BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, mula berdepan usul undi tidak percaya di Parlimen pada 24 Mac, dengan pihak pembangkang dijangka mempersoal pentadbirannya berhubung prestasi ekonomi yang hambar serta dakwaan pengaruh berlebihan bapanya, Encik Thaksin Shinawatra, terhadap dasar negara.
Walaupun popularitinya dalam tinjauan pendapat tidak begitu memberangsangkan, Cik Paetongtarn dilihat masih berada dalam kedudukan yang kukuh.
Gabungan kerajaan yang diketuainya masih menguasai majoriti di Parlimen, menjadikan usul itu dijangka tidak akan menggugat kedudukannya apabila pengundian berlangsung pada 26 Mac.
Parti pembangkang, Parti Rakyat, menuduh Cik Paetongtarn sekadar mengikut arahan bapanya, Encik Thaksin, bekas perdana menteri yang sangat berpengaruh dan pernah hidup dalam buangan selama 15 tahun selepas disabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Encik Thaksin, yang kembali ke Thailand pada 2023, telah menghabiskan enam bulan dalam tahanan di hospital sebelum dibebaskan secara parol.
Sepanjang tempoh itu, beliau sering menyuarakan pandangan berkaitan dasar kerajaan seperti membenarkan perjudian, penggunaan mata wang kripto dan pemberian bantuan tunai.
Kesemua cadangan tersebut kini dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Pheu Thai, parti yang diasaskan olehnya.
“Kerajaan saya bebas daripada sebarang pengaruh. Semua dasar yang kami laksanakan adalah keputusan kolektif Kabinet,” tegas Cik Paetongtarn, 38 tahun, dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Encik Thaksin, 75 tahun, juga menegaskan beliau telah bersara daripada politik dan hanya memberi nasihat apabila diminta.
Isu ekonomi menjadi tumpuan utama dalam usul ini.
Thailand hanya mencatatkan pertumbuhan 2.5 peratus pada 2024, jauh ketinggalan berbanding negara jiran serantau.
Beban hutang isi rumah yang tinggi sebanyak 16.34 trilion baht ($6.44 bilion) atau 89 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) terus menjadi penghalang utama kepada pertumbuhan.
Pembangkang menuduh kerajaan gagal menangani isu struktur ini secara serius.
“Ekonomi tidak menunjukkan pemulihan yang ketara, sedangkan rakyat terus menanggung tekanan kos sara hidup,” kata jurucakap pembangkang, yang menyifatkan usaha kerajaan sebagai “separuh hati dan gagal menangani masalah utama dengan tuntas”.
Parlimen tidak membenarkan nama Encik Thaksin disebut secara langsung semasa perbahasan, selaras dengan peraturan yang melarang penyebutan nama pihak luar.
Namun, selepas perdebatan panjang, Speaker Dewan membenarkan penggunaan istilah “ahli keluarga” sebagai ganti.
“Taktik pembangkang untuk menggugat kepimpinan Cik Paetongtarn bukanlah perkara baru kerana beliau sudah menjadi sasaran kritikan sejak awal,” kata Cik Paetongtarn yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2024, menggantikan sekutu politiknya, Encik Srettha Thavisin, yang disingkirkan oleh mahkamah atas pelanggaran etika.
Beliau merupakan anggota keempat keluarga Shinawatra yang memegang jawatan tertinggi itu dalam tempoh dua dekad terakhir. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg