BANGKOK: Parti kedua terbesar dalam gabungan kerajaan Thailand menarik diri pada 18 Jun berikutan panggilan telefon yang bocor antara Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dengan mantan pemimpin Kemboja Hun Sen, meletakkan kerajaannya di ambang keruntuhan.
Parti Bhumjaithai yang konservatif berkata “negara, rakyat dan tentera hilang maruah” kerana tingkah laku Cik Paetongtarn dalam isu pertikaian sempadan yang meruncing antara Thailand dengan Kemboja.
Kehilangan 69 Anggota Parlimen Bhumjaithai yang aktif, meninggalkan gabungan yang diketuai oleh parti Pheu Thai pimpinan Cik Paetongtarn hanya mempunyai cukup undi untuk majoriti.
Jika mana-mana rakan pakatan lain menarik diri, ia boleh menyebabkan pilihan raya umum diadakan – hampir dua tahun sejak pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Bhumjaithai dalam satu kenyataan mengumumkan penarikan diri ekoran kebocoran panggilan telefon yang telah “merosakkan kedaulatan dan kesejahteraan negara dan Tentera Thailand”.
“Parti Bhumjaithai menyeru Paetongtarn memikul tanggungjawab terhadap tindakannya yang telah menyebabkan rakyat dan tentera negara kehilangan maruah,” kata kenyataan itu.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, mula berkuasa pada Ogos 2024 sebagai ketua gabungan yang janggal antara Pheu Thai dengan sekumpulan parti konservatif, pro-tentera yang pernah berjuang menentang bapanya, mantan perdana menteri Encik Thaksin Shinawatra.
Ketegangan yang semakin meningkat dalam gabungan itu meletus kepada perbalahan terbuka pada minggu lalu apabila Pheu Thai cuba mengambil alih jawatan menteri dalam negeri daripada pemimpin Bhumjaithai Encik Anutin Charnvirakul.
Ketiadaan Bhumjaithai meninggalkan gabungan Pheu Thai dengan hanya segelintir lebih undi daripada 248 yang diperlukan untuk majoriti.
Dalam panggilan telefon yang bocor itu, Cik Paetongtarn kedengaran membincangkan krisis sempadan dengan Encik Hun Sen – yang meletak jawatan sebagai perdana menteri Kemboja pada 2023 tetapi masih mempunyai pengaruh yang besar.
Cik Paetongtarn memanggil pemimpin veteran itu sebagai “pak cik” dan mengadu tentang publisiti buruk yang dialaminya akibat kebuntuan, apabila tentera berbalas tembakan, membunuh seorang askar Kemboja.
Beliau juga dikritik kerana kekurangan pengalaman dan kepimpinannya, serta prestasi ekonomi Thailand yang lembap. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg