BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, yang cuba menangkis desakan agar beliau meletak jawatan, berkata pada 22 Jun bahawa semua rakan gabungan telah berikrar menyokong kerajaannya dan beliau tidak akan membubarkan Parlimen.
Cik Paetongtarn Shinawatra berkata langkah itu bertujuan mengekalkan kestabilan politik bagi menangani ancaman terhadap keselamatan negara.
Beliau telah berdepan kritikan kerana dianggap salah mengendalikan pertikaian sempadan dengan Kemboja, termasuk melalui panggilan telefon dengan mantan pemimpin negara itu, Encik Hun Sen, yang audionya telah dibocorkan pada 18 Jun.
Selepas kebocoran awal, Encik Hun Sen, mengeluarkan rakaman penuh yang menunjukkan Cik Paetongtarn kelihatan bersujud di hadapan ahli politik veteran Kemboja itu dan memburukkan seorang komander kanan tentera Thailand.
Namun, Cik Paetongtarn, telah menemui Leftenan Jeneral Boonsin Padklang, komander tentera yang dipanggil “lawannya”, dalam panggilan telefon berkenaan bagi meredakan krisis yang kian memuncak dan mengancam boleh menjatuhkan kerajaannya.
Beliau juga telah memohon maaf kepada rakyat Thailand atas panggilan dengan Encik Hun Sen yang bocor itu tetapi tidak mengulas mengenai krisis setakat ini.
Rakan utama kerajaannya, Parti Bhumjaithai, telah menarik diri daripada pakatan sejurus selepas kebocoran itu dan sekali gus meletakkan gabungan kerajaannya mempunyai majoriti tipis.
“Negara mesti bergerak ke hadapan. Thailand mesti bersatu dan melaksanakan dasar untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kata Cik Paetongtarn, anak perempuan kepada mantan perdana Encik Thaksin Shinawatra, dalam kenyataan menerusi wadah media sosial X selepas pertemuan dengan rakan gabungan, termasuk United Thai Nation Party (UTNP).
Sebelum pertemuan itu, UTNP bercadang menuntut beliau meletakkan jawatan tetapi mengubah pendirian kemudiannya.
Kerajaan dan tentera berkongsi pendirian yang sama, untuk menyokong prinsip demokrasi dan mengikut peruntukan Perlembagaan, kata Cik Paetongtarn, 38 tahun, seorang ahli politik baru yang dilantik sebagai perdana menteri pada 2024.
Aktivis, antaranya kumpulan yang mempunyai sejarah perhimpunan berpengaruh menentang pentadbiran Encik Shinawatra, telah menjadualkan bantahan di Bangkok bagi menuntut peletakan jawatan Cik Paetongtarn bermula pada 28 Jun.
Seiring dengan perkembangan terkini itu, Cik Paetongtarn menyatakan beliau tidak akan meletak jawatan atau membubarkan Parlimen, kata seorang pegawai kanan Parti Pheu Thai yang memerintah pada 21 Jun.
Langkahnya itu dilihat sebagai mempertaruhkan krisis politik yang berpanjangan dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.
Menteri Pelancongan Thailand, Encik Sorawong Thienthong, berkata dalam hantaran di Facebook bahawa Cik Paetongtarn tidak akan meletakkan jawatan di sebalik desakan berbuat demikian selepas beliau salah menangani pertikaian sempadan dengan negara jiran Kemboja.
“Perdana Menteri dengan jelas mengesahkan kepada kami bahawa beliau akan terus melaksanakan tugasnya untuk menyelesaikan pelbagai krisis yang sedang dihadapi negara dengan sebaik mungkin.
“Kerajaan mengesahkan bahawa ia akan terus berfungsi, Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan, dan tidak akan membubarkan Parlimen,” tambahnya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg