Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Jepun akan letak jawatan, buka jalan kepada pemimpin baru

Aug 14, 2024 | 6:56 PM
Fumio Kishida
Encik Fumio Kishida berucap semasa sidang media di pejabat perdana menteri di Tokyo, Jepun, pada 14 Ogos. Encik Kishida mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding semula sebagai ketua Parti Demokratik Liberal (LDP) pada September, yang pada dasarnya bermakna tamatnya jawatan beliau sebagai perdana menteri. - Foto EPA-EFE

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, berkata beliau akan berundur pada September.

Ia menyusuli ketidakpuasan hati orang ramai berhubung skandal politik dan peningkatan kos sara hidup yang menjejas tempoh tiga tahun pentadbirannya, lapor The Straits Times.

“Politik tidak boleh berfungsi tanpa kepercayaan orang ramai.

“Saya membuat keputusan berat ini kerana memikirkan orang ramai, dengan kemahuan kuat untuk mendorong reformasi politik melangkah ke hadapan,” katanya dalam sidang media bagi mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding semula sebagai pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP).

LDP akan mengadakan pemilihan pemimpin pada September bagi menggantikan beliau sebagai presiden parti yang memerintah, dan seterusnya sebagai perdana menteri Jepun.

Penarafan kelulusan Kabinet Encik Kishida mula merosot dengan cepat selepas beliau memegang jawatan pada 2021 berikutan pendedahan tentang hubungan LDP dengan Gereja Penyatuan yang dilanda kontroversi.

Popularitinya semakin terjejas apabila dana derma politik tidak direkodkan yang dibuat pada acara penjanaan dana LDP terbongkar.

Beliau turut berdepan rasa tidak puas hati orang ramai mengenai kegagalan gaji pekerja untuk naik seiring peningkatan kos sara hidup, apabila negara itu akhirnya melepaskan tekanan deflasi selama bertahun-tahun.

Sesiapa yang menggantikan Encik Kishida sebagai pemimpin LDP mesti memulihkan keyakinan orang ramai terhadap parti itu dan menangani peningkatan kos sara hidup, ketegangan geopolitik yang meningkat dengan China, dan potensi kembalinya Encik Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat pada 2025.

Melalui perkhidmatannya sebagai pemimpin kelapan paling lama berkhidmat di negara itu selepas perang, Encik Kishida telah keluar daripada dasar ekonomi sebelum ini.

Beliau telah mengelak daripada ekonomi yang dipacu keuntungan korporat, dan memihak kepada dasar yang bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah, termasuk kenaikan gaji dan menggalak pemilikan saham.

Beliau membawa Jepun keluar daripada pandemik Covid-19 dengan perbelanjaan rangsangan besar-besaran dan melantik ahli akademik, Encik Kazuo Ueda, sebagai ketua Bank Pusat Jepun (BOJ) untuk membantu Jepun keluar daripada rangsangan kewangan radikal pendahulunya.

BOJ pada Julai secara tidak dijangka telah menaikkan kadar faedah apabila inflasi berlaku, menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran saham dan menyebabkan yen turun secara mendadak.

Jawatan perdana menteri Encik Kishida juga dibayangi persekitaran keselamatan yang berubah dengan pantas, yang mendorong Jepun untuk mengkaji semula dasar pasifis yang menjadi tradisinya.

Beliau telah mendedahkan pembinaan ketenteraan terbesar Jepun sejak Perang Dunia Kedua, dengan komitmen untuk menggandakan perbelanjaan pertahanan yang bertujuan menghalang negara jiran China daripada mengejar cita-cita wilayahnya di Asia Timur melalui kekuatan tentera.

Dengan dorongan daripada Washington, Encik Kishida juga telah memperbaiki hubungan Jepun yang tegang dengan Korea Selatan.

Ia membolehkan kedua-dua negara dan sekutu bersama mereka, Amerika, meneruskan kerjasama keselamatan yang lebih mendalam untuk menentang ancaman yang ditimbulkan oleh program peluru berpandu dan senjata nuklear Korea Utara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg