Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dan rakan Asean untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau dan berinteraksi secara membina dengan rakan dagang global mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Kenyataan ini dikeluarkan dalam hantaran di Facebook pada 4 April, selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif tinggi ke atas semua import ke Amerika.
PM Wong membuat hantaran itu selepas membuat panggilan telefon dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan ucapan Hari Raya.
PM Wong berkata meski perayaan diteruskan, minggu ini penuh dengan perkembangan penting di dalam dan luar rantau.
“Pada zaman yang penuh ketidaktentuan, (masa ini) lebih penting daripada sebelum ini untuk Singapura, Malaysia, dan negara jiran Asean untuk memperkukuh kerjasama dan solidariti kita.
“PM Anwar dan saya membincangkan situasi kemanusiaan di Myanmar selepas gempa bumi yang dahsyat minggu lalu. Kami turut bertukar pandangan mengenai tarif Amerika yang baru-baru ini diumumkan,” kata PM Wong.
PM Wong menambah beliau berharap dapat mengadakan perbincangan secara langsung dengan rakan sejawatnya apabila mereka bertemu di Sidang Puncak Asean di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 26 dan 27 Mei.
Malaysia merupakan pengerusi Asean pada 2025, lapor The Straits Times (ST).
PM Wong telah memberi ucapan mengenai tarif Amerika pada 4 April, dengan berkata Singapura perlu melihat dengan jelas tentang masalah yang bakal dihadapi, dengan institusi global semakin lemah dan norma antarabangsa turut terhakis.
Dalam sebuah video yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, beliau berkata langkah Amerika membawa perubahan global yang besar.
Ia boleh mendatangkan masalah bagi semua negara, terutama negara kecil seperti Singapura – jika negara lain mengambil pendekatan sama dengan membuat perdagangan hanya mengikut syarat mereka, kata PM Wong.
“Kami akan membangunkan keupayaan kami. Kami akan mengukuhkan rangkaian kerjasama dengan negara yang sehaluan. Tetapi kami perlu bersiap sedia untuk lebih banyak kejutan yang akan datang,” tambahnya.
Dalam sebuah hantaran Facebook pada 4 April, Datuk Anwar berkata beliau telah berbincang melalui telefon dengan beberapa pemimpin negara Asean untuk bertukar pandangan dan menyelaraskan respons terhadap isu tarif timbal balik Amerika.
Selain PM Wong, pemimpin lain termasuk Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei, Presiden Prabowo Subianto dari Indonesia, dan Presiden Ferdinand “Bongbong” Marcos dari Filipina.
“Sebagai pengerusi Asean, Malaysia tetap komited memupuk konsensus antara negara anggota dan menegakkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam semua rundingan perdagangan, termasuk dalam rangka dialog Asean-Amerika,” kata Datuk Anwar.
“Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean minggu depan akan terus membincangkan perkara ini dan mencari penyelesaian terbaik untuk semua negara anggota,” tambahnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Aziz berkata pada 4 April, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas menteri ekonomi Asean pada 10 April untuk membincangkan impak tarif Amerika terhadap perdagangan serantau, pelaburan, dan kestabilan makroekonomi.
Amerika telah mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas import dari Singapura, dan tarif pada tahap berbeza bagi negara Asean lain, masing-masing berkuat kuasa pada 5 April dan 9 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg