Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Thai arah pemeriksaan premis hiburan seluruh negara dalam tempoh 30 hari
PM Thai arah pemeriksaan premis hiburan seluruh negara dalam tempoh 30 hari
Angka korban kebakaran pub di Bangkok naik kepada 32; waris mangsa terima pampasan awal 10,000 baht dari pemilik premis
PM Thai arah pemeriksaan premis hiburan seluruh negara dalam tempoh 30 hari
BANGKOK: Kerajaan Thailand mengisytiharkan usaha memperkukuh keselamatan premis hiburan sebagai agenda nasional susulan kebakaran sebuah pub di Bangkok yang mengorbankan sekurang-kurangnya 32 nyawa, manakala siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlaku kecuaian dan pelanggaran peraturan keselamatan.
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata tragedi yang berlaku pada malam 12 Julai itu tidak boleh dianggap sebagai kejadian terpencil kerana insiden seumpamanya telah berulang beberapa kali sebelum ini.
Beliau berkata tragedi berkenaan bukan sahaja mengorbankan nyawa, malah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan negara serta mencemarkan imej Thailand.
“Isu ini perlu diangkat sebagai agenda nasional supaya semua agensi berkaitan bekerjasama secara serius untuk meningkatkan standard keselamatan dan mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya dalam mesyuarat Kabinet pada 14 Julai.
Menurut jurucakap kerajaan, Encik Rachada Dhnadirek, Encik Anutin mengarahkan Kementerian Dalam Negeri mengetuai pemeriksaan menyeluruh ke atas semua bangunan dan premis hiburan di seluruh negara dalam tempoh 30 hari.
Pemeriksaan itu akan dilakukan dengan kerjasama Pentadbiran Metropolitan Bangkok, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya dan Perancangan Bandar dan Desa, Polis Diraja Thailand serta agensi berkaitan lain.
Beliau berkata pemeriksaan akan memberi tumpuan kepada sistem pencegahan kebakaran, laluan keluar kecemasan, had kapasiti pengunjung serta pematuhan terhadap undang-undang dan piawaian keselamatan.
Mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat keselamatan akan diarahkan menghentikan operasi serta-merta sehingga semua kelemahan diperbaiki dan disahkan selamat untuk dibuka semula.
“Kita tidak boleh membenarkan tragedi seperti ini berulang. Semua premis mesti mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi berkaitan mendedahkan hasil pemeriksaan kepada orang ramai secara telus bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tindakan kerajaan.
Tragedi itu berlaku di pub Rong Beer Na Lat Phrao di daerah Chatuchak, Bangkok, kira-kira tengah malam 12 Julai lalu ketika premis berkenaan dipenuhi pengunjung yang menikmati persembahan muzik secara langsung.
Api merebak dengan pantas selepas satu letupan dipercayai berlaku berhampiran pentas, sebelum asap tebal memenuhi ruang dalam premis satu tingkat itu.
Saksi berkata, mereka melihat kepulan asap putih muncul dari pentas dan pada mulanya menyangka ia hanyalah kesan khas persembahan sebelum menyedari kebakaran sedang berlaku.
Pusat Perubatan Kecemasan Erawan memaklumkan angka kematian meningkat kepada 32 orang selepas dua lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Seramai 30 mangsa masih menerima rawatan di hospital di Bangkok, termasuk 15 yang ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 44 lagi telah dibenarkan pulang.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok pula memaklumkan lebih 70 orang cedera dalam kejadian itu, dengan 24 mangsa masih berada dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa percaya kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas pada unit penyaman udara yang dipasang di siling, namun siasatan penuh masih diteruskan.
Pada masa sama, polis sedang menyiasat sama ada berlaku kecuaian, termasuk kemungkinan laluan keluar kecemasan dihalang atau tidak dapat digunakan ketika kebakaran berlaku.
Premis berkenaan dilaporkan telah menjalani pemeriksaan keselamatan pada April lalu.
Pakar forensik kini menyiasat faktor yang menyebabkan api merebak dengan begitu pantas sehingga memerangkap puluhan pengunjung di dalam premis.
Ketua Institut Perubatan Forensik Thailand, Wiroon Supasingsiripreecha, berkata kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap tebal, manakala sebahagian lagi maut akibat melecur.
“Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana menghidu asap, sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan melecur yang serius,” katanya.
Polis berkata sebahagian besar mayat ditemui di dalam tandas yang tidak mempunyai tingkap, dipercayai selepas mangsa cuba menyelamatkan diri daripada api.
Pakar keselamatan kebakaran pula berpendapat bahan hiasan mudah terbakar yang dipasang di kawasan pentas bagi meningkatkan kualiti akustik mungkin menjadi punca api merebak dengan pantas, menghasilkan haba melampau, asap tebal dan gas beracun yang memerangkap pengunjung.
Sementara itu, mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mangsa mula hadir di Balai Polis Phahonyothin bagi memberikan keterangan, mengambil barangan peribadi yang ditemui di lokasi kejadian serta mengemukakan tuntutan pampasan.
Peguam yang mewakili pemilik pub itu memberitahu media tempatan bahawa mangsa yang terselamat serta keluarga mangsa yang terkorban akan menerima pampasan awal sebanyak 10,000 baht ($390) seorang.
Antara mereka ialah Encik Natthaphong Lakhorn, 26 tahun, yang terselamat selepas melarikan diri melalui pintu belakang berhampiran tandas.
Beliau berkata seorang pengawal keselamatan menggunakan lampu suluh untuk membantu pengunjung keluar melalui laluan itu, sekali gus bercanggah dengan laporan awal polis yang menyatakan pintu berkenaan tidak digunakan.
Seorang lagi waris mangsa, Cik Kanticha Singkhon, 25 tahun, hadir bagi mengambil beg tangan dan barangan milik ibunya yang maut dalam kebakaran itu.
Beliau berkata pampasan awal sebanyak 10,000 baht yang ditawarkan kepada mangsa dan keluarga tidak mencukupi.
“Jumlah itu tidak cukup untuk menampung kos pengebumian. Saya terpaksa membuat pinjaman untuk menguruskan pengebumian ibu saya,” katanya.
Tragedi itu mengingatkan semula kepada kebakaran sebuah kelab malam di Bangkok pada 2009 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang.
Sejak itu, pakar keselamatan berulang kali memberi amaran mengenai penggunaan bahan mudah terbakar sebagai hiasan, premis yang sesak serta laluan keluar kecemasan yang tidak berfungsi dengan baik di pusat hiburan di Thailand. – Agensi berita.
