KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia berkata pada Selasa bahawa ia akan melaksanakan dasar struktural yang bertujuan merangsang pengaliran dana dan pelaburan asing yang akan menyokong ringgit, dan mengulangi gesaan bahawa Malaysia tidak akan menambat ringgit dengan dolar Amerika Syarikat.
Nilai ringgit jatuh 5.4 peratus sejauh ini dalam 2023, dan pada Selasa, mata wang itu diperdagangkan pada 4.638 berbanding dolar Amerika – paras rendah tujuh bulan dan ditutup lemah sejak Januari 1998.
Pada 1998, semasa krisis kewangan Asia, Malaysia menguatkuasakan pengawalan modal dan menambat ringgit pada 3.8 berbanding dolar Amerika, dan kekal dengan penambatan itu sehingga 2005.
Kemudian pada 2022, kementerian itu mengatakan tidak akan lagi berbuat demikian, dengan menyebut tentang risiko terhadap pengaliran modal.
Malaysia berisiko kehilangan kebebasan dasar kewangannya dan mungkin perlu menaikkan kadar faedah bagi menyesuaikan dengan kos pinjaman yang tinggi di Amerika, jika ringgit ditambat semula dengan dolar, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, di Parlimen pada Selasa.
“Orang ramai telah menghadapi kesulitan (dengan kadar faedah yang ada sekarang),” katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tidak dijangkakan telah menaikkan paras kadar faedah pada Mei, dengan alasan perlunya menangani inflasi yang berterusan di tengah-tengah permintaan domestik yang sedang rancak.
Sebaliknya, kerajaan akan fokus kepada usaha memperbaiki iklim pelaburan dan pengeluaran Malaysia, dan akan melaksanakan langkah-langkah kemapanan fiskal yang boleh menarik pelaburan asing yang berkualiti, kata Datuk Ahmad, dipetik agensi berita Reuters.
Bank Negara Malaysia juga akan melihat kemungkinan untuk meredakan pergolakan dalam pasaran tukaran asing, termasuk melalui penggunaan kaedah lindung nilai, kata beliau.
Bank pusat Malaysia itu berkata pada Jun bahawa Malaysia perlu pemulihan struktural bagi perkukuh pertumbuhan dan menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan bagi merangsang nilai ringgit.
Sementara itu, nilai mata wang ringgit dijangka kukuh berikutan pelbagai langkah diambil bagi merangsang pasaran modal di Malaysia, yang diumumkan pada Isnin, kata Datuk Anwar.
Beliau, yang juga selaku Menteri Kewangan Malaysia, berkata bahawa asas ekonomi negara itu masih kukuh.
“Ia tidak saling terkait, tetapi diharapkan kita boleh... yang lebih penting adalah asas ekonomi kukuh,” kata Datuk Anwar kepada wartawan selepas melancarkan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) bagi siswazah di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pengumuman itu dapat membantu perkukuh nilai mata wang tempatan.
Sementara itu, CMGP bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan para siswazah dan memastikan saluran bakat yang mampan untuk mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.
Untuk meluaskan peluang pelaburan yang termampu bagi orang awam dan mendalami minat pelabur dalam pasaran modal domestik, Datuk Anwar juga mengumumkan pengurangan kadar duti setem bagi saham yang diperdagangkan di Bursa Saham Malaysia, daripada 0.15 sen sekarang kepada 0.10 sen daripada nilai kontrak, tertakluk kepada had maksimum sebanyak RM1,000 bagi setiap kontrak, mulai Julai.
Selain aspek pengurangan kadar duti setem dan memudahkan proses penyenaraian, kerajaan Malaysia akan turut meneliti dasar bagi menarik dan memudahkan usaha penubuhan pejabat di Malaysia dan menggalak usaha penerokaan korporat menerusi lebih banyak dasar cukai dan insentif yang memudahkan.
Perubahan itu secara langsung dapat mengurangkan kos urus niaga atau transaksi sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih bersaing, sekali gus dapat merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya.
Datuk Anwar berkata peningkatan mudah tunai pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia, sekali gus menggalak Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) serta memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana bagi tujuan pengembangan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg