Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Thai akan berbincang dengan Trump lewat Jumaat berhubung pertempuran di Kemboja

Dec 12, 2025 | 12:05 PM
Foto udara yang diambil pada 11 Disember 2025 ini menunjukkan sebuah kem sementara yang dibina untuk penduduk yang dipindahkan di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, ketika pertempuran tercetus di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand. Pertempuran baru dilaporkan semakin sengit pada 11 Disember, dengan bunyi tembakan kedengaran berhampiran kuil-kuil berusia berabad-abad, menjelang panggilan telefon yang dijangka dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kepada pemimpin kedua-dua negara.
Foto udara yang diambil pada 11 Disember 2025 ini menunjukkan sebuah kem sementara yang dibina untuk penduduk yang dipindahkan di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, ketika pertempuran tercetus di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand. Pertempuran baru dilaporkan semakin sengit pada 11 Disember, dengan bunyi tembakan kedengaran berhampiran kuil-kuil berusia berabad-abad, menjelang panggilan telefon yang dijangka dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kepada pemimpin kedua-dua negara. - Foto AFP

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata pada 12 Disember bahawa beliau dijadualkan mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika pertempuran di sempadan Thailand–Kemboja memasuki hari kelima.

Encik Anutin memaklumkan kepada wartawan bahawa panggilan itu dijangka berlangsung sekitar 9.20 malam waktu Thailand (10.20 malam waktu Singapura).

Menurutnya, Presiden Trump berhasrat campur tangan sekali lagi untuk menghentikan pertempuran dan menyelamatkan gencatan senjata yang beliau usahakan pada awal 2025. Untuk tiga hari berturut-turut, Presiden Amerika itu berjanji akan menghubungi kedua-dua pemimpin bagi menekan mereka menghentikan keganasan.

Dalam ucapannya pada majlis Congressional Ball pada 11 Disember, Encik Trump menonjolkan dirinya sebagai tokoh pendamai dunia. “Kita telah menyelesaikan lapan peperangan. Fikirkan itu. Lapan peperangan telah diselesaikan. Thailand dan Kemboja... saya rasa kita perlu buat beberapa panggilan, tetapi kita akan kembali membawa mereka ke landasan perdamaian,” katanya.

Encik Trump sebelum ini menyatakan akan membuat panggilan telefon bagi mengadakan perbincangan dengan pemimpin Thailand dan Kemboja untuk menuntut pertempuran dihentikan. “Saya berpandangan mereka adalah dua pemimpin dan insan hebat. Saya sudah menyelesaikannya sekali dan rasa boleh buat mereka berhenti bertempur,” katanya.

Tentera Thailand dan Kemboja kini bertempur di pelbagai lokasi sepanjang sempadan sepanjang 817 kilometer, dalam pertempuran paling sengit sejak lima hari peperangan pada Julai lalu. Pertikaian ketika itu juga dihentikan selepas panggilan telefon Encik Trump kepada kedua-dua pemimpin.

Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lebih 200 cedera, manakala ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah akibat serangan artileri berat dan tembakan roket yang berlarutan selama beberapa hari.

Seorang pegawai keselamatan Thailand yang enggan dinamakan berkata, “Pergolakan ini semakin membimbangkan. Kami berharap campur ta

ngan antarabangsa dapat mengekang peningkatan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.”
Encik Anutin turut menegaskan bahawa keselamatan rakyat Thailand menjadi keutamaan.
“Kami sedang berusaha keras menstabilkan keadaan, dan setiap sokongan diplomatik amat dihargai,” katanya.

Dengan pertempuran terus memuncak, tumpuan kini terarah kepada panggilan telefon antara Encik Anutin dan Encik Trump yang menurut pemerhati, mungkin menjadi langkah penting menentukan sama ada konflik dapat dihentikan atau terus meruncing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg