Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PM Lee: Penting bagi G20 kutuk Russia ke atas perang di Ukraine

Deklarasi kesepakatan nyatakan Russia harus berundur; PM Lee ingatkan warga S'pura 'sedia secara psikologi' jika keadaan dunia tambah buruk
Nov 17, 2022 | 05:30 AM



PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata ia amat penting bagi majoriti anggota Kumpulan 20 (G20) melahirkan kutukan keras terhadap pencerobohan Russia di Ukraine yang disertakan dalam kenyataan kesepakatan bersama G20 semalam.



Jika kedudukan itu tidak dinyatakan, 'tekanan moral' terhadap Russia akan berkurangan, tambahnya.



Beliau juga menambah pentingnya bagi warga Singapura bersiap sedia secara 'psikologi' jika keadaan di dunia bertambah buruk.



"Russia akan mengetahui ia adalah pandangan masyarakat antarabangsa. Dan pandangan bahawa Russia adalah salah tidak berubah.



"Jika kita tidak menyatakan kenyataan atau tidak meletakkan kenyataan itu dalam kenyataan kesepakatan bersama, ia akan menjadi satu kes moral yang lemah,'' kata Encik Lee, dalam temu ramah dengan para wartawan Singapura di akhir Sidang Puncak G20 selama dua hari di Bali semalam.



Beliau menambah, tekanan perlu dikenakan ke atas sesebuah negara yang telah melanggar norma antarabangsa dan menjejas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Para pemimpin G20 telah mengeluarkan deklarasi mengutuk pencerobohan Russia terhadap Ukraine, dan berkata Russia harus menarik diri dari Ukraine.



Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, telah meninggalkan Bali sehari sebelum bermula hari kedua sidang tetapi seorang pegawai Russia mewakili negara itu dan menyatakan pendirian mereka.



"Russia mempunyai pandangan mereka dan mereka tidak bersetuju tindakan mereka di Ukraine adalah salah,'' katanya.



Ketegangan geopolitik seperti perang di Ukraine serta hubungan China dan Amerika Syarikat telah menjadi isu utama yang dibincangkan dalam Sidang Puncak G20 yang diadakan selama dua hari.



Isu-isu itu, tambah Encik Lee, menjadi latar belakang kepada kerjasama yang ingin digiatkan antara negara-negara dunia.



Semalam, para pemimpin dunia dikejutkan dengan serangan peluru berpandu di Poland, yang menjadi anggota Nato, yang sedang disiasat di samping serangan di Ukraine.



Menurut Encik Lee, ramai anggota mengecam apa yang berlaku, dan menyeru agar keamanan dapat dicapai.



"Apa yang berlaku di Ukraine telah menjejas kita dari segi inflasi, kos tenaga dan makanan, serta isu keselamatan. Jika terdapat konflik di bahagian dunia kita atau masalah China dan Amerika, ia tentunya menjejas kita dan menyebabkan ketidakstabilan dalam rantau ini. Ia akan mempunyai kesan ekonomi dalam aliran pelaburan dan modal.



"Jadi, ia amat penting bagi rakyat Singapura bersedia dari segi psikologi, mengetahui bahawa keadaan boleh berubah. Kita harus kekal dan bekerjasama. Dengan bersatu, kita dapat mengharunginya,'' kata Encik Lee.



Mengenai pertemuan Presiden Amerika, Encik Joe Biden dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, Isnin lalu, beliau berkata kedua-dua pihak telah melahirkan harapan untuk menstabilkan hubungan, mengelak konflik dan bekerja sama menghuraikan masalah antara mereka.



Walaupun ia merupakan permulaan yang baik, beliau akur isu itu belum berakhir dan ia akan mengambil masa yang lama sebelum ia dapat dihuraikan.



Antara isu yang menjadi ketegangan antara China dengan Amerika ialah isu Taiwan selepas Speaker Dewan Rakyat Amerika, Cik Nancy Pelosi, membuat lawatan ke Taiwan awal tahun ini.



Menurut Encik Lee, negara-negara kecil harus terus berwaspada.



"Tidak kira bagaimana hubungan antara negara besar, kita harus melindungi kepentingan kita dan diri kita,'' kata Encik Lee, sambil menambah Singapura akan terus memantau keadaan.



Sidang Puncak G20 itu dihadiri pemimpin dunia negara-negara terbesar dunia, termasuk Amerika, Perancis, India, Jepun, Arab Saudi, Turkey dan Indonesia.



Kumpulan G20 menyumbang lebih 80 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan 75 peratus dagangan antarabangsa.



Singapura bukan anggota G20 tetapi diundang ke sidang puncak itu oleh Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo.



Encik Lee berangkat dari Bali semalam untuk ke Bangkok, Thailand, bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).




"Apa yang berlaku di Ukraine telah menjejas kita dari segi inflasi, kos tenaga dan makanan, serta isu keselamatan. Jika terdapat konflik di bahagian dunia kita atau masalah China dan Amerika, ia tentunya menjejas kita dan menyebabkan ketidakstabilan dalam rantau ini. Ia akan mempunyai kesan ekonomi dalam aliran pelaburan dan modal. Jadi, ia amat penting bagi rakyat Singapura bersedia dari segi psikologi, mengetahui bahawa keadaan boleh berubah. Kita harus kekal dan bekerjasama. Dengan bersatu, kita dapat mengharunginya."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >