Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Jepun lawat Abu Dhabi runding soal tenaga, teknologi hijau

Jul 18, 2023 | 3:14 PM
PERTINGKAT HUBUNGAN: Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (kanan) mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri Jepun Encik Fumio Kishida ke Abu Dhabi pada Isnin.
PERTINGKAT HUBUNGAN: Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (kanan) mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri Jepun Encik Fumio Kishida ke Abu Dhabi pada Isnin. - Foto REUTERS

ABU DHABI: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida tiba di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin untuk hentian kedua lawatannya ke negara-negara Teluk dengan tumpuan bagi mendapatkan bekalan tenaga dan menawarkan teknologi hijau Jepun.

Encik Kishida bertemu Presiden Emirati Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan selepas mendarat di Abu Dhabi, kata agensi berita negara WAM, sambil menambah bahawa kedua-dua pemimpin membincangkan perkongsian strategik komprehensif antara UAE dengan Jepun.

Mereka menandatangani beberapa perjanjian meliputi sektor yang berbeza, tambah WAM.

Encik Kishida dijangka menghadiri forum perniagaan UAE-Jepun sebelum melawat pengeluar gas utama Qatar pada Selasa, kata pegawai.

Jepun sedang giat membangunkan teknologi tenaga yang lebih hijau serta boleh diperbaharui dengan tujuan menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Encik Kishida juga akan cuba mempromosi kepakaran Jepun kerana negara pengeluar tenaga juga telah berjanji untuk mencapai peralihan bersih-sifar, terutama menjelang sidang puncak iklim COP28 yang akan diadakan di Dubai pada November.

Beliau sebelum ini melawat Arab Saudi pada Ahad yang menyaksikan Riyadh menzahirkan iltizam untuk membekalkan minyak kepada Jepun dan akan terus bekerjasama dengan Tokyo mengenai hidrogen bersih, ammonia dan bahan api karbon kitar semula.

Dalam lawatannya itu, Encik Kishida dan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman bersetuju melancarkan inisiatif “Manar” yang akan membantu negara di seluruh dunia mencapai peralihan bersih-sifar mereka, lapor agensi berita negara Saudi SPA pada Isnin.

Tokyo dan Riyadh juga bersedia memulakan dialog strategik di peringkat menteri luar – satu langkah yang disambut baik oleh kedua-dua pemimpin pada mesyuarat puncak mereka, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Jepun pada Isnin.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan pertukaran yang meliputi politik, diplomasi dan keselamatan antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, syarikat minyak gergasi negara Abu Dhabi National Oil Company (Adnoc) berkata Jepun mengimport sekitar 25 peratus minyak mentahnya dari UAE, menjadikannya pengimport antarabangsa terbesar produk minyak dan gas Adnoc. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg