PM baru Bangladesh ikrar kawal harga Ramadan, pulihkan ekonomi
PM baru Bangladesh ikrar kawal harga Ramadan, pulihkan ekonomi
DHAKA: Perdana Menteri baru Bangladesh, Encik Tarique Rahman, berikrar menstabilkan harga barangan asas sepanjang Ramadan, mengembalikan kedaulatan undang-undang serta mempercepat pembaharuan ekonomi dan infrastruktur selepas kemenangan besar partinya dalam pilihan raya parlimen.
Encik Rahman, 60 tahun, anak kepada bekas perdana menteri Khaleda Zia dan presiden terbunuh Ziaur Rahman, mengangkat sumpah dalam suasana politik genting ketika negara masih memulihkan diri daripada pergolakan yang menjatuhkan pemerintah Sheikh Hasina pada 2024.
Beliau berdepan cabaran segera untuk memulihkan kestabilan politik, mengembalikan keyakinan pelabur dan menghidupkan semula industri utama termasuk sektor pakaian yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dalam ucapan televisyen pada 18 Februari sempena awal Ramadan, Encik Rahman memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.
“Ramadan adalah bulan penyucian diri. Tempoh ini tidak sepatutnya menambah beban rakyat,” katanya.
“Jangan jadikan Ramadan sebagai bulan mengaut keuntungan. Pastikan barangan keperluan kekal mampu dibeli.”
Harga beras, minyak masak, gula dan dal lazimnya meningkat pada bulan puasa kerana permintaan tinggi.
Pada Januari 2026, inflasi tahunan Bangladesh mencecah 8.58 peratus, tertinggi sejak Mei 2025, sekali gus terus menekan perbelanjaan isi rumah.
Encik Rahman berkata pemerintah akan memecahkan kartel pasaran yang menindas pengguna serta memperkukuh mekanisme perlindungan pembeli dan penjual.
“Kedaulatan undang-undang akan menjadi kata putus dalam pentadbiran negara bukan pengaruh parti, kuasa politik atau paksaan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan usaha meningkatkan keselamatan awam dan penguatkuasaan antirasuah sebagai keutamaan utama pentadbiran baru.
Selain isu harga, Encik Rahman mengumumkan rancangan membaik pulih dan memperluas rangkaian kereta api negara serta menyelaras kementerian berkaitan jalan raya, pelabuhan air dan jambatan bagi mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu.
Menurutnya, langkah itu penting untuk mengurangkan kesesakan bandar serta meningkatkan hubungan ekonomi antara wilayah.
Pelantikan Encik Rahman menandakan perubahan politik besar selepas tempoh pentadbiran sementara diketuai pemenang Hadiah Nobel, Encik Muhammad Yunus yang mengurus negara menjelang pilihan raya.
Majlis angkat sumpah diadakan di kawasan terbuka South Plaza bangunan parlimen, bukan di kediaman rasmi presiden seperti kebiasaan, di hadapan diplomat dan wakil negara termasuk China, India dan Pakistan.
Kabinet baru terdiri daripada 49 anggota, gabungan pemimpin veteran Parti Nasionalis Bangladesh dan muka baru, mencerminkan usaha menyeimbangkan pengalaman politik dengan kepakaran pentadbiran.
Parti Nasionalis Bangladesh memperoleh majoriti dua pertiga kerusi, kembali berkuasa selepas hampir dua dekad.
Parti Islam Jamaat-e-Islami pula mencatat rekod 68 kerusi selepas larangan penyertaannya ditarik balik berikutan kejatuhan pemerintah terdahulu.
Parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina tidak dibenarkan bertanding selepas pendaftarannya dibatalkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Jamaat dan sekutunya termasuk Parti Warga Nasional yang diterajui aktivis belia, yang memainkan peranan besar dalam gerakan menggulingkan pemerintah lama tidak menghadiri majlis angkat sumpah sebagai tanda protes.
Mereka membantah keputusan parti Encik Rahman menolak permintaan pemerintah sementara supaya ahli parlimennya mengangkat sumpah tambahan di bawah Majlis Pembaharuan Perlembagaan yang dicadangkan. Majlis itu bertujuan meminda perlembagaan selepas referendum diadakan serentak dengan pilihan raya.
Kenaikan Encik Rahman ke tampuk kuasa menutup perjalanan politik panjang dan berliku. Beliau pulang ke Bangladesh tahun lalu selepas 17 tahun hidup dalam buangan di London, tidak lama sebelum kematian ibunya.
Pesaing politik lama mengkritik rekodnya dan mengaitkan beliau dengan dakwaan rasuah yang dinafikan, namun kepulangannya menyuntik semangat penyokong parti dan mengubah dinamika kempen pilihan raya.
Dalam kenyataan pertama selepas kemenangan, Encik Rahman menyeru rakyat bertenang dan mengelak ketegangan. “Keamanan serta ketenteraman mesti dipelihara dalam apa jua keadaan,” katanya. “Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekacauan.”
Pemerhati melihat pentadbiran baharu perlu bertindak pantas memulihkan keyakinan pelabur asing, terutama dalam sektor pakaian yang menyumbang sebahagian besar eksport Bangladesh tetapi terjejas akibat pergolakan politik.
Langkah menstabilkan harga sepanjang Ramadan dilihat sebagai ujian awal kepada pemerintah untuk membuktikan keupayaannya mengurus kos sara hidup rakyat. Dengan mandat besar daripada pengundi, Encik Rahman kini memikul tanggungjawab mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara yang lama dilanda ketegangan.
Cabaran utama beliau ialah memastikan janji reformasi, integriti pentadbiran dan pemulihan ekonomi dapat diterjemahkan kepada perubahan nyata bagi rakyat Bangladesh. – Agensi berita.

