PM Jepun bubar Parlimen, adakan pilihan raya mengejut Februari ini
PM Jepun bubar Parlimen, adakan pilihan raya mengejut Februari ini
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, mengumumkan pada 19 Januari bahawa beliau akan membubarkan Parlimen minggu ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya mengejut pada 8 Februari, langkah yang dilihat bertujuan mendapatkan mandat lebih kukuh untuk melaksanakan agenda dasarnya yang bercita-cita tinggi.
Cik Takaichi, wanita pertama memegang jawatan perdana menteri Jepun, mempertaruhkan populariti peribadinya yang tinggi bagi membawa Parti Demokratik Liberal (LDP) yang kian tidak popular kepada kemenangan.
“Adakah Sanae Takaichi layak menjadi perdana menteri? Saya mahu rakyat sebagai pemegang kedaulatan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media.
“Selepas Dewan Rendah dibubarkan pada 23 Januari, kempen akan bermula pada 27 Januari, dan pengundian serta pengiraan undi akan diadakan pada 8 Februari,” tambahnya.
Pilihan raya ini akan menjadi yang pertama sejak Takaichi mengangkat sumpah jawatan pada 21 Oktober lalu, serta sejak LDP memeterai perjanjian gabungan dengan Parti Inovasi Jepun (JIP) sehari sebelumnya.
Cik Takaichi berharap dapat memanfaatkan kadar sokongan tinggi terhadap Kabinetnya untuk mendapatkan mandat awam bagi pendekatan fiskal yang disifatkannya sebagai “bertanggungjawab tetapi agresif”, serta kerangka baharu gabungan pemerintah.
Pilihan raya mengejut ini diadakan kurang daripada satu setengah tahun selepas pilihan raya Dewan Rendah sebelum ini pada Oktober 2024. Mengikut Perlembagaan Jepun, penggal Dewan Rendah adalah empat tahun, kecuali jika dibubarkan lebih awal.
Minggu lalu, Cik Takaichi memaklumkan kepada pemimpin kanan parti pemerintah bahawa beliau merancang pembubaran Dewan Rendah “pada peringkat awal” selepas sidang tetap Parlimen selama 150 hari bermula 23 Januari ini.
Langkah itu mencerminkan kesukaran pentadbiran Cik Takaichi mengurus Parlimen, apabila blok pimpinan LDP hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rendah dan kekal sebagai minoriti di Dewan Penasihat, memaksanya bekerjasama dengan parti pembangkang untuk meluluskan undang-undang.
Bagi mencabar kem pemerintah yang konservatif, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDP) dan Parti Komeito – bekas sekutu lama LDP – mengumumkan pembentukan Pakatan Reformasi Sentris, yang dijangka menjadi kuasa pembangkang terbesar dalam pilihan raya akan datang.
Namun parti pembangkang mengkritik keputusan Cik Takaichi mengadakan pilihan raya awal, dengan menuduh beliau mengutamakan kepentingan politik berbanding kelulusan belanjawan awal bagi tahun fiskal 2026 yang bermula April ini.
LDP telah mentadbir Jepun hampir tanpa gangguan selama beberapa dekad, walaupun sering berlaku pertukaran kepimpinan. Cik Takaichi dilantik sebagai perdana menteri pada Oktober lalu, dan Kabinetnya kini menikmati sokongan kukuh, meskipun populariti LDP sendiri menunjukkan tanda-tanda kemerosotan.
Gabungan pemerintah yang merangkumi LDP dan JIP hanya memiliki majoriti kecil di Dewan Rendah, keadaan yang berpotensi menyukarkan kelulusan agenda utama Cik Takaichi, termasuk perbelanjaan fiskal “proaktif” dan peningkatan bajet pertahanan.
“Jika LDP dapat memperoleh majoriti sendiri di Dewan Rendah, itu akan memudahkan beliau melaksanakan dasar tanpa perlu banyak kompromi dengan parti lain,” kata Profesor Emeritus Sadafumi Kawato dari Universiti Tokyo.
Kabinet Takaichi telah meluluskan belanjawan rekod bernilai 122.3 trilion yen (sekitar S$995 bilion) bagi tahun fiskal bermula April 2026. Perdana menteri berikrar untuk mendapatkan kelulusan Parlimen secepat mungkin bagi menangani inflasi dan menyokong ekonomi keempat terbesar dunia itu.
Namun pembangkang memberi amaran bahawa pembubaran Dewan Rendah berisiko melambatkan kelulusan belanjawan tersebut. Ahli CDP, Jun Azumi, berkata langkah itu akan “mengorbankan kehidupan rakyat”.
Seorang pengurus tempat letak basikal, Encik Masaaki Tokuno, 64 tahun, berkata keutamaan seharusnya diberikan kepada dasar menangani inflasi.
“Melaksanakan langkah mengawal kenaikan harga sepatutnya didahulukan sebelum mengadakan pilihan raya,” katanya.
Media tempatan melaporkan LDP sedang mempertimbangkan kempen yang menjanjikan pengurangan cukai ke atas barangan makanan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Penganalisis berkata pilihan raya mengejut juga boleh mengukuhkan kedudukanCik Takaichi dalam pertikaian dengan China, dengan menunjukkan sokongan domestik yang kukuh.
Hubungan Tokyo-Beijing merosot sejak Takaichi mencadangkan pada November lalu bahawa Jepun mungkin campur tangan secara ketenteraan jika China menyerang Taiwan.
Amaran itu bagaimanapun disusuli tindak balas keras dari Beijing.
Dekan Institut Pengajian Dasar Kebangsaan, Dr Mikitaka Masuyama, memberi amaran bahawa kemenangan Takaichi mungkin mendorong China meningkatkan tekanan ekonomi.
China baru-baru ini mengumumkan larangan eksport barangan “guna dwi” ke Jepun, serta dilaporkan menyekat eksport bahan nadir bumi yang penting untuk industri teknologi dan pertahanan.
Menurut tinjauan akhbar Asahi, 60 peratus responden bimbang hubungan Jepun-China yang semakin tegang akan menjejaskan ekonomi.
Cik Takaichi menegaskan kestabilan politik penting bagi memastikan dasar ekonomi, diplomasi dan keselamatan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Tanpa kestabilan politik, kita tidak boleh memajukan dasar ekonomi yang kukuh, atau diplomasi dan keselamatan yang berkesan,” katanya.
Tinjauan Asahi pada 22 Disember menunjukkan kadar sokongan terhadap Cik Takaichi kekal tinggi pada 68 peratus, hampir tidak berubah sejak beliau memegang jawatan.
Isu utama pengundi kekal kos sara hidup yang meningkat, diikuti kebimbangan terhadap hubungan dengan China.
Penganalisis politik Ben Ascione dari Universiti Waseda berkata Takaichi berdepan dilema strategik.
“Beliau tahu sokongannya tinggi ketika ini, dan mungkin berpendapat lebih baik berdepan pengundi sekarang berbanding menunggu,” katanya.
Kemenangan besar boleh membolehkan LDP kembali meraih majoriti Parlimen, satu pencapaian penting selepas parti itu kehilangan dominasi di bawah bekas perdana menteri Shigeru Ishiba. – Agensi berita.

