TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba, dijangka akan mengumumkan peletakan jawatannya selewat-lewatnya pada akhir Ogos, menurut laporan akhbar Mainichi pada 22 Julai.
Desas-desus ini timbul selepas kekalahan besar gabungan pemerintah dalam pilihan raya dewan atasan pada 20 Julai dan tekanan dalaman daripada ahli Parti Demokratik Liberal (LDP) yang semakin meningkat.
Menurut akhbar Yomiuri, Encik Ishiba memaklumkan kepada orang kepercayaannya pada malam 22 Julai bahawa beliau akan menjelaskan bentuk pertanggungjawaban yang akan diambil susulan kekalahan tersebut, sebaik sahaja rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat mencapai penyelesaian.
Dalam satu kenyataan di media sosial Truth Social pada awal pagi 23 Julai waktu Asia, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa beliau telah memeterai satu perjanjian perdagangan “besar-besaran” dengan Jepun yang melibatkan pelaburan sebanyak AS$550 bilion (S$703 bilion) ke dalam ekonomi Amerika.
Berikutan pengumuman itu, Encik Ishiba memberitahu bahawa beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan atau perbualan telefon dengan Encik Trump selepas dimaklumkan mengenai butiran perjanjian oleh ketua perunding perdagangan Jepun, Encik Ryosei Akazawa, yang kini berada di Washington untuk rundingan perdagangan.
“Saya tidak boleh memberikan komen sebelum meneliti dengan teliti hasil perjanjian ini,” kata Encik Ishiba ketika ditanya wartawan sama ada perjanjian dengan Washington akan mempengaruhi keputusannya untuk meletakkan jawatan.
Dalam sidang media pada 21 Julai, Encik Ishiba menegaskan bahawa beliau ingin mengelakkan kekosongan kuasa politik pada saat Jepun sedang berdepan cabaran besar, termasuk rundingan perdagangan dengan Amerika yang berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negara yang bergantung kepada eksport.
“Saya akan kekal dalam jawatan ini dan lakukan segala yang termampu untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran ini,” katanya, sambil menambah beliau bercadang untuk berbincang secara langsung dengan Encik Trump secepat mungkin bagi memastikan hasil yang nyata dapat dicapai.
Namun pada hari yang sama, Mainichi melaporkan bahawa Encik Ishiba telah membuat keputusan muktamad untuk meletakkan jawatan susulan kekalahan dalam pilihan raya, di mana gabungan kerajaan gagal memperoleh tiga kerusi untuk mendapat majoriti legislatif.
Dalam sidang media pada 23 Julai, Encik Ishiba mengumumkan bahawa tarif Amerika ke atas kenderaan Jepun akan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 15 peratus, termasuk kadar sedia ada 2.5 peratus. “Kami telah bersetuju untuk mengurangkan separuh kadar tarif tambahan 25 peratus yang dikenakan sejak April kepada 15 peratus,” katanya.
“Kami menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengurangkan tarif ke atas kereta dan alat ganti tanpa had kuantiti,” tambahnya, mengesahkan laporan media Jepun berhubung pengurangan tarif tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau akan kekal atau tidak, Encik Ishiba mengelak untuk menjawab secara langsung, sebaliknya hanya memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Menurut laporan agensi Jiji, Encik Ishiba dijangka akan meletakkan jawatan pada Ogos itu telah pun memaklumkan perkara itu kepada beberapa pemimpin kanan parti. Yen turut melemah kepada 147.20 berbanding dolar Amerika selepas laporan peletakan jawatan itu tersebar, walaupun kemudiannya pulih sedikit.
Mainichi melaporkan bahawa Ishiba akan bertemu tiga bekas perdana menteri Jepun pada 23 julai bagi membincangkan masa depannya. Sementara itu, akhbar Sankei menyatakan bahawa Encik Ishiba akan membuat keputusan rasmi mengenai jawatannya pada akhir Ogos, memandangkan beliau terikat dengan beberapa komitmen awal bulan hadapan.
Kekalahan gabungan pemerintah dalam pilihan raya dewan atasan pada 20 Julai lalu dianggap antara yang paling buruk dalam sejarah LDP. Sementara itu, satu tinjauan pendapat utama menunjukkan bahawa kadar sokongan terhadap pentadbiran Encik Ishiba kini merosot kepada sedikit melebihi 20 peratus – satu paras yang secara tradisinya dianggap terlalu rendah untuk sesebuah kerajaan meneruskan pentadbiran. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg