Tarique Rahman: Dari buangan ke puncak kuasa Bangladesh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarique Rahman: Dari buangan ke puncak kuasa Bangladesh

Feb 13, 2026 | 1:05 PM

Tarique Rahman: Dari buangan ke puncak kuasa Bangladesh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan calon pilihan raya, Tarique Rahman, membuat isyarat tangan ketika bercakap dalam wawancara bersama AFP di pejabat parti di Dhaka pada 10 Februari 2026. Calon utama perdana menteri Bangladesh itu berkata beliau bakal berdepan cabaran “besar” sekiranya memenangi pilihan raya minggu ini, sambil berjanji untuk memulihkan negara yang menurutnya telah “dijarah” di bawah pemerintah terdahulu yang digulingkan.
Pemangku Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan calon pilihan raya, Tarique Rahman, membuat isyarat tangan ketika bercakap dalam wawancara bersama AFP di pejabat parti di Dhaka pada 10 Februari 2026. Calon utama perdana menteri Bangladesh itu berkata beliau bakal berdepan cabaran “besar” sekiranya memenangi pilihan raya minggu ini, sambil berjanji untuk memulihkan negara yang menurutnya telah “dijarah” di bawah pemerintah terdahulu yang digulingkan. - Foto AFP

DHAKA: Kurang dua bulan selepas pulang daripada hampir dua dekad hidup dalam buangan di London, Tarique Rahman kini berada di ambang menjadi Perdana Menteri Bangladesh selepas gabungan yang diterajui Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum.

Menurut laporan penyiar tempatan Ekattor TV, gabungan pimpinan BNP melepasi ambang majoriti mudah 151 kerusi seawal proses pengiraan undi pada pagi 13 Februari. Keputusan tidak rasmi menunjukkan BNP dan sekutunya memenangi sekurang-kurangnya 211 daripada 299 kerusi yang dipertandingkan.

Encik Tarique, 60 tahun, turut memenangi kedua-dua kerusi yang ditandinginya, Dhaka-17 dan Bogura-6, dengan majoriti selesa. Sebagai pengerusi BNP, beliau kini dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, sekali gus meneruskan legasi politik keluarganya yang pernah mendominasi landskap politik Bangladesh.

Pilihan raya 12 Februari ini menyaksikan kebangkitan semula seorang tokoh yang pernah disingkirkan daripada arus perdana politik. Encik Tarique meninggalkan Bangladesh pada 2008 selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah pentadbiran sementara yang disokong tentera susulan tindakan membanteras rasuah.

Beliau mendakwa ketika itu memerlukan rawatan perubatan dan berlepas ke London, di mana beliau menetap bersama isterinya yang merupakan pakar kardiologi dan anak perempuannya yang bekerja sebagai peguam.

Kepulangannya pada Disember lalu disambut ribuan penyokong, beberapa bulan selepas kebangkitan pelajar menggulingkan musuh tradisi BNP, Sheikh Hasina, pada Ogos 2024.

Cik Hasina kini berada dalam buangan di New Delhi, manakala ibu Tarique,Cik Khaleda Zia, yang juga bekas perdana menteri, meninggal dunia beberapa hari selepas kepulangannya ke tanah air.
Ayahnya, Encik Ziaur Rahman, pula merupakan tokoh penting dalam sejarah kemerdekaan Bangladesh dan pernah memerintah negara itu dari 1977 hingga 1981 sebelum dibunuh.

Dalam wawancara bersama Reuters pada 7 Februari, Encik Tarique mengakui perubahan politik berlaku begitu pantas sejak kepulangannya. “Saya sendiri tidak tahu bagaimana setiap minit berlalu sejak kami mendarat,” katanya di pejabat parti sambil ditemani anak perempuannya, Cik Zaima.

Beliau berjanji untuk menyusun semula hubungan antarabangsa Bangladesh agar lebih seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada mana-mana kuasa besar. Pendekatan ini dilihat berbeza dengan Hasina yang sering dikaitkan dengan hubungan rapat bersama New Delhi.

Antara janji kempen utama beliau termasuk memperluas bantuan kewangan kepada keluarga miskin, mempelbagaikan ekonomi yang terlalu bergantung kepada eksport pakaian, serta memperkenalkan had dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan perdana menteri.

“Hanya dengan mengamalkan demokrasi kita boleh membangunkan semula negara ini,” katanya. “Jika kita amalkan demokrasi, kita boleh mewujudkan akauntabiliti.”

Beliau turut menekankan keperluan kepada keamanan dan kestabilan nasional. “Apa yang dibawa oleh dendam? Orang terpaksa meninggalkan negara ini kerana dendam. Itu tidak membawa kebaikan. Negara ini memerlukan keamanan dan kestabilan,” ujarnya.

Dilahirkan pada 20 November 1965 di Dhaka, Tarique pernah mengikuti pengajian hubungan antarabangsa di Universiti Dhaka sebelum menceburi bidang perniagaan tekstil dan agroproduk. Beliau menyertai politik secara rasmi pada 1988 di di Gabtali, Bogra, sebelum meningkat dalam hierarki parti sehingga menjadi setiausaha agung bersama dan kemudian pemangku ketua parti ketika ibunya dipenjarakan.

Pada era pentadbiran Cik Khaleda Zia antara 2001 hingga 2006, beliau sering dituduh mengendalikan pusat kuasa tidak rasmi walaupun tidak memegang jawatan kerajaan. Tuduhan itu sentiasa dinafikan.

Di bawah pemerintahan Cik Hasina, Encik Tarique menjadi sasaran pelbagai kes rasuah dan keganasan, termasuk hukuman penjara seumur hidup berkaitan serangan bom tangan pada 2004. Beliau menegaskan semua tuduhan bermotifkan politik dan dibebaskan daripada sabitan selepas kejatuhan Hasina.

Sejak kembali, beliau memilih pendekatan lebih sederhana, mengelakkan retorik keras dan menyeru kepada penyatuan nasional. Mesej “mengembalikan pemilikan negara kepada rakyat” menjadi tema utama kempen.

Malah, kucing Siberian peliharaan keluarganya, Jebu, turut menjadi tular di media sosial dan membantu melembutkan imejnya. “Dia berumur tujuh tahun. Kami mengambilnya sebagai anak angkat,” kata Cik Zaima dalam wawancara bersama Reuters.

Walaupun menang besar, Encik Tarique berdepan cabaran besar. Tempoh kepimpinan dari jauh selama bertahun-tahun mewujudkan jurang organisasi dalam parti. Beberapa insiden melibatkan aktivis parti turut mencetuskan kebimbangan.

Sepanjang kempen, beberapa kenyataannya turut dipersoalkan, termasuk dakwaan mengenai pengeluaran kacang soya di Faridpur yang kemudiannya didapati tidak tepat. Namun pimpinan parti percaya prestasinya akan bertambah baik seiring masa.

Bagi penyokongnya, kemenangan ini melambangkan kembalinya demokrasi selepas tempoh panjang ketegangan politik. Dengan mandat kukuh dua pertiga di parlimen, Encik Tarique kini memikul tanggungjawab besar untuk membuktikan bahawa kepulangannya bukan sekadar kebangkitan simbolik dinasti politik, tetapi permulaan era baharu yang lebih telus, stabil dan demokratik untuk Bangladesh. - Agenis berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg