PM Jepun bubar Parlimen, taruhan sokongan kabinet hadapi pilihan raya mengejut
PM Jepun bubar Parlimen, taruhan sokongan kabinet hadapi pilihan raya mengejut
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Cik Sanae Takaichi membubarkan Parlimen pada 23 Januari, membuka laluan kepada pilihan raya mengejut pada 8 Februari, ketika beliau bertaruh kepada sokongan tinggi terhadap Kabinetnya untuk membawa kemenangan kepada parti pemerintah yang berdepan penurunan populariti.
Pembubaran Dewan Rendah diumumkan secara rasmi apabila Speaker Parlimen membacakan surat pembubaran, disambut dengan laungan tradisi “banzai” oleh para ahli Parlimen.
Cik Takaichi, wanita pertama memegang jawatan perdana menteri Jepun, sebelum ini mengumumkan pada 19 Januari hasratnya untuk membubarkan Dewan Rendah bagi mendapatkan mandat awam terhadap dasar-dasarnya, khususnya langkah melindungi isi rumah daripada kenaikan kos sara hidup serta peningkatan perbelanjaan pertahanan.
Gabungan pemerintah yang diterajui Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Cik Takaichi bersama Parti Inovasi Jepun hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rendah, dewan paling berkuasa dalam sistem politik Jepun.
Walaupun sokongan terhadap LDP kekal rendah susulan beberapa skandal, Cik Takaichi berharap populariti Kabinetnya dapat diterjemahkan kepada mandat yang lebih kukuh dalam pilihan raya akan datang.
“Tidak jelas sama ada sokongan awam yang tinggi terhadap Kabinet Takaichi benar-benar akan membawa sokongan kepada LDP,” kata Encik Hidehiro Yamamoto, profesor sains politik di Universiti Tsukuba, kepada AFP. “Apa yang benar-benar membimbangkan orang ramai ialah langkah menangani inflasi,” katanya.
Pada 23 Januari, data kerajaan yang diperhatikan secara meluas menunjukkan kadar inflasi Jepun menurun pada Disember, sebahagian besarnya disebabkan subsidi kerajaan bagi elektrik dan gas.
Kadar kenaikan harga pengguna tahunan, tidak termasuk makanan segar yang mudah berubah, berada pada 2.4 peratus pada Disember, berbanding 3 peratus pada November. Walaupun mencatat penurunan ketara, kadar itu masih melebihi sasaran 2 peratus bank pusat.
Ketidakpuasan awam terhadap kenaikan harga menjadi faktor utama kejatuhan bekas perdana menteri Encik Shigeru Ishiba, yang digantikan oleh Cik Takaichi pada Oktober lalu.
Jepun yang sekian lama berdepan deflasi kini berhadapan lonjakan kos sara hidup, ditambah dengan kelemahan yen yang kronik sehingga meningkatkan kos import.
Beras muncul sebagai simbol tekanan kos hidup. Harganya meningkat lebih dua kali ganda pada pertengahan 2025 berbanding setahun sebelumnya, sebelum mereda sedikit dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Data rasmi menunjukkan harga beras meningkat lebih 34 peratus pada Disember berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi menangani cabaran ekonomi dan mengukuhkan ekonomi keempat terbesar dunia, Kabinet Takaichi meluluskan bajet rekod bernilai 122.3 trilion yen (S$99 trilion) bagi tahun fiskal bermula April 2026.
Namun, langkah membubarkan Dewan Rendah mencetuskan kritikan pembangkang yang menyifatkannya berisiko melambatkan kelulusan bajet tersebut.
“Ini akan mengorbankan mata pencarian rakyat,” kata Encik Jun Azumi daripada Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), parti pembangkang utama.
Sekiranya dipilih semula, Cik Takaichi berikrar untuk mengurangkan cukai jualan ke atas makanan selama dua tahun bagi “menguran
Namun, perbelanjaan fiskal “proaktif” kerajaan menimbulkan kebimbangan mengenai hutang Jepun yang sudah sangat tinggi, dijangka melepasi 230 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada tahun fiskal 2025 hingga 2026. Cik Takaichi menegaskan dasar itu adalah “bertanggungjawab”.
Prospek pemotongan cukai telah menggegarkan pasaran bon, yang sebelum ini sudah tertekan akibat pelan rangsangan besar dan kebimbangan terhadap disiplin fiskal yang dibiayai hutang. Hasil bon kerajaan Jepun melonjak, menandakan ketidakpercayaan pelabur.
Bank of Japan dijadual mengumumkan keputusan dasar monetari pada 23 Januari selepas mesyuarat dua hari. Bank pusat itu telah menaikkan kadar faedah utama beberapa kali sejak awal 2024 bagi mengawal inflasi, dan dijangka mengekalkan kadar semasa.
Sementara itu, CDP bergabung dengan parti Komeito untuk membentuk pakatan baru Centrist Reform Alliance, dengan harapan menarik pengundi atas pagar daripada Takaichi.
Penganalisis berkata pilihan raya itu berpotensi sengit, bergantung kepada keupayaan pakatan tersebut, walaupun peluang pembangkang untuk menang masih terhad.
“Kunci utama mungkin terletak pada corak pengundian golongan muda dan pertengahan usia,” menurut nota Mizuho Research & Technologies.
Satu tinjauan oleh Sankei Shimbun dan Fuji Television pada akhir Disember menunjukkan kerajaan Takaichi menikmati sokongan hampir 90 peratus dalam kalangan mereka yang berusia di bawah 30 tahun. - Agensi berita

