Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim beri wang Thailand tertunda, tambah kecewa pengundi terhadap parti kerajaan

Jun 2, 2025 | 2:49 PM
ekonomi thailand
Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu hanya berkembang 2.5 peratus pada 2024, dan ramalan untuk 2025 dijangka lebih buruk. - Foto AFP

BANGKOK: Cik Rungthiwa Pimphanit telah menunggu berbulan-bulan untuk menerima pemberian wang tunai 10,000 baht ($394) yang dijanjikan parti kerajaan Thailand, Parti Pheu Thai, dalam pilihan raya 2023. 

Namun, skim tersebut yang bertujuan merangsang ekonomi yang kini perlahan, telah ditangguh.

“Saya sangat kecewa dan marah,” kata penjawat awam dari wilayah timur laut Nong Bua Lam Phu itu, yang mengharapkan wang itu dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan sekolah anaknya.

“Saya tidak akan mengundi mereka lagi.”

Harapan Cik Rungthiwa, 34 tahun, untuk mendapatkan wang itu berkecai pada Mei, apabila mendapat tahu skim tersebut akan ditangguhkan. 

Langkah parti itu menimbulkan keraguan terhadap kemungkinan pemulihan ekonomi Thailand – negara ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara – selepas beberapa tahun mengalami pertumbuhan perlahan.

Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, menyalahkan tarif tinggi yang diumumkan Amerika Syarikat, namun penundaan dalam pelaksanaan program utama kerajaan beliau, yang telah menelan belanja 174 bilion baht, dianggap penganalisis sebagai satu risiko politik yang besar.

“Tiada siapa akan percaya apa yang mereka katakan,” kata Pengarah Institut Analisis Politik dan Dasar, Dr Thanaporn Sriyakul.

“Kerajaan mesti menunaikan janji yang dibuat terhadap rakyat sepanjang kempen. Jika mereka gagal menunaikannya, maka habislah (mereka).”

Kegagalan Parti Pheu Thai melaksanakan skim itu telah merosakkan kewibawaannya, kata penganalisis politik, Encik Sukhum Nuansakul.

“Projek dompet digital itu tidak berjaya. Rakyat berharap untuk menerimanya, menantikan, tetapi tidak mendapatkannya,” tambah beliau.

Baki 16 juta rakyat yang mendaftarkan diri untuk menerima wang itu perlu dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut, kata Timbalan Ketua Parti Pembangkang, Parti Palang Pracharath, Encik Thirachai Phuvanatnaranubala.

“Kerajaan perlu jujur memberitahu rakyat bahawa sebenarnya mereka tidak dapat meneruskan program itu kerana masalah bajet dan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga bulan selepas pelancarannya, pelan rangsangan ekonomi itu gagal meningkatkan perbelanjaan pengguna, terutama kerana ada yang menggunakan bantuan itu untuk membayar hutang, kata Gabenor Bank Pusat, Dr Sethaput Suthiwartnarueput, kepada agensi berita, Reuters.

Semasa kempen pilihan raya, Parti Pheu Thai memperkenal skim tersebut sebagai inisiatif berbilion dolar untuk menghidupkan semula ekonomi Thailand yang terjejas akibat pandemik dan dikatakan dapat mencapai pertumbuhan tahunan sekitar 5 peratus.

Namun, ekonomi bernilai AS$550 bilion ($709 bilion) itu hanya berkembang 2.5 peratus pada 2024 – ketinggalan di belakang negara serantau – dan ramalan untuk 2025 dijangka lebih buruk.

Sejak pelancaran skim itu pada September 2024, selepas beberapa penyesuaian dan penundaan, kerajaan hanya mengagihkan sekitar satu pertiga daripada peruntukan bernilai 450 bilion baht itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg