mahkamah pada Isnin ini akan menentukan kesahihan pilihan raya Februari lalu, dengan implikasi terhadap kesinambungan pentadbiran dan rancangan ekonomi kerajaan. – Agensi berita.