TOKYO: Jepun mencatat sejarah baru apabila Cik Sanae Takaichi, 64 tahun, dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara itu selepas memenangi undian di Parlimen pada 21 Oktober.
Dalam undian Dewan Rendah yang mempunyai 465 kerusi, beliau memperoleh 237 undi majoriti mudah, menewaskan calon utama pembangkang, Encik Yoshihiko Noda, daripada Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDP), yang menerima 149 undi.
Pelantikan rasmi Cik Takaichi dijangka disahkan oleh Dewan Atasan dan disusuli dengan pertemuan rasmi bersama Maharaja Jepun sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan.
Cik Takaichi menggantikan Encik Shigeru Ishiba, yang meletak jawatan September lalu selepas partinya mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan.
“Saya berjanji akan menjadikan ekonomi Jepun lebih kukuh dan memastikan negara ini dapat diwarisi dengan penuh tanggungjawab kepada generasi akan datang,” kata Cik Takaichi dalam ucapan pertamanya selepas undian.
Cik Takaichi, seorang konservatif yang dikenali sebagai tokoh berpendirian tegas terhadap Beijing kini mengetuai kerajaan minoriti selepas pembubaran mengejut gabungan 26 tahun antara Parti Demokratik Liberal (LDP) dengan Komeito pada 10 Oktober.
Namun, hanya 10 hari kemudian, LDP menandatangani perjanjian baru dengan Parti Inovasi Jepun (JIP), sebuah parti reformis berhaluan kanan berpusat di Osaka, yang dikenali juga sebagai Nippon Ishin no Kai.
Gabungan LDP-JIP kini memiliki 231 kerusi di Dewan Rendah – hanya dua kerusi kurang daripada majoriti dan 120 kerusi di Dewan Atasan.
“Sebagai parti yang berkongsi visi nasional sama, saya menantikan kerjasama erat dengan JIP untuk mengukuhkan ekonomi dan membentuk Jepun yang berdaya saing untuk masa depan,” kata Cik Takaichi pada 20 Oktober ketika menandatangani perjanjian gabungan di Tokyo.
Ketua JIP, Encik Hirofumi Yoshimura, turut menyatakan sokongan padu terhadap perdana menteri baru itu.
“Kami berkongsi komitmen terhadap reformasi, pengurusan kerajaan yang cekap dan keadilan sosial,” katanya.
Cik Takaichi, yang sering digelar “pelindung warisan Shinzo Abe”, menyatakan hasrat membentuk Kabinet dengan penyertaan wanita paling ramai dalam sejarah Jepun “setara dengan tahap negara-negara Nordik”, katanya.
Antara nama yang disebut ialah Cik Satsuki Katayama, 66 tahun, yang dijangka menjadi Menteri Kewangan wanita pertama Jepun, dan Cik Kimi Onoda, berdarah separuh Jepun dan dilahirkan di Amerika Syarikat yang akan mengetuai portfolio keselamatan ekonomi.
Dalam pada itu, Encik Shinjiro Koizumi, 44 tahun, anak kepada mantan perdana menteri Encik Junichiro Koizumi, bakal dilantik sebagai Menteri Pertahanan; manakala Encik Yoshimasa Hayashi, 64 tahun, dijangka mengetuai Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi.
Walaupun dikenali sebagai tokoh antifeminis kerana menolak cadangan membenarkan pasangan suami isteri mengekalkan nama keluarga berbeza, ramai menjangkakan Cik Takaichi akan meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.
“Saya harap beliau dapat menjadikan Jepun tempat yang lebih mesra wanita,” kata Cik Keiko Yoshida, 39, seorang pekerja syarikat di Nara kepada agensi berita, AFP.
“Lebih banyak dasar daripada perspektif wanita seperti sokongan penjagaan anak dan bantuan kepada ibu yang kembali bekerja amat diperlukan,” tambah beliau.
Cabaran utama Cik Takaichi kini ialah menghidupkan semula ekonomi Jepun yang perlahan dan menangani krisis penduduk kian menua.
Beliau dijangka meneruskan beberapa pendekatan ‘Abenomics’ – dasar longgaran monetari dan perbelanjaan kerajaan besar-besaran sambil menekankan reformasi fiskal dan teknologi.
“Kita perlu menjadikan Jepun sebuah negara yang dihormati, bukan diperlekeh oleh negara lain,” kata Cik Takaichi sebelum ini, merujuk kepada ancaman keselamatan dari China.
Namun, beliau kini memilih pendekatan lebih berhati-hati terhadap Beijing dan tidak menghadiri upacara di Kuil Yasukuni, tempat memperingati tentera Jepun yang terkorban, bagi mengelakkan ketegangan diplomatik.
Lawatan Presiden Amerika Donald Trump ke Tokyo beberapa hari lagi juga dijangka menjadi ujian diplomatik pertama Cik Takaichi, terutama dalam rundingan perdagangan dan isu tenaga Russia.
“Saya ingin beliau menjadi perdana menteri yang berani berkata ‘tidak’ apabila perlu,” ujar Encik Satoshi Sakamoto, 73 tahun, seorang pesara di Nara.
Walaupun menempuh laluan politik yang sukar dan sering dicabar kerana jantina serta pandangannya yang konservatif, Cik Takaichi kini menjadi lambang perubahan dalam landskap politik Jepun yang dikuasai kaum lelaki.
Jepun kini berada di tangga 118 dari 148 negara dalam Laporan Jurang Gender Sejagat 2025 oleh Forum Ekonomi Sedunia dengan hanya 15 peratus ahli parlimen wanita di Dewan Rendah.
Namun bagi ramai rakyat Jepun, kehadiran Cik Takaichi di tampuk kuasa menandakan detik baru.
“Beliau kuat, tegas, dan tahu apa yang betul dan salah,” kata Encik Toru Takahashi, 76 tahun, seorang pesara di Nara.
“Beliau bukan seperti Trump tapi beliau tahu bila harus berpendirian,” tambahnya.
Dengan gaya kepimpinan tegas dan visi reformasi yang jelas, Cik Takaichi kini melangkah ke pejabat perdana menteri bukan sekadar sebagai wanita pertama dalam sejarah Jepun, bahkan sebagai pemimpin yang diharap dapat menstabilkan politik, mengembalikan kepercayaan rakyat, dan membawa Jepun ke arah masa depan yang lebih terangkum dan dinamik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg