KUALA LUMPUR – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 27 Mei kerana keletihan, menurut pengesahan Perdana Menteri Malaysia.
Sultan Hassanal Bolkiah berada di Kuala Lumpur bersama pemimpin Asean lain, bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, serta para kenamaan daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 27 Mei.
Apabila ditanya dalam sidang media sama ada Sultan telah dimasukkan ke hospital, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata: “Beliau berasa agak letih, jadi beliau sedang berehat di (IJN).”
Sumber kerajaan Malaysia sebelum ini memaklumkan kepada AFP bahawa Sultan Hassanal Bolkiah “dimasukkan ke hospital semasa antara Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asean-GCC-China”.
“Institut Jantung Negara merupakan hospital yang ditetapkan untuk tetamu kenamaan (VIP) sepanjang Sidang Puncak Asean ini dan mesyuarat yang berkaitan.”
Pihak hospital berkata ia tidak dapat mengulas, namun satu lagi sumber kerajaan Malaysia secara berasingan mengesahkan berita itu kepada AFP.
Sultan Brunei, yang berusia 78 tahun, menaiki takhta pada 1967.
Beliau merupakan raja paling lama memerintah di dunia dan antara individu terkaya di dunia.
Sultanah Hassanal Bolkiah berasal dari keluarga diraja yang telah memerintah Brunei, sebuah negara Islam kecil di utara pulau tropika Borneo, selama lebih 600 tahun.
Sepanjang tempoh pemerintahannya, Brunei memperoleh kemerdekaan sepenuhnya daripada Britain dan menyaksikan taraf hidup rakyatnya meningkat kepada antara yang tertinggi di dunia.
Namun, pemerintahannya juga telah ditandai dengan kontroversi termasuk pengenalan undang-undang Islam yang ketat, dengan hukuman seperti memotong anggota badan dan rejam sampai mati. – AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg