SEOUL: Perdana Menteri Korea Selatan, Encik Kim Min-seok telah memohon maaf pada 27 September selepas pusat data negara itu dijilat api sehingga mengganggu ratusan perkhidmatan dalam talian pemerintah, termasuk pejabat pos dan sistem tindak balas kecemasan.
Kebakaran bateri litium berlaku pada malam 26 September di Perkhidmatan Sumber Maklumat Negara di Daejeon, kira-kira 150 kilometer ke selatan Seoul, yang menjadi tuan rumah sistem teknologi maklumat (IT) utama, menurut pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Korea Selatan menerima berbilang mesej teks kecemasan daripada pemerintah pada awal 27 September, termasuk amaran bahawa beberapa perkhidmatan dalam talian pejabat pos terhenti akibat kebakaran dan permintaan kecemasan boleh dibuat melalui telefon -- bukan melalui video atau teks.
“Oleh kerana sistem IT utama negara tertumpu pada sebuah kemudahan, usaha memadam kebakaran menghadapi kesukaran yang besar,” kata Perdana Menteri Encik Kim Min-seok, sambil menambah bahawa sebahagian besar kebakaran itu telah dapat dikawal.
“Mungkin terdapat kelewatan dalam memproses permohonan sivil atau gangguan dalam pengeluaran sijil, menyebabkan kesulitan dalam kehidupan seharian. Saya memohon maaf kepada rakyat atas kesulitan ini,” tambahnya.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, sebanyak 647 perkhidmatan dalam talian pemerintah masih digantung setakat pagi 27 September berikutan kebakaran, termasuk sistem pengenalan mudah alih, laman web pusat maklumat undang-undang negara, dan platform membuat aduan dan petisyen.
Kebakaran menyebabkan sistem kawalan suhu dan kelembapan kemudahan itu gagal, meningkatkan kebimbangan peranti menjadi terlalu panas.
Ini telah mendorong pemerintah untuk segera menutup operasi sebagai langkah proaktif bagi melindungi sistem IT, kata kementerian itu.
“Kami kini mengutamakan pemulihan sistem kawalan suhu dan kelembapan, selepas itu kami akan menghidupkan semula peranti dan meneruskan langkah pemulihan,” kata Naib Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Korea Selatan, Encik Kim Min-jae kepada pemberita.
Pada 2022, lebih 50 juta pengguna aplikasi pemesejan mudah alih terbesar negara, KakaoTalk, mengalami gangguan perkhidmatan besar selepas kebakaran di pusat data.
Kejadian itu telah mendorong sebuah syarikat memohon maaf dan menyeru pelan pencegahan yang diterajui pemerintah bagi mencegah masalah itu daripada berulang. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg