Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Pakistan: Awal Muharam disambut dengan harapan keamanan Iran-AS berkekalan
PM Pakistan: Awal Muharam disambut dengan harapan keamanan Iran-AS berkekalan
PM Pakistan: Awal Muharam disambut dengan harapan keamanan Iran-AS berkekalan
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, pada 16 Jun menyampaikan ucapan Tahun Baru Islam 1448 Hijrah kepada rakyat Pakistan dan umat Islam seluruh dunia.
Beliau turut menyuarakan harapan agar tahun baru itu membawa keamanan sejagat susulan perkembangan positif dalam konflik Iran-Amerika Syarikat.
Ucapan Perdana Menteri Pakistan itu dibuat ketika dunia Islam menyambut kedatangan tahun Hijrah baru dalam suasana yang disifatkan lebih tenang selepas Iran dan Amerika baru-baru ini mencapai perjanjian damai dengan Pakistan sebagai pengantara.
Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan segera dan secara kekal semua operasi ketenteraan termasuk di Lebanon, sekali gus menutup konflik yang berlarutan selama tiga bulan di Asia Barat.
Perkembangan berkenaan mendapat sambutan positif pemimpin dunia yang memuji usaha Pakistan memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan damai tersebut.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Pakistan, Encik Sharif berharap tahun Hijrah 1448 akan membawa keamanan dan kemakmuran bukan sahaja kepada dunia Islam, malah seluruh umat manusia.
“Semoga setiap hari dalam tahun 1448 Hijrah menjadi jaminan kepada keamanan, keselamatan, toleransi, keharmonian bersama, kehidupan aman dan perlindungan kemanusiaan di seluruh dunia,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana permulaan tahun Islam kali ini tiba seiring berita penyelesaian aman pertikaian besar antara Iran dengan Amerika.
Menurut beliau, keamanan dan dialog perlu terus dijadikan asas utama dalam menyelesaikan konflik antarabangsa yang menjejas rakyat awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ulama Kanan Muslim yang dipengerusikan Imam Besar Al-Azhar, Dr Ahmed Al-Tayeb, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada negara Arab, dunia Islam dan umat Islam sempena ketibaan Tahun Baru Hijrah 1448.
Dalam kenyataannya, pertubuhan itu menyifatkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad saw sebagai sumber inspirasi sepanjang zaman yang membawa nilai kesabaran, ketabahan, keimanan dan pengorbanan demi kebaikan bersama.
Menurut kenyataan itu, warisan Hijrah terus memberi pengajaran penting dalam membina masyarakat berasaskan rahmat, keadilan, persaudaraan dan kehidupan aman bersama.
“Prinsip Hijrah perlu dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks,” tambah kenyataan itu.
Pertubuhan berkenaan turut menyeru supaya nilai toleransi dan persaudaraan kemanusiaan terus diperkukuh menerusi kerjasama antarabangsa yang lebih erat.
Ia juga menggesa usaha bersama dipertingkat bagi menggalakkan keamanan dunia, memperkukuh kestabilan dan mempertahankan maruah manusia sejagat.
Majlis itu berharap tahun Hijrah baru akan membawa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat dunia selain mengukuhkan persefahaman antara budaya dengan agama.
Ditubuhkan bagi menggalak keamanan, dialog dan kehidupan bersama, pertubuhan itu sejak sekian lama aktif menggerakkan pelbagai daya usaha untuk memperkukuh persefahaman antara agama dengan budaya di peringkat antarabangsa. – Agensi berita.
