Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand sedia laksana operasi ketenteraan tahap tinggi susulan ketegangan sempadan dengan Kemboja

Jun 6, 2025 | 4:12 PM
Sekumpulan Nasionalis Thailand berhimpun di hadapan Kedutaan Kemboja bagi membantah pertikaian sempadan Thai-Kemboja di Bangkok, Thailand pada 6 Jun 2025.
Golongan nasionalis itu mengibarkan bendera negara dan mendesak tindakan tegas diambil bagi mempertahankan kedaulatan Thailand, susulan insiden tembak-menembak antara tentera Thai dan Kemboja di kawasan Chong Bok, wilayah Ubon Ratchathani pada 28 Mei lalu yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Walaupun kerajaan Thailand bertegas mahu menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dua hala, beberapa kawasan sempadan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Sekumpulan Nasionalis Thailand berhimpun di hadapan Kedutaan Kemboja bagi membantah pertikaian sempadan Thai-Kemboja di Bangkok, Thailand pada 6 Jun 2025. Golongan nasionalis itu mengibarkan bendera negara dan mendesak tindakan tegas diambil bagi mempertahankan kedaulatan Thailand, susulan insiden tembak-menembak antara tentera Thai dan Kemboja di kawasan Chong Bok, wilayah Ubon Ratchathani pada 28 Mei lalu yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. Walaupun kerajaan Thailand bertegas mahu menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dua hala, beberapa kawasan sempadan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Ketegangan antara Thailand dan Kemboja semakin meruncing selepas pihak tentera Thailand mengeluarkan kenyataan tegas bahawa mereka bersedia melancarkan operasi ketenteraan berskala tinggi sekiranya berlaku pelanggaran kedaulatan negara di kawasan sempadan yang belum dimuktamadkan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan lewat malam Khamis, 5 Jun, oleh pihak tentera Thailand, yang menyatakan risikan mereka mengesan peningkatan kesiapsiagaan ketenteraan oleh Kemboja di kawasan sempadan, meskipun rundingan diplomatik sedang dijalankan.

“Tentera kini bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan operasi ketenteraan tahap tinggi sekiranya perlu bertindak balas terhadap pelanggaran kedaulatan negara,” kata kenyataan itu, menjelang mesyuarat tertinggi angkatan bersenjata Thailand yang dijadualkan pada 6 Jun.

Menurut tentera Thailand, operasi sempadan yang sedang dijalankan dibuat secara berhemah dan berhati-hati, dengan matlamat mencegah sebarang kerugian jiwa. Namun, mereka menegaskan kesiapsiagaan sepenuhnya untuk mempertahankan wilayah negara jika keadaan memerlukan.

“Setiap gerakan pasukan kita dilakukan dengan penuh pertimbangan terhadap sensitiviti situasi, namun prinsip pertahanan terhadap kedaulatan tetap menjadi keutamaan,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu bertentangan dengan nada kerajaan Thailand beberapa jam sebelumnya yang menyeru Kemboja agar mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam rundingan, menggunakan mekanisme dua hala yang sedia ada.

Insiden yang mencetuskan ketegangan terkini berlaku pada 28 Mei, apabila seorang anggota tentera Kemboja maut dalam satu pertembungan di kawasan sempadan yang belum ditandakan dengan jelas. Kedua-dua negara sejak itu saling mengeluarkan kenyataan menekankan komitmen kepada dialog sambil mengekalkan pendirian untuk mempertahankan kedaulatan masing-masing.

Kemboja mendakwa pasukan tentera Thailand melepaskan tembakan ke arah satu parit yang dijadikan pangkalan oleh tenteranya. Thailand pula menjelaskan insiden itu sebagai salah faham, dan mendakwa tenteranya hanya membalas tembakan dalam kawasan tidak bertanda.

Kemboja dalam kenyataan rasmi berkata insiden tersebut membuktikan kelemahan mekanisme sedia ada untuk menyelesaikan isu-isu sempadan. Justeru, Kemboja mencadangkan supaya pertikaian melibatkan empat kawasan sempadan dirujuk ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Keempat-empat kawasan ini telah sekian lama kekal tidak diselesaikan dan amat sensitif. Kemboja berharap Thailand akan bekerjasama untuk merujuk kes ini ke ICJ,” menurut kenyataan rasmi Phnom Penh yang turut menyatakan komitmen kepada diplomasi dan dialog.

Bagaimanapun, Bangkok menegaskan bahawa Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa mandatori ICJ, dan percaya isu ini wajar diselesaikan menerusi rundingan dua hala.

“Thailand tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ sejak 1960. Kita sudah mempunyai mekanisme dua hala yang mencukupi untuk tangani isu ini,” kata kerajaan Thailand dalam satu kenyataan berasingan.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kekal relatif mesra, didorong oleh hubungan peribadi antara bekas pemimpin mereka – Encik Thaksin Shinawatra dari Thailand dan Encik Hun Sen dari Kemboja. Kini, anak masing-masing, Cik Paetongtarn Shinawatra dan Encik Hun Manet, menjawat jawatan Perdana Menteri di negara masing-masing.

Ketegangan ini datang pada saat genting bagi kerajaan pimpinan Parti Pheu Thai yang sedang bergelut untuk menghidupkan semula ekonomi yang lembap, sambil berdepan cabaran politik dalaman termasuk penangguhan program bantuan tunai utama.

Kedua-dua negara dijadual mengadakan rundingan rasmi pada 14 Jun ini bagi mencari jalan penyelesaian diplomatik.

Dalam perkembangan berkaitan, satu protes kecil telah diadakan di hadapan Kementerian Pertahanan Thailand pada Khamis, 5 jun manakala satu kumpulan aktivis tempatan merancang demonstrasi di hadapan Kedutaan Kemboja pada Jumaat, 6 Jun bagi menuntut perlindungan terhadap tanah yang dikatakan milik Thailand.

Sebagai langkah bertenang, pemerintah Kemboja turut menyeru rakyatnya agar tidak bertindak provokatif dan menunjukkan toleransi, sambil menekankan pentingnya menjaga hubungan jangka panjang dengan Thailand.

“Kami menyeru seluruh rakyat Kemboja agar bertenang dan terus menjunjung semangat diplomasi. Hubungan baik dengan Thailand perlu dikekalkan demi kestabilan serantau,” jelas kenyataan rasmi pemerintah Kemboja.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan perkara baharu. Kali terakhir pertempuran berdarah tercetus adalah pada 2011 di kawasan Kuil Purba Preah Vihear, yang telah lama menjadi punca ketegangan dan menyemarakkan sentimen nasionalisme di kedua-dua negara.

Pada 2013, ICJ memutuskan bahawa kawasan sekitar kuil tersebut adalah milik Kemboja, dan mengarahkan pasukan tentera Thailand berundur. Namun, keputusan itu kekal dipertikaikan oleh Bangkok hingga ke hari ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg