BANGKOK: Apabila Cik Paetongtarn Shinawatra membuat penampilan pertama dalam pemilihan pilihan raya 2024, beliau hamil dan mengingatkan para pengundi luar bandar tentang warisan keluarganya yang berpengaruh.
Beliau menggariskan kedudukan utama keluarganya dalam politik Thailand, 18 tahun selepas bapanya, Encik Thaksin Shinawatra, digulingkan sebagai perdana menteri dalam rampasan kuasa tentera.
Pada 16 Ogos, Cik Paetongtarn dipilih oleh ahli parlimen Thailand, sebagai perdana menteri baru.
Beliau akan menjadi pemimpin termuda negara pada usia 37 tahun – dan perdana menteri ketiga dengan nama Shinawatra, selepas bapa jutawan dan ibu saudaranya, Cik Yingluck Shinawatra.
Parti Pheu Thainya telah mendapat sokongan daripada perikatan kerajaan sehari sebelumnya, untuk mencalonkannya bagi jawatan tertinggi, menggantikan Encik Srettha Thavisin yang dipecat pada 14 Ogos, kerana melantik menteri Kabinet dengan sabitan jenayah.
Cik Paetongtarn membantu mengendalikan cabang hotel empayar perniagaan keluarga yang sangat kaya termasuk bidang hartanah dan telekomunikasi sebelum menyertai politik tiga tahun lalu.
Beliau juga adalah pemilik terbesar saham syarikat hartanah SC Asset Corporation.
Pemimpin muda itu menamatkan pendidikan menengah di Sekolah St. Joseph Convent dan Sekolah Mater Dei, sebelum memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Kolej Chulalongkorn pada 2007.
Pada 2008, beliau menyambung pengajian di University of Surrey di United Kingdom, jurusan Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa.
Cik Paetongtarn hadir hampir dalam semua kempen pilihan raya 2023 apabila beliau menjadi simbol kepada parti Pheu Thai dan salah seorang daripada tiga calon perdana menterinya.
Encik Srettha akhirnya mengambil alih kuasa, dalam pakatan dengan parti protentera, yang sebelum ini tegas menentang Encik Thaksin dan pengikutnya.
Pada Oktober 2023, ahli Pheu Thai mengundi secara besar-besaran agar Cik Paetongtarn menjadi ketua parti dan berikrar untuk memulihkan imejnya.
Dalam sidang media pada 15 Ogos, Cik Paetongtarn menegaskan, beliau bersedia berkhidmat membawa Thailand maju dan berjanji mencurahkan bakti sebaik mungkin.
Semasa Encik Srettha berkuasa, Cik Paetongtarn mempengerusikan jawatankuasa “kuasa lembut” negara untuk mempromosikan Thailand di luar negara.
Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Strategik Kuasa Lembut atau Soft Power dan juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sistem Kesihatan Negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg