Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo, Anutin perkukuh perkongsian strategik Indonesia-Thailand
Prabowo, Anutin perkukuh perkongsian strategik Indonesia-Thailand
Rangka kerja tumpu bidang keselamatan, pembangunan ekon, sosial dan kebudayaan
Prabowo, Anutin perkukuh perkongsian strategik Indonesia-Thailand
JAKARTA: Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia pada 3 Ogos dengan mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama serantau antara kedua-dua negara.
Lawatan selama dua hari itu merupakan kunjungan pertama seorang perdana menteri Thailand ke Indonesia dalam tempoh 15 tahun, sekali gus mencerminkan usaha kedua-dua negara memperkukuh hubungan strategik ketika Asean giat meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara anggotanya.
Sebaik tiba di Jakarta, Encik Anutin terus menuju ke Istana Merdeka untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Encik Prabowo sebelum kedua-dua pemimpin mempengerusikan sesi perundingan peringkat tertinggi yang membabitkan anggota kabinet masing-masing.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua pemimpin melancarkan Pelan Hala Tuju Perkongsian Strategik Indonesia-Thailand 2026-2030, yang akan menjadi rangka kerja hubungan dua hala bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dokumen itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu keselamatan, pembangunan ekonomi serta pembangunan sosial dan kebudayaan.
Kerajaan Thailand minggu lalu meluluskan pelan strategik berkenaan sebagai asas memperluaskan kerjasama dengan Indonesia.
Selain melancarkan pelan hala tuju itu, Encik Prabowo dan Encik Anutin membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk usaha membanteras jenayah rentas sempadan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan, memperkukuh keselamatan makanan serta tenaga, mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara dan memperluaskan kerjasama dalam Asean.
Keselamatan makanan menjadi antara agenda utama memandangkan Indonesia dan Thailand masing-masing merupakan pengeluar utama produk pertanian di rantau ini.
Kedua-dua negara juga membincangkan langkah memperkukuh rantaian bekalan makanan serantau serta meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga.
Lawatan Encik Anutin berlangsung ketika data terkini menunjukkan Thailand muncul sebagai pembeli terbesar minyak mentah Indonesia pada separuh pertama tahun 2026 ini.
Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia memaklumkan Thailand menyumbang 88.81 peratus daripada keseluruhan eksport minyak mentah Indonesia dalam tempoh berkenaan, jauh mengatasi Malaysia dan China.
Bagaimanapun, eksport minyak mentah Indonesia ke pasaran antarabangsa tidak berlaku secara konsisten setiap bulan, dengan nilai eksport tertinggi direkodkan pada Mac lalu sebanyak AS$133 juta ($170 juta).
Perkembangan itu menunjukkan hubungan perdagangan tenaga antara kedua-dua negara semakin penting ketika permintaan serantau terhadap bekalan tenaga terus meningkat.
Menurut data kerajaan Indonesia, nilai perdagangan dua hala antara Jakarta dan Bangkok kekal sekitar AS$17 bilion setahun sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
Defisit perdagangan Indonesia dengan Thailand turut menyusut dengan ketara daripada AS$2 bilion pada 2024 kepada hanya AS$140.6 juta pada 2025, sekali gus mencerminkan imbangan perdagangan yang semakin seimbang.
Selepas menghadiri mesyuarat di Istana Merdeka, Encik Anutin menghadiri Forum Perniagaan Thailand-Indonesia yang menghimpunkan pemimpin industri serta pelabur dari kedua-dua negara.
Forum itu dijangka menjadi platform bagi meneroka peluang baharu dalam pelaburan, perdagangan dan kerjasama sektor swasta, walaupun setakat ini tiada pengumuman mengenai sebarang perjanjian komersial baharu.
Perdana Menteri Thailand itu turut dijangka menyampaikan ucaptama di Sekretariat Asean di Jakarta mengenai hala tuju masa depan blok serantau itu.
Setiausaha Agung Asean, Encik Kao Kim Hourn, sebelum ini berkata blok berkenaan menyasarkan perdagangan intra-Asean meningkat daripada kira-kira 21 peratus ketika ini kepada 35 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara anggotanya.
Beliau menegaskan negara anggota perlu memperkukuh hubungan ekonomi sesama sendiri bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan landskap perdagangan antarabangsa.
Dalam pertemuan di Jakarta, Encik Anutin diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow.
Encik Prabowo pula diiringi beberapa anggota Kabinet Merah Putih, termasuk Menteri Luar, Encik Sugiono; Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi; serta Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya.
Lawatan kerja Encik Anutin ke Indonesia yang berlangsung sehingga 4 Ogos dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala antara dua ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, selain memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkasakan integrasi ekonomi Asean di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan global. – Agensi berita.